Tuesday, June 2, 2020

BERAPA NILAI SEORANG AHLI PARLIMEN?



Bertiup kencang sekarang berita dan khabar angin mengenai sesi “jual beli” dalam kalangan ahli-ahli Parlimen Malaysia. Pada masa yang sama, keadaan ini membuatkan rakyat tertanya-tanya berapa sebenarnya nilai seorang ahli Parlimen? Berapa nilai jawatan yang ditawarkan atau dituntut sehingga mereka boleh dijual beli begitu sahaja?

Keadaan serta suasana ini sudahpun berpanjangan dan pastinya telah menjejaskan kesejahteraan rakyat dari pelbagai sudut. Lebih-lebih lagi dengan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara dan juga dunia.

Ahli-ahli Parlimen perlu diingatkan bahawa sokongan yang telah diberikan oleh pengundi semasa PRU14 yang lepas BUKAN kerana batang tubuh diri anda. Rakyat membuat pilihan atas dasar janji-janji serta meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat dan merasai janji-janji pilihanraya itu dikotakan.

Selepas menang pilihanraya, TIDAK bererti calon yang menang itu boleh sesuka hati mengambil pertimbangan politik berkepentingan sendiri tanpa menghiraukan mandat sebenar yang diberikan oleh rakyat khususnya pengundi.  Seorang YB perlu ingat siapa yang meletakkan anda di situ dan atas dasar apa anda dipilih!

Bagi calon-calon yang bertanding atas tiket HARAPAN, dengan satu logo KEADILAN, majoriti rakyat memberanikan diri memilih anda atas dasar perjuangan yang berpaksikan kepada menegakkan KEADILAN dan kebenaran; menentang kezaliman; menjanjikan reformasi sistem dan institusi; dan menumbangkan pemerintahan kleptokrat. Mana-mana ahli Parlimen yang menang dan terpesong dari landasan ini, bererti pengkhianatan ke atas  amanah yang telah diserahkan rakyat kepada  mereka.

Telah tiba masanya, martabat ahli-ahli Parlimen di Malaysia ditingkatkan.  Mereka perlu tetap teguh dengan prinsip perjuangan, membela nasib rakyat dan kesejahteraan negara. Berperanan sebagai ahli Dewan Rakyat yang berkesan dan bertanggungjawab. 

Demi rakyat dan negara, calon-calon pilihanraya yang ada bibit-bibit mementingkan diri sendiri dan korup walaupun sedikit, perlu ditolak dari awal lagi. Susah sangatkah untuk kita mencari dan memilih 222 ahli Parlimen dari 32.74 juta rakyat Malaysia yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan dan meletakkan kepentingan nasib rakyat dan negara mengatasi segala kepentingan-kepentingan lain?

Saya yakin boleh.

Untuk itu berlaku, parti-parti politik perlu bertanggungjawab menawarkan calon-calon yang berkualiti serta amanah demi kesejahteraan rakyat dan negara. Pada masa sama, rakyat perlu mengundi mereka yang benar-benar memenuhi kriteria sebenar yang diperlukan termasuk mereka yang berpegang kepada prinsip yang betul dan tidak mengangkat sebarang agenda lain yang bersifat ketidakadilan dan pentingkan diri sendiri. Janganlah disebabkan kerakusan harta dan jawatan, masa depan rakyat dan negara tergadai.

No comments:

Post a Comment