Tuesday, March 10, 2020
WAJARKAH SAIFUDDIN NASUTION PERSOAL KEBIJAKSANAAN AGONG DAN SERANG PERIBADI MUHYIDDIN?
Mendengar ucapan Dato Seri Saifuddin Nasution, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan merangkap Setiausaha Agung PKR, dalam ceramah Jelajah Harapan di Tapak Rakan Muda, Taman Seri Andalas, Klang, malam tadi, dua perkara kurang manis dapat saya rasakan.
Pertama adalah tindakan beliau yang seolah-olah mempersoalkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa budi bicara Baginda untuk melantik seorang Perdana Menteri dengan tidak membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad masuk ke istana.
Ini kata-kata beliau: “Apabila Tun cuba pergi ke istana untuk menyatakan bahawa bukan 36 yang menyokong Tan Sri Muhyiddin, waktu itu pintu istana sudah pun ditutup dan Tun tak dibenarkan masuk. Kalau hari itu Tun dapat masuk, cerita dah jadi lain. Kita cuma perlu membuktikan bahawa Tan Sri Muhyiddin tak mendapat simple majority 112 kerana partinya bukan 36 yang menyokong. Sebaliknya tolak 6 atau 7 atau 8 yang Tun telah siapkan statutory declaration untuk diserah kepada istana.”
Kedua adalah adalah tindakan beliau yang menyerang Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi, dengan mendakwa Tan Sri Muhyiddin tidak fit untuk menjadi seorang Perdana Menteri kerana didakwa hanya datang mesyuarat kabinet satu kali sahaja dalam sebulan.
Ini kata-kata beliau: “Saya kesian dengan beliau sebab kalau sebulan kami mesyuarat kabinet setiap hari Rabu, beliau datang satu kali sahaja dalam sebulan, tiga minggu lagi cuti sakit. Beliau seorang pesakit kanser. Beliau menjalani 12 rawatan. Beliau baru saja pulih daripada rawatan penyakit kanser. Saya, Abang Mat, Loke, kecuali kalau kami berada di luar negara. Saya paling kuranglah, setahun barangkali 3 kali saja. Abang Mat yang paling kerap, sebab dia Menteri Pertahanan. Saya tak apa, jaga bawang, jaga cabai, jaga ayam, jaga telur, 3 kali saja sebulan saya keluar. Saya jarang ponteng mesyuarat Jemaah Menteri. Jadi pagi-pagi hari Rabu 9.30, siapa yang berada di luar negara, siapa yang bercuti, akan ada satu nota atas meja kita. Saya masih ingat Tan Sri Muhyiddin sering ambik cuti sakit. Pernah dalam sebulan datang sekali saja. Saya pun terfikir, kalau dah kedudukan kesihatan dia macam itu, sekarang ambik jawatan Perdana Menteri, dengan tekanannya, dengan segala macam, dia pesakit kanser, simpati saya kepada dia.”
Kedua-dua perkara ini, pada hemat saya, adalah agak kurang manis untuk ditimbulkan, khususnya oleh orang-orang Melayu yang selalunya menjaga adab mereka dalam berkata.
Tetapi semua ini pastinya akan dianggap sebagai perkara biasa saja oleh golongan liberal.
Dr Kamarul Zaman Yusoff
8 Mac 2020, 8.08 pagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment