Tuesday, March 10, 2020

Disebalik pelantikan Mufti sebagai Menteri dan ustaz sebagai Menteri Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi


Pertamanya, tahniah di atas pembentukan kabinet baharu. Saya cukup yakin dengan figura-figura yang dilantik. Moga mendapat rahmat Allah s.w.t.

Uniknya kali ini, pertama kali mungkin dalam sejarah, seorang mufti dilantik menjadi menteri (portfolio agama) dan mereka yang bergelar ustaz memegang jawatan menteri profesional (Alam Sekitar dan Perladangan Komoditi.

Figura-figura tersebut adalah Sahibussamahah Dr Zulkifli al-Bakri, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ust Dr Khairudin Aman Razali.

Ramai yang sinis apabila mereka yang bergelar ustaz diberikan tanggungjawab menjaga kementerian yang kononnya ‘tidak ada kaitan dengan agama’.

Walhal, dalam agama, semua perkara telah sedia ada. Sebab itulah Islam disebut sebagai ‘way of life’, atau satu cara hidup, bukan agama semata.

Tidak kiranya perkara berkaitan, dengan alam sekitar, sains dan teknologi, pertanian, langit, bumi dan segala isi alam. Pendek kata, Islam adalah cara hidup. Semua perkara berkaitan dengan kehidupan di dunia dan di akhirat itulah Islam.

Islam bukan terhad kepada surau dan masjid, puasa dan zakat, umrah dan haji, ceramah dan tazkirah serta lain-lain. Islam adalah ilmu yang berkaitan dengan semua aspek kehidupan.

Maka tidak perlulah aktivis alam sekitar yang berambut gondrong merasa risau dan mengeluarkan kenyataan, apabila orang agama memegang kementerian alam sekitar, habislah dunia ini.

Apakah selepas ini alam sekitar akan tercemar apabila orang agama memegang portfolio tersebut? Tidak sama sekali.

Ketika orang profesional memegang portfolio tersebut, adakah alam sekitar terpulihara? Sebab itu jangan bersangka buruk. Taubat banyak-banyak.

Untuk maklumat aktivis alam sekitar, agama Islamlah yang paling champion (juara) perkara berkaitan dengan alam sekitar. Hatta, dalam perang sekalipun, Islam suruh menjaga beberapa perkara, jangan musnahkan alam sekitar, jangan bunuh kanak-kanak, jangan bunuh wanita dan orang tua, meskipun bukan Islam, serta jangan musnahkan rumah ibadat orang bukan Islam.

Sebab itu tidak perlu risaulah ya, perempuan berambut gondrong.

Jika negeri Kelantan dilabelkan sebagai ‘kotor’, jangan salahkan agama atau orang agama, tetapi salahkan individu yang tidak menjaga kebersihan. Begitu juga jika berlaku ‘keganasan’ yang dilakukan oleh orang Islam, jangan salahkan Islam, salahkan individu yang tidak memahami Islam sehingga melakukan keganasan.

Pendek kata, keganasan juga tidak kurang hebatnya dalam kalangan orang Hindu, Kristian, Budha dan sebagainya. Adakah kita mahukan menyalahkan agama anutan mereka. Sudah tentu tidak, tetapi individu yang tidak memahami kehendak agama.

Begitu juga dengan perlantikan Mufti sebagai menteri agama. Saya kira perlantikan yang sangat tepat. Mufti Wilayah Persekutuan ini disegani oleh orang kawan dan lawan. Berperwatakan lembut, penuh hikmah.

Saya kira, jika kerajaan berubah kepimpinan sekalipun, mufti ini tidak akan dipecat. Tetap kekal kerana sifatnya yang penuh hikmah, menepati kehendak Islam.

Tidak mustahil, saya tidak boleh bayangkan jika selepas ini mufti Zulkifli, dengan pencapaian yang memberansangkan, diberikan portfolio yang lebih mencabar seperti Kementerian Belia dan Sukan atau kementerian lain bersesuaian.

Nak menunjukkan bahawa Islam tidak menentang sukan. Tidak ada masalah dengan sukan tetapi hendaklah mematuhi syariat. Tidak mustahil sukan akan terus menyerlah jika ustaz menerajui kementerian belia dan sukan. Rahmat Allah siapa tahu. Janji ikut Islam, bukan lawan Islam.

Takkan tidak ambil iktibar daripada menteri agama sebelum ini.

Sebab itu janganlah terlalu bersangka buruk jika orang agama menerajui kementerian profesional. Faham tu perempuan berambut gondrong dan berwarna-warni. Jika tidak faham lagi, mari saya jelas.

Berilah peluang kepada kabinet baharu ini untuk membuktikan bahawa mereka boleh melakukan kerja-kerja yang diamanah. Jika tidak berjaya, kita boleh tukar. Jangan gaduhlah, dan jangan risaulah.

Saya amat yakin perlantikan mufti sebagai menteri agama mempunyai kaitan rapat misi dan visi PM untuk menyatukan umat Islam yang terlalu banyak berpecah. Mufti ini sebagai yang saya sebut  di atas, disenangi kawan dan lawan.

Saya yakin mufti tidak akan banyak berpolitik. Saya amat yakin setiausaha politik, yang menjadi kuota setiap menteri, turut tidak akan berpolitik. Tetapi peranan yang lebih besar untuk menyatukan umat Islam yang terlalu berpecah. Selain memahamkan khalayak terhadap agama Islam sebagai agama rahmah. Tidak mustahil konsep rahmatan lili alamin juga akan dikekalkan, tidak akan diubah. Cuma pendekatannya yang diubah supaya tidak terlalu liberal seperti terdahulu.

Akhirnya, saya ucapkan tahniah kepada semua Menteri yang terlantik. Jagalah ia dengan baik, penuh amanah, kerana saya amat yakin, Islam mahukan yang terbaik. Memang ada rona, onak, duri dan berbagai cabaran lagi, laluilah dengan penuh rasa dan tawaduk dan tawakal kepada Allah s.w.t. Yakinlah, jika kamu tolong Allah, nescaya Allah akan tolong kamu.

Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

No comments:

Post a Comment