Sungguh sedih Sidang Parlimen penggal ketiga tahun 2019 yang bermula pada 7 September, iaitu empat hari sebelum pembentangan Belanjawan Negara 2020 oleh Menteri Kewangan pada Jumaat 11 September 2019 isu memerangi kemiskinan menjadi fokus perbahasan di parlimen.
Sepatutnya tahun 2020 adalah tahun Malaysia menjadi negara maju seperti yang diimpikan oleh Wawasan 2020 sejak 30 tahun yang lalu, 1990.
Sepuluh tahun terakhir Wawasan 2020 dari 2009 hingga 9.5.2018 kita diperintah oleh sebuah kerajaan yang dipanggil kleptokrasi yang mana gerombolan pucuk pimpinan berkuasa beserta parti politiknya mencuri khazanah negara.
Sejak tahun 1970 apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan dengan satu dari dua tujuan utamanya iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, kita telah mencapai sedikit kemajuan dalam usaha itu.
Tetapi mulai akhir tahun 1980an terutama selepas peristiwa sedih Operasi Lalang dan perpecahan di dalam Umno, kita melihat satu fenomena baru di mana DEB telah dirampas oleh klik berkuasa yang bersifat oligarki menjadikan DEB satu dasar untuk mengkayakan segelintir elit ekonomi dan politik sama ada Melayu atau Bukan Melayu menjadi super kaya atau ultra kaya.
Mereka hijack atau rampas tujuan asal DEB. Maka terbitlah golongan kroni dan sistem crony- Capitalisme. Akhirnya DEB gagal. Wawasan 2020 gagal.
Dalam situasi inilah, kita selama ini didodoi oleh Kerajaan BN sejak 60 tahun yang lalu dan para Eksekutif Kerajaan Malaysia sejak setahun setengah yang lalu bahawa perang membasmi kemiskinan di Malaysia telah berjaya kerana kadar keniskinsn itu tak sampai 1% iaitu hanya 0.4% sahaja.
Rupa-rupanya kita rakyat negara ini termasuk Ahli ahli parlimen ditipu dengan angka statistik.
Hanya apabila kita dikejutkan oleh laporan rasmi Wakil khas dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyatakan data rasmi kerajaan bahawa kadar kemiskinan di Malaysia 0.4% adalah silap dan tidak tepat, yang sebenarnya ialah pada kadar 15% barulah kita semua tersedar dari mimpi indah yang palsu.
Malaysia masih gagal memerangi kemiskinan sejak DEB diperkenalkan 50 tahun yang lalu. Kerajaan baru Malaysia jangan lagi berada dalam denial mode atau mod penafian.
Terima hakikat, kita sebagai satu negara bangsa telah gagal mencapai objektif utama DEB iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
Kita perlu merangka satu dasar ekonomi yang benar-benar dapat membasmi kemiskinan rakyat. Ini merupakan satu tugas besar kerajaan Pakatan Harapan sekarang.
Sebagai seorang Ahli Parlimen saya teruja untuk membantu kerajaan yang memerintah sekarang untuk memerangi kemiskinan.
Bercakap sahaja tidak berguna, kini adalah masa untuk bertindak. Guballah dasar baru membasmi kemiskinan itu sekarang juga.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
25.9.2019.
No comments:
Post a Comment