KUALA LUMPUR – Pas Sungai Buloh secara konsisten membantah sebarang pencerobohan tanah kerajaan sehingga memberikan kesan buruk kepada kepentingan awam seperti banjir, pencemaran dan seumpamanya.
Namun, Pas kawasan itu juga secara konsisten membantu penduduk yang rumah mereka dirobohkan oleh kerajaan Selangor baru-baru ini atas dasar kemanusiaan.
Yang Dipertuanya, Zaharudin Muhammad menegaskan, dakwaan Menteri Besar, Amirudin Shari kononnya Pas cuba menangguk di air keruh dengan kejadian itu adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, jika mereka menangguk di air keruh, nescaya Pas akan menghalang rundingan penduduk dengan kerajaan negeri sebelum perobohan dilakukan.
Tetapi sebaliknya Pas menggesa dan menyokong penduduk berunding dengan kerajaan sebagaimana yang terjadi pada 4 September lalu.
“Malah, kita turut gembira dengan keputusan penangguhan perobohan yang dicapai kedua pihak hasil dari perbincangan itu.
“Mendengar tangisan anak kecil, ibu yang merintih, ada bapa digari, tiada tempat berteduh selepas perobohan, cuaca jerebu yang teruk, hujan melanda di sebelah petangnya, menjadikan mangsa roboh tiada pembelaan dan boleh berlakunya krisis kemanusiaan.
“Suasana inilah memaksa Pas bersama penduduk tempatan membantu, melindungi dan menyediakan makanan sehingga mereka betul-betul stabil dan trauma mereka hilang,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Pada Rabu lalu, lebih 30 buah rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dirobohkan bagi meneruskan projek meluaskan sungai di tepi kawasan perumahan.
Projek meluaskan sungai tersebut sudah lama dijalankan namun terpaksa ditangguh beberapa kali susulan rayuan penduduk kampung.
Menurut Zaharudin, sekalipun kerajaan negeri melabelkan pihak yang membantu penduduk itu sebagai menangguk di air keruh, Pas tetap membantu mereka yang lemah tanpa pembelaan.
Katanya, lebih mengecewakan apabila menteri besar memfitnah keluarga terbabit sebagai pendatang tanpa izin dan degil untuk berpindah walaupun sudah diberi notis dan arahan.
“Apa yang dapati ada dokumen dari wakil rakyat kawasan itu, Khairuddin Othman membantah pemindahan itu dan menggesa penduduk supaya terus menetap di situ.
“Surat bertarikh 12 Julai 2016 bertajuk “Bantahan terhadap sebarang tindakan perobohan ke atas 153 rumah kediaman di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh” itu membuktikan Khairuddin waktu itu membantah perobohan bukan meminta tangguh perobohan.
“Bahkan, dalam Facebooknya bertarikh 3 Julai 2016 membuat status, ‘jangan keluar dari rumah dan tunggu arahan saya selanjutnya’,” kata beliau.
Kenyataan itu menjadikan penduduk yakin mereka berhak berada di situ sehingga notis Ogos 2019 dikeluarkan supaya mengosongkan rumah dalam tempoh 30 hari.
Permintaan penduduk ialah menangguhkan perobohan sehingga November ini bukan permintaan mereka untuk terus kekal di situ.
“Namun, Menteri Besar dan Khairudin sendiri termasuk beberapa Exco kerajaan dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain menggambarkan seolah penduduk berdegil enggan berpindah sehingga menjadikan mereka sebagai punca banjir.
“Jika berlaku banjir kerugian dan akibat projek yang tidak dapat dijalankan, kami melihat ADUN Paya Jaras dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (bekas menteri besar ketika itu) adalah turut terlibat kerana penangguhan itu dilihat berpunca daripada bantahan oleh Kharuddin sendiri melalui surat rasminya pada 12 Julai 2016,” ujarnya.
Beliau berkata, Pas Sungai Buloh telah menghantar surat kepada Khairuddin untuk mengajaknya bertemu dan berbincang tetapi pejabat wakil rakyat itu ditutup. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment