Wednesday, September 25, 2019

BERSATU KERANA AQIDAH ADALAH PERLUMBAAN MENUJU SYURGA DAN MENGHINDARI NERAKA



(Menghadkan perpaduan kepada tujuan-tujuan politik kepartian semata-mata, hanya terhad kepada ahli-ahli parti politik kepartian sahaja sangat mendedahkan diri kepada kegelinciran niat dan maksud)

Oleh : Sahibus Samahah Tuan Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Perak

1.  Bersatu kerana aqidah dan bertujuan untuk menegakkan kehendak Allah di atas muka bumi ini adalah satu tuntutan Allah SWT dan tidak boleh dipandang ringan dan remeh apatah lagi untuk dipersendaguraukan. Banyak ayat al Quran dan hadith Rasulillah SAW yang memerintahkan umat Islam bersatu padu kerana aqidah bahkan tidak sedikit ayat al Quran dan Hadith-hadith Nabi SAW yang mencela perpecahan bahkan memberi amaran keras kepada pemecah belah dan pemutus tali persaudaraan sesama Islam. Semua orang Islam patut tahu perkara asas ini.

2.  Rasulullah SAW dan para sahabat r.a telah menunjukkan teladan dan contoh bagaimana arahan Allah SWT boleh dilaksanakan dan terbukti memberi kesan yang besar kepada membentuk hala tuju baru umat Islam dalam berperanan di dalam kehidupan. Kisah Aus dan Khazraj yang melupakan kisah lama mereka demi menyahut seruan perpaduan al Quran adalah bukti yang nyata bahkan dipuji di dalam al Quran.

3.  Perpaduan yang diusahakan atas tujuan yang benar adalah penyebab kepada terselamatnya pihak yang bersengketa dari jurang api neraka sebagaimana firman Allah SWT : Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (QS Aali Imran:103)

4.  Umat Islam wajib menyokong apa jua usaha untuk menyatu padukan umat Islam atas dasar aqidah dan wajib mendahulukan sangkaan baik kepada perpaduan ini . Janganlah meletakkan andaian-andaian buruk, terlajak berani memberikan andaian-andaian buruk sedangkan hati-hati umat Islam hanya mampu dijinakkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT : Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (QS al Anfaal : 63)

5.  Kepada pihak-pihak yang sedang terlibat di dalam perpaduan ini, semesti beringat bahawa barangkali ini peluang terakhir yang Allah tawarkan kepada mereka. Jangan khianati Allah, jangan khianati Rasulullah SAW, jangan khianati umat Islam. Oleh itu, hanya menghadkan perpaduan kepada tujuan-tujuan politik kepartian semata-mata, hanya terhad kepada ahli-ahli parti politik kepartian sahaja sangat mendedahkan diri kepada kegelinciran niat dan maksud. Jika ada pihak-pihak mahupun individu yang berniat khianat kepada Allah, Rasul dan umat Islam dan masih mengejar kepentingan peribadi, ingatlah kes mereka sebenarnya akan dikendalikan sendiri oleh ALLAH SWT ! Firman Allah SWT : Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (QS al Anfaal : 63)

https://www.indahnyaislam.my/2019/09/bersatu-kerana-aqidah-adalah-perlumbaan-menuju-syurga-timbalan-mufti-perak/

No comments:

Post a Comment