Wednesday, September 25, 2019

Mat Sabu tetap ingat sahabat lama walaupun berbeda parti



Mat Sabu tetap ingat sahabat lama walaupun berbeda parti
Mohamad Sabu menziarahi bekas Ketua Dewan Ulamak Pas, Sheikh Ismail Khamis, dekat Alor Setar.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu meneruskan amalan tradisi menziarahi teman-teman lamanya, walaupun sudah berada dalam wadah politik berbeda.
Terbaru, hujung minggu lalu, dalam lawatan kerja ke Kedah, Menteri Pertahanan itu sempat menziarahi Sheikh Ismail Khamis, bekas Ketua Ulamak Pas Negeri, di rumahnya, dekat Langgar, Alor Setar.
Dalam hantarannya di FB, Mohamad menyifatkan Sheikh Ismail sebagai “sahabat lama yang juga ulamak dan agamawan yang disegani.”
“Kami saling bertanya khabar, bercerita kisah lama antara kami. Terkadang bergelak ketawa bila mengenangkan kenangan lama,” catatan Mohamad dipetik.
Hujung Ogos lalu, Mohamad turut mengunjungi Ustaz Hashim Jasin, Mursyidul Am Pas, di kediamannya, Arau, Perlis.
Mohamad menziarahi Hashim yang dikatakan agak uzur, selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH di tiga kawasan serentak di Perlis.
Mohamad Sabu dan isteri menziarahi Mursyidul Am Pas, Ustaz Hashim Jasin di Arau, Perlis.
“Beliau (Hashim) merupakan rakan lama yang sering menjadi regu ceramah saya dulu-dulu. Tidak lengkap jika turun ke Perlis tidak bertemu dan bertanya khabar beliau,” jelas Mohamad.
“Mudah-mudahan Allah terus mengurniakan kesihatan yang baik kepada al-Fadil Ustaz dan menjaga persahabatan kami hingga ke akhir hayat,” tambahnya.
Mohamad memang dikenali sebagai personaliti yang mengingati rakan-rakan lama, dengan menziarahi mereka termasuk yang masih aktif dalam Pas ataupun kerap bertanya khabar sahabat-sahabat baik walaupun mereka tidak memegang apa-apa jawatan penting.
Beliau turut menziarahi tok-tok guru pondok, khususnya di Kedah, apabila ada kesempatan dan masa luang ketika lawatan kerja sebagai menteri.
Awal Februari tahun ini, Mohamad mengadakan kunjungan ke atas bekas Bendahari Pas Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman di rumahnya, di Kota Bharu.
Awal Februari lalu, Mohamad Sabu mengunjungi bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman di Kota Bharu.
Mohamad pernah menjadi ahli Parlimen Kelantan selama dua penggal, 1990-1999, ketika Ustaz Halim dilantik Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Kelaziman Mohamad menziarahi rakan-rakan lamanya meskipun kini berbeda parti politik dilihat sebagai amalan mulia sikap terbuka dan pendekatan matang yang perlu diteladani.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/mat-sabu-tetap-ingat-sahabat-lama-walaupun-berbeda-parti/#more

No comments:

Post a Comment