Kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau tiga penyerang tidak dikenali yang mengheret dan memukulnya ketika rusuhan berlau di Kuil Sri Mahamariamman di Seafield tahun lalu.
Koroner Rofiah Mohamad ketika menyampaikan keputusan bagi menentukan punca kematian Adib juga mengumumkan mahkamah mendapati polis tidak bertindak semasa rusuhan berlaku.
Menurutnya, trauma tumpul pada dada yang membawa kepada kematian anggota bomba itu bukan akibat perbuatan sendiri mahupun disebabkan oleh kemalangan.
"Saya juga membuat dapatan kematian arwah disebabkan kegagalan PDRM dan FRU kawal rusuhan.
Iklan
"Keterangan jelas menunjukkan telah berlaku beberapa kebakaran sebelum arwah terlibat. Anggota bomba juga telah diancam perusuh yang tak mahu kebakaran dipadam.
"Ada polis berkawal dan api berjaya dipadam bomba.
"Adalah amat malang bila dua troop FRU dengan ratusan anggota dengan tujuh kenderaan pelbagai jenis, water cannon, gas tank dan sebagainya, tetapi hanya melihat perusuh-perusuh melakukan khianat pada bomba dan tak melakukan apa-apa.
"(Mereka) hanya siap siaga dengan senjata mereka, semata-mata kerana tak diberi arahan walaupun keadaan meruncing," jelasnya.
Rofiah berkata salah seorang saksi juga memberi keterangan bahawa Ketua Polis Daerah Subang Jaya tidak dapat dihubungi semasa kejadian itu.
Beliau berkata kegagalan pihak polis menjalankan tugas mereka menyumbang kepada insiden berkenaan.
Dengan berakhirnya inkues itu, Rofiah berkata, mahkamah menyerahkan kepada Peguam Negara dan polis untuk menjalankan siasatan serta melakukan pendakwaan.
No comments:
Post a Comment