shahbudindotcom
Semalam Salleh Said Keruak meminta pihak polis menyiasat bagaimana Laporan Audit 1MDB yang diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA boleh bocor kepada Sarawak Report.
Hari ini pula beliau mengatakan Sarawak Report cuba memperdaya orangramai mengenai 1MDB berikutan tindakannya mendedahkan laporan audit itu.
Ini kerana katanya, laporan audit hanyalah salah satu komponen yang digunakan oleh PAC dalam menyiapkan laporannya mengenai 1MDB.
Tegas Salleh lagi, yang muktamad ialah Laporan PAC.
Sebelum Salleh lupa, bagaimana tentang laporan Bank Negara mengenai 1MDB yang juga menemui beberapa kepincangan dalam urusan dan perjalanan syarikat tersebut?
Adakah beliau tidak ingat lagi tentang surat Bank Negara yang mengesahkan mengenai pemilikan Good Star Ltd oleh Jho Low yang kemudiannya maklumat tersebut diubah suai dalam Laporan PAC?
Jika laporan audit dan dapatan Bank Negara sudah mengesah beberapa kepincangan dan salah laku, apa lagi yang mahu dipertahankan tentang 1MDB?
Jadi, di mana logiknya laporan Sarawak Report itu memperdaya orangramai?
Satu lagi, kenapa hanya Salleh seorang saja yang masih rajin bercakap membela Najib Razak mengenai 1MDB?
Mana menteri dan pemimpin UMNO yang lain?
Adakah mereka sudah tidak berminat lagi membela Najib sebagaimana dahulu?
No comments:
Post a Comment