Tuesday, October 16, 2018

Rahsia jadi kaya cara Pak Man Telo






Oleh A Kadir Jasin




Banyak rakyat Malaysia suka kaya cepat. Kerana hendak kaya cepat punya pasal ada yang jadi papa-kedana. Padan muka.

Masa saya menunaikan haji tahun 1991 (tahun Perang Teluk), ada seorang rakan jemaah yang gundah-gulana. Dia baru kehilangan duit pencen guru dalam skim cepat kaya Pak Man Telo.
Sejak itu berpuluh-puluh skim ala Pak Man Telo muncul, beratus ribu jadi mangsa dan berbilion ringgit hangus.

Macam kata ungkapan Inggeris “fools never learn”. Dalam bahasa Melayu si bangang tidak pernah belajar.

Jadi kali ini saya nak ajar si bangang dan si tamak macam mana nak buat skim Pak Man Telo yang gerenti tak rugi. Sebaliknya untung besar.

Salah satunya ialah skim ala Jho Low. Tapi itu pun tak berapa bagus sebab akhirnya terbongkar dan penajanya kena tangkap, dihadapkan ke mahkamah dan besar kemungkinan meringkuk dalam penjara untuk satu jangka masa yang panjang.

Ramai lagi yang belum ditangkap, termasuk Jho Low, tetapi menunggu masa untuk digari dan dipakaikan kemeja-T oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Cuma saya masih tidak faham pasal apa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dikecualikan daripada memakai pakaian lokap itu? Nampaknya dacing keadilan masih berat sebelah.



Skim cepat kaya yang hendak saya cadang ini sesiapa pun boleh cuba. Acuannya saya ambil daripada zaman BN. Pada zaman itu, kalau seseorang itu orang kuat Umno serta baik dengan Najib dan Rosmah mudahlah buat skim ini. Lagi-lagilah kalau orang itu “blue blood”.

Caranya

Mula-mula cari projek apa yang hendak ‘dipakmantelokan’. Boleh jadi projek lebuh raya tol, landasan kereta api kembar atau penjana elektrik bebas (IPP).

Pasal kita kawan Najib atau sebab Najib nak guna kita, kita pun dapatlah konsesi. Katakan sebuah IPP dengan kapasiti penjanaan 1,440 megawatt menggunakan gas asli dan tempoh konsesi 31 tahun.

Dengan sehelai kertas yang mengesahkan bahawa kita mendapat konsesi IPP daripada Suruhanjaya Tenaga, kita sudah jadi jutawan. Tak tahu apa-apa tentang IPP pun tak apa. Gerenti ada orang bersedia beli lesen kita itu dan bank pula sedia bagi pinjam.

Untuk nak dapat konsesi, kita tentu dah ada syarikat. Katalah mana syarikat kita Sip Sap Sdn Bhd (SSSB). Nak lagi mudah, kita beli saja dari orang yang kerjanya tubuh dan jual syarikat RM2.
Tak payah besar. Modal saham RM2 dengan dua orang pengarah dan modal berbayar RM100,000 atau RM200,000 dah cukup.

Kalau tak mahu nama kita keluar pasal kita tidak dibenarkan berniaga atau kerana kedudukan kita yang tinggi lagi mulia, kita carilah proksi atau wakil.



Tak kiralah orang itu Ratu, Nyai, Daing atau Megat asalkan boleh dipercayai. Kalau hendak proksi Cina atau India pun boleh. Tapi proksi Cina dan India ni kadang-kadang mereka lebih pandai daripada kita. Silap-silap mereka jual kita.

Tapi untuk laksanakan IPP yang berharga empat atau lima bilion ringgit, kita kenalah tubuh syarikat yang lebih besar. Lagi pun kita tak mahu kongsi syarikat sendirian berhad kita dengan orang luar takut pecah rahsia.

Jadi kita tubuhlah SPV (special purpose vehicle). Kita bagilah nama yang sedap-sedap dan meyakinkan macam Aurora Australis Sdn Bbd (AASB) - mengambil sempena cahaya malam di
kutub selatan. Aurora Australis ertinya cahaya selatan atau dalam bahasa orang putih, southern light.

Nak buat sendiri tak ada duit atau kita jenis kedekut yang memang tidak suka guna duit sendiri. Jadi kita carilah “business partner” (rakan kongsi) yang ada duit atau ada nama yang laku digadai macam TNB, Malakoff atau YTL.

Kita hutang la

Dalam perusahaan elektrik ni siapa lagi yang lebih berkuasa dan laku daripada TNB. Jadi kita pun tanya TNB atau kita minta kawan kita yang berkuasa arah TNB jadi rakan kongsi kita.
Cantik! Rakan kongsi kita TNB. TNB ada duit dan ada nama. Bila penjana kita siap, TNB jugalah yang akan beli tenaga yang kita hasilkan.

Kita pun kongsilah. Katalah kita simpan 45 peratus saham kita dalam AASB dan jual 55 peratus kepada TNB. Tak susah pun. Carilah budak-budak yang pandai hal perancangan dan pembiayaan korporat untuk buat congak bagi pihak kita.



Gerenti mereka akan cadang macam-macam kaedah pembayaran dan pembiayaan – ordinary shares, class A shares, RPS, Sukuk konvensional, Sukuk hijau, junior loan, senior loan.

Macam-macam mereka akan cadangkan asalkan kita bagi mereka komisen yanag lumayan. Macam 1MDB bagi kepada Goldman Sachs.

Kita tak payah keluar modal pun. Orang putih kata kita buat cara “debt financing” – pembiayaan melalui hutang. Kita hutang la. Macam Najib buat dengan 1MDB.

Bila semua perjanjian, kontrak dan pinjaman sudah ditandatangani, kita pun kata kepada AASB mereka kenalah bayar yuran pembangunan kepada kita (SSSB). Busuk-busuk pun seratus atau dua ratus juta ringgit.

Hebat. Penjana belum lagi dibina tapi seratus, dua ratus juta dah masuk poket. Kita relaks saja la. Biar TNB buat kerja. Bukankah TNB ni kaya dan ada kepakaran?

Kita nak susah hati apa? TNB dah tandatangan PPA untuk beli hasil kilang kita selama 21 tahun. Bulan-bulan berjuta-juta ringgit masuk. Empat puluh lima peratus milik kita. Bila kompeni bayar dividen kita dapat lagi.

Inilah skim cepat kaya Pak Man Telo yang kita mahu. Ada lesen, ada konsesi, ada PPA. Tak payah curi-curi. Kalau curi pun ikut undang-undang. Peduli apa kalau pengguna kena bayar tarif elektrik yang lebih tinggi atau kita ambil peluang orang lain berniaga.

Kita kaya. Kita berkuasa. Kita tongkat langit. Kita peduli apa.

*DATUK A KADIR JASIN ialah penasihat media dan komunikasi di Jabatan Perdana Menteri. Beliau bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd dan kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

No comments:

Post a Comment