iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil menasihatkan semua pimpinan pemuda AMANAH dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengulangi kesilapan besar yang telah dibuat oleh Umno dan BN semasa pemerintahan mereka sebelum ini.
Malah katanya lagi, mengulangi amalan rasuah yang sama sepertimana yang menjadi praktik dalam Umno dan BN akan mengundang kemarahan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Negeri Kedah yang telah diadakan di Sungei Petani, semalam.
“Kita jangan ulangi segala kekhilafan yang telah dibuat semasa pemerintahan Umno dan BN sehingga mereka ditolak oleh rakyat walaupun memerintah begitu lama.
“Rakyat kini sudah bijak dan matang serta dapat membezakan mana satu yang melibatkan korupsi maupun kronisme.
“Oleh kerana itu kita tidak mahu pejuang dan pimpinan AMANAH dinodai dengan unsur-unsur buruk tersebut setelah berjaya mendapat kepercayaan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, ” jelasnya lagi.
Menurut Faiz lagi, tempoh tiga tahun yang telah ditempuh dengan pelbagai ranjau, onak dan duri melonjakkan semangat juang sehingga mampu menobatkan AMANAH seganding dengan komponen PH yang lain.
“Pemuda AMANAH sebagai pemangkin perjuangan, perlu mempunyai iltizam, idea, kekuatan dan faham konteks pentadbiran serta pemerintahan.
“Sebagai sebuah kerajaan, cabaran yang akan dihadapi amat besar serta memerlukan komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan aspirasi parti yang didokong bersama-sama dalam PH.
“Penambahan ahli, cawangan dan juga kawasan perlu dilipatgandakan usaha kearah peningkatan tersebut secara serius, ” tegas Faiz lagi.
Katanya, kemenangan yang telah diperolehi dalam PRU yang lalu, tidak harus diterima dengan rasa bangga dan megah.
Sebaliknya kata beliau, sikap terbuka juga mesti ada untuk menerima penyertaan ahli Umno dan Pas yang ingin menyertai AMANAH.
“Islam bukan ekslusif untuk satu pihak atau golongan sahaja, ia adalah untuk semua.
“Sehubungan itu kita harus berusaha bagi memberi kefahaman mengenai Islam kepada semua golongan masyarakat termasuk yang bukan Islam dalam negara ini.
“Maka itu gerak kerja turun padang sehingga ke akar umbi mesti menjadi agenda yang mampu untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa AMANAH berperanan untuk menjadi pentadbir yang lebih baik jika dibandingkan dengan Umno dan BN, ” tambahnya lagi.
mdl
No comments:
Post a Comment