Tuesday, October 30, 2018

Exco PAS tempelak Mujahid, Mat Sabu di DUN Kelantan


N Faizal Ghazali
DUN KELANTAN | 
Kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu diungkit semula oleh anggota dewan undangan negeri (ADUN) PAS di Persidangan DUN di Kota Bharu, hari ini

Dalam sesi soal jawab yang berlangsung pagi tadi, ADUN Gual Periuk Datuk Ahmad Awang meminta pandangan kerajaan negeri dalam isu kenyataan Mujahid berhubung pencegahan aktiviti maksiat.

Memetik al-Quran dan hadis, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, menjadi kewajipan kerajaan untuk mencegah kemungkaran sekiranya melihat atau mengetahui wujudnya aktiviti seumpama itu.

Menurutnya, pencegahan itu perlu dibuat melalui kuasa yang ada pada sesebuah kerajaan.

"Sekiranya lihat atau mengetahui kemungkaran wajib diubah melalui kuasa jika ada kuasa, kita kerajaan ada kuasa. Maka tak boleh bercakap ini premis peribadi, kerajaan tak ada hak.

"Kalau macam itu orang hisap dadah atas rumah polis tak boleh tangkaplah, orang makan pil kuda buat benda haram atas rumah polis tak boleh tangkaplah. Tidak, kita kena faham bahawa yang dilarang Allah supaya jangan mengintip itu kepada orang ramai.

"Tak boleh setiap orang mengintip, itu dilarang tetapi kerajaan kena ada pengintip. Kalau tak ada pengintip habislah kerajaan," katanya ketika menjawab isu berkenaan.

Terdahulu, kontroversi yang melibatkan menteri hal ehwal agama itu muncul selepas kenyataan Mujahid dalam sebuah wawancara dengan akhbar tempatan dikatakan telah disalah tafsir.

Mujahid menafikan beliau memberitahu akhbar tersebut bahawa serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama akan dihentikan.

"Saya tak pernah menyebut isu kononnya (serbuan) dihentikan pada waktu malam, tidak diketuk pintu, itu semua adalah tambahan daripada editor yang mengambil rumusan mereka (daripada kenyataan saya).

"Sila rujuk kepada wawancara di dalamnya (laporan itu) yang lebih tepat kepada maksud yang saya ingin sampaikan," katanya. 

Sementara itu, membuat kenyataan yang dilihat ditujukan kepada menteri pertahanan, Mohd Nassuruddin berkata menteri tidak sepatutnya membuat kenyataan yang boleh membuka ruang kepada pihak lain menyerang kerajaan.

"Umpamanya kita dedahkan jet pejuang di Malaysia ini hanya empat buah saja boleh guna, itu tak boleh.

"Kita jaga keselamatan negara, kita bercakap macam itu. Begitu juga kita jaga kerajaan kita cakap itu premis peribadi, itu hal dia dengan Allah.

"Kerajaan bertanggungjawab, kena ada penguat kuasa. Yang disebut tak boleh pengintip itu kepada orang ramai, kerajaan boleh untuk menjaga keselamatan rakyat, kena ada pencegahan," jelasnya.

Penjelasan ADUN Meranti yang menyebut isu 'jet pejuang' itu dilihat menempelak menteri pertahanan yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang mendedahkan keupayaan aset ketenteraan negara dalam Dewan Rakyat Ogos lalu.

Selain itu Mohd Nassuruddin menegaskan penguatkuasa agama di Kelantan akan tanggungjawab menangani kegiatan tidak bermoral dengan mengadakan pemeriksaan secara tidak berkala.

"Kita tidak akan biarkan kegiatan tidak bermoral itu terus berlaku bimbang datangnya bala kerana angkara tangan-tangan manusia itu sendiri," ujarnya.

No comments:

Post a Comment