Tuesday, October 10, 2017

Raja-Raja Melayu bimbang isu hubungan kaum


10 Oktober 2017 / Utusan

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Raja-Raja Melayu memandang berat terhadap isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat berbilang agama serta kaum di negara ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, sejak kebelakangan ini, tindakan beberapa individu tertentu yang bersifat keterlaluan dibimbangi boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum.

Menurut beliau, Raja-Raja Melayu berpendirian bahawa isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu dilakukan menggunakan nama Islam.

“Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleransi, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan yang keterlaluan dan memisahkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syed Danial, Raja-Raja Melayu amat menghargai pendirian tegas yang dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai kes dobi untuk Muslim sahaja di Johor serta pendirian Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kes serupa di Perlis.
Jelas beliau, pendirian baginda berdua mencerminkan keprihatinan mengenai pentingnya umat Islam di negara ini mengamalkan sikap toleransi, sederhana dan inklusif.

Katanya, pada masanya, rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan persefahaman bahawa negara ini terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum serta agama.

“Rukun Negara yang diisytiharkan sebagai ideologi kebangsaan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat pada 31 Ogos 1970 telah menggariskan lima cita-cita dan prinsip yang haru menjadi kompas kepada semua pihak, baik pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya.

“Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment