Monday, October 2, 2017

Ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang


Oleh Hasmi Hashim

SUDAH sampai masanya Pulau Pinang perlu mempunyai seorang ketua menteri Melayu. Kalau bukan daripada Umno-BN, dia boleh datang daripada mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

Mungkin ramai yang merasakan BN takkan mampu melaksanakan idea itu. Lebih-lebih lagi, BN sendiri yang memulakan tradisi sedemikian. Sejak merdeka lagi.

Kalau Pulau Pinang kekal di bawah BN, maka sampai kiamat pun Pulau Pinang takkan mengubah formula yang ditinggalkan Umno-BN. Entah dari mana perjanjian setan itu datang, tak siapa tahu dan kekal misteri.

Sekiranya dari satu PRU ke PRU yang baru jawatan ketua menteri Pulau Pinang hanyalah wajib untuk etnik Cina sama ada dari DAP dan Gerakan, maka apa pun yang terjadi, orang Melayu Pulau Pinang hanyalah percaturan dua parti itu saja.

Maka benarlah tuduhan bahawa mujur saja jawatan Yang di-Pertua Negeri satu jawatan lantikan. Kalau tidak, jawatan itu pun tak pasti selamat kepada orang Melayu. Macam di Singapura.

Baru-baru ini riuh di media sosial apabila presiden Singapura terkini kembali kepada tangan seorang berketurunan Melayu. Lebih digembar-gemburkan dia seorang perempuan. Bertudung pula. Tinggal pun hanya di rumah pangsa.

Terakhir Singapura memiliki presiden Melayu ialah Yusof Ishak dari 1965 sampai 1970. Yusuf seorang wartawan – dengan lantikan itu mudah difahami tak lain adalah untuk membeli jiwa wartawan dan surat khabar Melayu supaya meredakan perjuangan atas nama bangsa. Terimalah seadanya.

Singapura pun pada tahun itu baru berpisah dari Malaysia. Dengan lantikan Yusuf, warga Melayu Singapura paling tidak masih dibenarkan untuk berangan-angan bahawa masa depan politik tetap milik mereka. Nama jawatan itu pun belum dipanggil sebagai “presiden”. Dipanggil sebagai “Yang di-Pertuan Negara”: satu nama yang mirip kepada “Yang di-Pertuan Agung” bagi Malaysia.

Hari ini jumlah Melayu Singapura sekitar 500,000, lebih kecil daripada populasi penduduk Petaling Jaya sekalipun. Jumlah keseluruhan rakyat Singapura sekitar 6 juta dan hampir 1.5 juta daripadanya pendatang luar. Dalam kata lain, Melayu yang dulunya menguasai dan menjadi penduduk terbesar Singapura lebih rendah waima berbanding para pendatang.

Kuasa presiden sebenarnya pun tidaklah sebesar mana. Jawatan itu tak ubah sebagai “lambang negara” dan segala urusan harian masih tetap ditadbir oleh perdana menteri. Demikian sorakan “kemenangan” segelintir kaum liberal termasuk Malaysia bahawa konon Melayu Singapura mencipta pencapaian hebat hanyalah peluru kapur. Kampung tetap tergadai jua.

Di Pulau Pinang, kesnya sama tapi tak serupa. Sama ada BN atau Pakatan Harapan, keduanya masih gagal melihat peri penting seorang ketua menteri Melayu diangkat ke tampuk kuasa. Sudah tentu Melayu yang perlu diangkat itu seorang Melayu yang layak dan tanpa menafikan unsur merit. Kalau tak lebih hebat daripada Lim Guan Eng, sama hebat pun cukuplah.

Mustahil bagi sebuah negeri dengan penduduk lebih 1.7 juta tak ada seorang pun tokoh pemimpin Melayu yang layak. Perdana menteri ke-5 adalah dari Pulau Pinang. Mantan TPM yang kini ketua umum PKR, bahkan ketua pembangkang Parlimen juga dari sana. Senarai tokoh besar anak jati Pulau Pinang bukti yang pulau mutiara itu sebenarnya tidak kurang tokoh politik dan kepimpinan Melayu.

Dalam DAP sendiri, umum tahu ramai sudah tokoh hebat berbondong-bondong menyertai DAP.

Daripada seorang peguam sehinggalah pensyarah dan pakar perlembagaan sudah menganggotai parti itu. Malah satu-satunya Sasterawan Negara yang kini bersama parti politik adalah seorang ahli DAP.

Senarai itu belum lagi disebut saf tokoh agama dan aktivis masyhur yang bersedia mempertahan parti itu daripada apa juga serangan luar.

Sama ada mereka memang orang Pulau Pinang atau tidak, pertimbangan itu bukan segala-galanya. Guan Eng sendiri bukanlah anak jati Pulau Pinang. Dia orang luar yang dibawa masuk untuk menjadi ketua menteri. Lantikan itu lebih mudah kerana Guan Eng anak Lim Kit Siang.

Sedangkan keturunan Jenatun yang membuka Pulau Pinang pun tidak dipandang besar, maka persoalan anak jati atau tidak bukanlah pra-syarat memilih ketua menteri.

Apabila tamat saja penggal kali ini yang diramal dalam beberapa bulan lagi – dan kebetulan ketua menteri Guan Eng sudah menjawat jawatan berkenaan selama dua penggal, maka nama ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang sudah wajar diwar-warkan. Perkara ini juga janji Pakatan Harapan untuk mengehadkan jawatan tertinggi hanya untuk dua penggal.

Janji itu bukan baru. Sudah dibeberkan sejak 2008 dan menjadi antara kempen penarik sehingga berjaya menumbangkan BN.

Inilah waktunya kata dikotakan. Paling tidak, keadaan di Pulau Pinang akan menjadi seberkas bukti sejunjung azimat bagaimana komitednya Pakatan Harapan mahu membuka tirai Malaysia baru. Namun andainya tidak, sekali lagi semua kata-kata tak lebih hanyalah ungkapan pemanis bibir, dalam ceramah, pada malam bicara.

No comments:

Post a Comment