Wednesday, October 25, 2017

Kerajaan didakwa sembunyi fakta 1MDB daripada diketahui umum.


 Kerajaan didakwa sembunyi fakta 1MDB
KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan mendakwa wujud percubaan daripada kerajaan untuk menyembunyikan dan menggelapkan situasi sebenar berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada diketahui umum.

Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau kesal dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana sekali lagi menolak pertanyaan berkaitan 1MDB semalam.

Katanya, ia mengulangi tindakan di sesi sebelum ini apabila hampir 30 soalan ahli parlimen berkaitan 1MDB juga ditolak dengan alasan tidak munasabah.

“Apa yang berlaku hari ini adalah tindakan terdesak kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak memperalatkan pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan menghalang soalan dikemukakan dalam parlimen.

“Ia menutup ruang bagi mendapatkan jawapan dan menghalang parlimen berfungsi sebagai institusi semak imbang ke atas rasuah, penyelewengan, penggelapan dana awam dan amalan kleptokrasi yang menjadi teras kebobrokan yang menjijikkan di bawah kepimpinan Najib,” katanya dalam sidang media, di Parlimen hari ini.

Menurutnya, turut dikesali apabila empat soalan dalam pertanyaan lisannya ditolak.

“Saya menuntut jawapan kepada persoalan isu pengenaan kompaun Bank Negara Malaysia ke atas 1MDB, isu pematuhan 1MDB terhadap penarikan balik pelaburan oleh Bank Negara dan isu membawa pulang kembali aset-aset yang dirampas oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ),” katanya.

Beliau berkata, susulan penolakan soalan tanpa alasan munasabah itu, pembangkang pernah mengemukakan suatu usul di bawah Peraturan 99 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menyemak dan menentang keputusan Yang Dipertua.

“Menurut Peraturan 99 itu, ia memadai dengan usul bersendiri seorang ahli. Namun kami telah mengemukakan usul bersendiri itu dengan ditandatangani oleh lebih daripada 60 ahli parlimen pembangkang merangkumi PKR, DAP, Amanah, Bersatu, Warisan serta Pas, bagaimanapun, usul itu ditolak tanpa alasan,” katanya.

Katanya, pertanyaan jawab lisan yang dikemukakan semalam adalah bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan Bank Negara Malaysia tentang cadangan Peguam Negara untuk menjalankan pendakwaan jenayah di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) atas kesalahan pelanggaran Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 sehingga dikenakan kompaun RM115.8 juta.

“Kenapa pertanyaan saya ditolak? Isu-isu dibangkitkan bukan hanya berkaitan kompaun yang dikenakan Bank Negara terhadap 1MDB dan penarikan balik pelaburan, tetapi juga tindakan perundangan terhadap kesalahan jenayah 1MDB.

“Sudah dua tahun berlalu, kenapa pejabat Peguam Negara tidak bertindak atas cadangan Bank Negara? Apakah ini merupakan langkah terkini bagi menutup pendakwaan melibatkan skandal 1MDB?,” soalnya.

Politik Islam bukan sekadar kejar PRU...


 Abdul Hadi Awang

KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perjalanan politik Islam bukanlah sekadar PRU untuk berkuasa dan mendapat kuasa dengan apa sahaja caranya, tetapi ia termasuk berdakwah dan mendidik masyarakat.

Oleh itu katanya, kerjasama bukan semestinya sebelum pilihan raya, sedang pilihan raya, atau selepas keputusan pilihan raya bagi menentukan Islam tetap memimpin masyarakat majmuk berdasarkan dan berkonsepkan Islam yang wajib dipertahankan oleh Pas.

Menurutnya, disebabkan itu, Pas wajib menolak kalangan yang nyata menentang Islam dan Pas bekerjasama dengan siapa sahaja yang tidak menolak Islam.

“Dalam perjalanan politik Islam, ia mewajibkan kepimpinan yang bercirikan Islam tanpa menentukan siapa yang menjadi perdana menteri, kerana perjuangan kita bukan mengangkat orangnya, tetapi dasar dan matlamatnya untuk mencapai keredaan ALLAH dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

“ALLAH lebih mengenali siapa orangnya sama ada ikhlas atau tidak, termasuk beriman dan budimannya, kerana orangnya boleh berubah dan hanyut,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Jelas beliau lagi, dalam perjalanan itu, menegakkan rahmat Allah dan adil terhadap semua tanpa mengira agama dan kaum yang hanya boleh dilaksanakan oleh Islam dan kepimpinannya yang beriman, budiman dan berilmu.

Kerana itu, Pas memilih pendekatan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS), yang mengeluarkan Pas daripada budaya politik fitnah, maki hamun dan bermusuhan yang sedang melanda semua pihak dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi ahli Pas yang wajib dibebaskan daripadanya.

“Kini Pas bebas menentukan di mana dan berapa jumlah kerusi yang hendak dipertandingkan bersama gagasannya, tanpa terikat dan diarahkan oleh pihak lain. Pas terus bersabar dan boleh menerima kekalahan dengan reda, bukan sahaja kemenangan tanpa berfikir untuk mengisi kemenangan.

“Wawasan Pas sangat luas, bukannya dunia yang sempit, tetapi terus beristiqamah bersama Islam, daripada dunia yang luas sehingga akhirat yang kekal,” katanya.

Jelas Abdul Hadi, muamalat politik Islam adalah berkonsepkan kepimpinan Islam yang wajib dipertahankan, demi menegakkan konsep rahmat kepada seluruh alam dan adil terhadap semua.

Maka, lebuh raya hubungan dengan semua pihak sangat luas, namun politik damai hendaklah diutamakan.

Pas katanya, tidak hanyut dan dihanyutkan sekali-kali oleh sesiapa sahaja yang mahu memaksa, menipu atau melakukan provokasi untuk mengheret Pas sehingga terkeluar daripada landasan prinsip, konsep Islam dan strategi kebijaksanaan dalam perjalanannya.

“Majlis Syura Ulama, Dewan Harian, AJK Pas Pusat menentukan keputusan secara jama’ie (kolektif) dan Muktamar yang melibatkan akar umbi bagi membuat keputusan yang besar, supaya Pas bukan parti milik seorang atau kumpulan tertentu sehingga terkeluar daripada konsep dan adab berjemaah.

“Pas berpengalaman secara bersendirian, kerajaan campuran dan bekerjasama dengan semua pihak dengan berbagai-bagai pendekatan, bukan sekadar satu, dua, tiga dan empat pendekatan, bahkan lebih daripadanya. Kini, diperkenalkan pendekatan Ta’awun dan pendekatannya terus menjadi pembangkang yang menasihatkan,” katanya.

Hapuskan GST, tol keutamaan untuk rakyat dalam Belanjawan Alternatif PH


MALAYSIA DATELINE

Hapuskan  GST, tol  keutamaan untuk rakyat dalam Belanjawan Alternatif PH
Belanjawan Alternatif Malaysia 2018 kali ini bertemakan Belanja berhemah, potong cukai dan pilihan Harapan.

Ini adalah belanjawan alternatif ketiga selepas Pakatan Harapan (PH) dibentuk pada 2015.

Belanjawan Alternatif Malaysia ini dibahagikan kepada empat bagian itu menyenaraikan dan menyentuh mengenai perkembangan ekonomi dari tahun 2017 dan apa yang diharapkan oleh PH pada tahun 2018.

Belanjawan Alternatif ini juga menyediakan pelan tindakan mengenai bagaimana jika PH akan menguruskan perbelanjaan kerajaan sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Belanjawan Alternatif juga menyentuh mengenai dasar utama manifesto ekonomi untuk PRU14 yang mengambarkan dasar-dasar fiskal, kewangan dan ekonomi jangka sederhana yang akan dilaksanakan oleh PH apabila diberikan mandat lima tahun memerintah oleh rakyat dalam PRU14 nanti.

Belanjawan Alternatif juga menyediakan apa yang PH Malaysia kelihatan pada 2030 selepas 12 tahun pemerintahan kelak yang mengambarkan impak positif kepada sosial dan ekonomi yang boleh dinikmati rakyat.

Antara 10 intipati Belanjawan Alternatif 2018 oleh PH adalah:
1. Mengapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

2. Pendidikan percuma iaitu membantu penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pendidikan percuma untuk rakyat.
3. Pelaksanaan gaji minma Rm1,500 di seluruh negara

4. Rumah mampu milik untuk semua rakyat miliki rumah

5. Menghapuskan rasuah

6. Menghapuskan campurtangan politik dalam Felda

7. Menghapuskan tol dengan membeli balik syarikat konsesi

8. Menaikkan royalti minyak Kelantan, Terengganu,Sabah dan Sarawak sebanyak 20 peratus.

9. Bagi golongan wanita diberikan cuti bersalin sebanyak 120 hari dan paras gaji yang setara dengan pekerja lelaki.

10. Menyediakan dana khas pembangunan bagi Sabah dan Sarawaksebanyak RM75 bilion.

Belanjawan Alternatif Malaysia 2018 ini telah dibacakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen hari ini yang dihadiri ke semua ahli parlimen parti pembangkang.

Ia turut dihadiri satu-satunya Ahli Parlimen (Pas) Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Pembentangan Belanjawan Alternatif 2018 dari PH telah diperincikan kandungannya (dari kiri) oleh Pengarah Strategik AMANAH Dr Dzulkifly Ahmad, Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Cheng, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming, Ketua Strategik Bersatu Dr Rais Hussin.

Sesuatu untuk direnung,antara kos sara hidup dan gaya hidup di zaman NAJIB memerintah



BERNAMA


Sesuatu untuk direnung,antara kos sara hidup dan gaya hidup
Telefon pintar terbaru, tudung selebriti, langganan WiFi, keseluruhan langganan pakej Astro dan sebagainya bukan termasuk barangan kos sara hidup. Pada asasnya ia adalah keperluan gaya hidup dan kos yang ditanggung bersama dengannya perlu dirujuk sebagai sebagai ‘kos gaya hidup’, kata MajlisBekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).

Timbalan presidennya Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman dalam komentar yang dikeluarkan hari ini, menjelang pembentangan Bajet 2018 di Parlimen pada Jumaat ini, beliau berkata ada orang mungkin berpendapat barangan ini benar-benar perlu dan keperluan penting dalam kehidupan hari ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Baiklah, sekiranya perlu, biar begitu. namun perlu diingat bahawa barangan ini bukan kos sara hidup. Pada asasnya ia adalah keperluan gaya hidup dan kos yang ditanggung bersama dengannya perlu dirujuk sebagai kos gaya hidup,” katanya.

Beliau berkata dalam menghitung kos sebenar kehidupan, mungkin ada kecenderungan sesetengah pihak untuk mencampuradukkan kedua-duanya, satu jumlah yang boleh memeranjatkan.

“Bagi mengelak kekeliruan yang mungkin berlaku, kemungkinan sekarang lebih baik dan bijaksana bagi kerajaan untuk mengeluarkan formula atau istilah baharu untuk menerangkan keadaan kebimbangan semasa berhubung kos yang ditanggung rakyat Malaysia dalam kehidupan harian mereka, katanya.

Abdul Rahman mencadangkan supaya keadaan ini harus dipanggil Belanja Kehidupan , yang diperoleh dengan menambah kos sara hidup dan kos gaya hidup.

(Kos Sara Hidup + Kos Gaya Hidup = Belanja Kehidupan)

Menyedari bahawa isu kos sara hidup yang semakin meningkat telah menjadi perkara yang tidak tentu arahnya terutama di kalangan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) ketika ini, Abdul Rahman optimis bahawa kerajaan melalui bajet akan datang ini akan terus memperkenalkan langkah-langkah untuk mengurangkan bebanan rakyat, selaras dengan strategi menjaga ekonomi rakyat.

“Bagaimanapun, tiada siapa patut mengharapkan satu keajaiban. Harga akan meningkat

tahun demi tahun dengan atau tanpa pengenalan cukai baharu. Seiring dengan kenaikan harga, kos sudah pasti akan meningkat termasuk kos sara hidup, katanya.

Abdul Rahman berkata kenaikan harga makanan tidak ada kaitan langsung dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti yang didakwa sesetengah pihak kerana barangan yang terlibat adalah sama ada cukai dikecualikan, kadar sifar atau bersubsidi.

Bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat terhadap impak kenaikan kos sara hidup, beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia.

Abdul Rahman berkata dengan permulaan perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang pada Julai lepas turut membantu penduduk Lembah Klang menangani masalah pengangkutan mereka.

“Memandangkan langkah-langkah yang diambil kerajaan setakat ini, maka wajarlah untuk mengharapkan rakyat juga memainkan peranan dalam mengurangkan bebanan mereka.

Mereka boleh berbuat demikian dengan meningkatkan keupayaan pendapatan mereka sama ada melalui produktiviti yang lebih tinggi, meningkatkan kecekapan atau bahkan melakukan kerja sambilan sebagai tambahan. Kalau boleh, mereka juga harus mengurangkan perbelanjaan mereka pada

barangan bukan kos sara hidup atau sekurang-kurangnya menangguhkan sementara hasrat untuk memuaskan kehendak hati mereka, katanya.

Mengenai Bajet, Abdul Rahman berkata dalam merangka dokumen belanjawan, kerajaan perlu mengambil kira jumlah hasil yang dijangkakan untuk dipungut bagi tahun yang dibincangkan itu dan menimbangkannya dengan hasrat rakyat , sementara pada masa sama, memastikan momentum pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan.

Beliau berkata Bajet 2018, yang dilabelkan sebagai Bajet Pilihan Raya juga menarik lebih banyak perhatian di kalangan rakyat kerana negara kini dalam pusingan terakhir persediaannya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.

Selaras dengan ini, jangkaan umum rakyat juga agak tinggi daripada biasa dengan senarai kehendak mereka lebih panjang daripada biasa.

Kali ini, ramai orang menanti-nantikan apa yang dipanggil “goodies dalam bentuk insentif, pemotongan cukai atau hadiah secara langsung seperti bonus untuk penjawat awam dan pesara, peningkatan pembayaran BR1M, peningkatan dalam kuantum elaun nelayan atau subsidi input lebih tinggi untuk para petani.

Sebagai seorang pemimpin kerajaan yang bertanggungjawab dan penyayang, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak sudah pasti suka untuk menggembirakan dan memenuhi impian setiap lapisan masyarakat, katanya.

Sunday, October 22, 2017

Mustafa Ali minta PAS berunding dengan Umno



Veteran PAS, Mustafa Ali berkata parti itu wajar berunding dengan Umno demi kepentingan negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2017.

VETERAN PAS, Mustafa Ali hari ini meminta parti itu menyambut cadangan rundingan yang dibuat oleh Umno demi kepentingan negara ini.

Dalam satu sidang media khas di Kuala Terengganu hari ini, bekas pengarah pilihan raya PAS itu berkata, PAS wajar berunding dengan Umno. 

"PAS wajar menyambut tangan yang dihulurkan Umno," katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Umno Annuar Musa sebelum ini.

Bagi beliau, PAS tidak semestinya masuk Barisan Nasional (BN) selepas berunding tetapi perlu berunding secara rasmi untuk bekerjasama dengan Umno.
Menurut Mustafa yang selama ini berusaha agar PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), cadangan ini diberikan selepas presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyifatkan PAS dan PH tidak ada 'chemistry' lagi.

Bagi beliau, pendekatan PAS yang mahu menjadi 'king maker' sebelum ini tidak sesuai kerana sistem pilihan raya di negara ini tidak akan membolehkan PAS berjaya.
"King maker hanya boleh berperanan apabila negara dalam keadaan 'hung parliament' (parlimen tergantung) tetapi kita sekarang mahu menyertai pilihan raya yang ada kerajaan dan pembangkang," katanya.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), veteran pilihan raya PAS yang tidak lagi disambung perkhidmatannya itu yakin parti itu boleh menambahkan undi popular dalam pilihan raya ini.
"Tetapi ia tidak semestinya penambahan kerusi untuk PAS," katanya.
Oleh itu, katanya, melalui kerjasama dengan Umno, PAS boleh menambahkan kerusi dalam pilihan raya nanti.

"Atas dasar itu, saya mahu lihat PAS bekerjasama dengan Umno kerana kedua-dua parti ini mewakili undi Melayu yang menjadi pengundi tunggak dalam negara ini," katanya yang bercakap atas pendapat peribadi beliau bukan atas nama PAS.

Mustafa yang memimpin PAS sejak 1974 selepas menang kerusi parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya umum tahun itu tidak memegang sebarang jawatan selepas Muktamar PAS di Alor Setar beberapa bulan lalu.

Namun, selepas itu beliau dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat PAS ketika Tuan Ibrahim Tuan Man memangku jawatan presiden ketika Abdul Hadi bercuti rehat selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Sebelum ini, Annuar Musa berkata, PAS dan Umno mempunyai DNA yang sama.
"Oleh kerana daripada DNA yang sama, maka saya berkeyakinan ada titik pertemuan. Maka, bagi kita marilah kita meraikan titik persamaan ini.

"Ini tidak bermakna PAS masuk Umno, Umno masuk PAS, tidak bermakna PAS semestinya menyertai BN (Barisan Nasional)… tetapi titik kebersamaan ini, matlamat perjuangan itu menjadi lebih penting," kata ahli parlimen Ketereh itu. 

Menurut Mustafa, beliau akan memberikan kenyataan kedua selepas ini apabila kedua-dua pihak iaitu PAS dan Umno memberikan pendirian masing-masing berkaitan kenyataan beliau ini.
Ketika ditanya wartawan bahawa Umno yang kelihatan beria-ia mahukan kerjasama ini manakala PAS pula tidak berminat, beliau bersetuju dengannya.
"Sebab itu bagi saya PAS perlu jelaskan perkara ini," katanya.

Bagi beliau, jika kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding, orang tengah tidak diperlukan.
"Orang tengah, tidak perlu. Umno dan PAS kena runding terus saja dengan lantik wakil masing-masing," katanya. – 22 Oktober, 2017.

BN bermasalah kekalkan kuasa, kurang ‘kerusi selamat’, kata pensyarah


 http://www.thesundaily.my/sites/default/files/thesun/Catalogue/600px-Flag_of_Barisan_Nasio.jpg
Prof Marzuki Mohamad dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, BN akan kekal sebagai parti pemerintah jika mereka memenangi 100 daripada 222 kerusi Parlimen.

“Melainkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dapat menjadikan baki kerusi itu sebagai kerusi selamat untuk BN, mengadakan pilihan raya umum sekarang agak berisiko untuk beliau,” katanya.

Dalam analisis yang dipetik New Mandala hari ini, Marzuki berkata secara realistiknya, Umno hanya berpeluang memenangi 57 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, sedangkan 70 daripada kerusi itu adalah kawasan bermajoriti Melayu, di mana 70% daripada pengundi ialah orang Melayu.

Beliau berkata, 8 daripada kerusi Parlimen itu terletak di Kedah yang merupakan kubu kuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala sekurang-kurangnya 5 kerusi lain mempunyai pengaruh kuat Pas, lapor FMT.

Katanya, sokongan pengundi bukan Melayu untuk BN sangat rendah sejak PRU13, di mana tinjauan terbaru menunjukkan tiada peningkatan sokongan bukan Melayu untuk kerajaan.

Marzuki berkata, terdapat 47 kerusi Parlimen di kawasan bermajoriti Melayu kecil di Semenanjung, di mana lebih 30% ialah pengundi bukan Melayu.

“Pengaruh Pas di kawasan ini sangat kecil dan mungkin tidak memberi banyak kesan kepada perpecahan undi Melayu.

“Di kawasan inilah PH cuba tembusi dan memberi cabaran serius kepada BN. Sesetengah kerusi Parlimen di kawasan ini sudah berada di tangan PH.”

Katanya, terdapat 48 kawasan bermajoriti bukan Melayu di Semenanjung yang boleh dianggap kerusi selamat buat pembangkang.

Beliau berkata, BN hanya mempunyai baki 57 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak yang merupakan ‘deposit tetap’ parti itu.

Bagaimanapun, katanya, 9 daripada kerusi itu kini dipegang pembangkang, dengan 5 lagi terletak di pantai timur Sabah yang cuba dikuasai Parti Warisan Sabah.

“Kerusi ini bukan lagi kerusi selamat untuk BN. Jadi, daripada 57 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, hanya 43 kerusi dianggap selamat untuk BN.”

Marzuki berkata, kemenangan BN pada PRU lalu disebabkan kemampuannya membangunkan ekonomi dan mengekalkan kestabilan politik.

Bagaimanapun, katanya, “keadaan ekonomi sekarang tidak kelihatan baik” susulan kenaikan kos sara hidup, pemansuhan subsidi untuk barangan penting, kadar inflasi disebabkan ringgit yang lemah serta pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6%.

Beliau menjangkakan Bajet 2018 yang bakal dibentangkan di Parlimen akhir bulan ini tidak dapat memberi banyak ruang kepada Najib untuk mencipta faktor “feel good” kerana “dana kerajaan semakin berkurangan, tanggungan besar dan masih perlu mengurangkan defisit bajet”.

Ini di samping skandal 1MDB yang menurut Marzuki, memberi kesan buruk kepada populariti Najib.

“Berdasarkan situasi ini, Najib mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk mengubah keadaan.

“Tetapi, masa mungkin tidak menyebelahinya,” katanya.

IINI BUKAN FILEM TAMIL, INI KISAH BENAR YANG BERLAKU DI MALAYSIA (WAJIB BACA DAN SEBARKAN)





Sekarang heboh cerita tentang 9 DRAGON yng didedahkan PPIM...

Korang tau tak kisah Akuan Bersumpah ASP Mior Fahim? (GAMBAR)





AKUAN BERKANUN

Saya, MIOR FAHIM BIN AHMAD (K/P Polis No: G/13237) yang beralamat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Jabatan Siasatan Jenayah, Johor dengan ini sesungguhnya dan seikhlasnya berikrar dan menyatakan seperti berikut:-

1. Saya bekerja sebagai seorang pegawai polis berpangkat Assisten Superintendan (ASP) di Cawangan D7 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), JSJ, Johor.
Saya membuat Akuan ini demi menjaga keselamatan peribadi dan integriti saya sebagai seorang pegawai polis berhubung tugasan dan siasatan yang saya lakukan dan arahan yang saya terima.

2. Pada 21.08.2006, saya telah terima arahan kenaikan pangkat dari C/Insp ke ASP melalui E-Siar.
Kenaikan pangkat saya berkuatkuasa mulai 01.07.2005.

3. Pada September 2006, saya telah berjumpa dengan KBPD IPD Kota Kinabalu – DSP. CHEW THAM SOON dan meminta bantuan beliau untuk menguruskan penempatan saya jawatan SIO Kota Kinabalu seandainya beliau mempunyai kenalan di bahagian perjawatan Bukit Aman, disamping itu saya juga telah memohon bantuan beberapa pegawai kanan lain yang saya kenali.

4. Saya telah berjumpa dengan DSP. CHEW THAN SOON dan saya bertanyakan penempatan saya.
Kemudian saya dimaklumkan beliau telah mencadangkan saya ke jawatan D7, IPK Johor.
Saya tidak bersetuju dan meminta beliau untuk mengekalkan saya di IPD Kota Kinabalu.
DSP CHEW THAM SOON meyakinkan saya untuk pertukaran ke D7 Johor.

5. Pada November 2006, saya mula dikenalkan kepada BK TAN.
Saya bersama DSP. WAN HASSAN (Tim. Komandan PULAPOL Kota Kinabalu) di bawa oleh DSP. CHEW THAM SOON ke sebuah pejabat yang terletak di bangunan AM-CORP, Petaling Jaya, Selangor.
Kami telah berjumpa dengan seorang lelaki Cina yang dikenali sebagai BK TAN.
Dalam perjumpaan terebut DSP. CHEW THAM SOON telah mengenalkan saya kepada BK TAN.
Kemudian saya telah ditemu bual oleh BK TAN berhubung pengalaman kerja.

6. Semasa perjumpaan tersebut, telah datang seorang lelaki Cina gemuk yang mengenalkan dirinya sebagai AH HON.
Dalam temubual tersebut, BK TAN memberitahu bahawa apabila saya bekerja di bahagian D7, IPK Johor, hendaklah bekerja dengan baik.
BK TAN juga beritahu saya AH HON merupakan orang yang menjaga ZON SELATAN dan memberitahu sekiranya ada apa-apa hal AH HON akan berhubung dengan saya.
Kemudian telah masuk seorang lelaki Melayu di pejabat sebelah, lalu BK TAN telah pergi menyambut lelaki tersebut.

7. DSP CHEW memberitahu saya bahawa lelaki melayu itu adalah salah seorang Ahli Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) iaitu DATO’ OTHMAN TALIB, yang mempunyai hubungan baik dengan BK TAN, dengan tujuan memudahkan urusan untuk kenaikan pangkat di masa hadapan.

8. Dalam waktu yang sama, masuk seorang lelaki Cina pendek ke Pejabat tersebut.
AH HON telah mengenalkan bahawa lelaki Cina tersebut adalah PT-D7 JOHOR (DSP. NG FOOK LONG).
DSP CHEW juga memberitahu saya bahawa BK TAN mempunyai perhubungan yang amat baik dengan TAN SRI KPN dan akan mendengar setiap cadangan dan nasihat BK TAN.
DSP CHEW juga menunjukkan seorang lelaki melayu yang sedang bekerja di pejabat bersebelahan dan memberitahu bahawa orang itu adalah anak lelaki TAN SRI KPN.
Sewaktu saya di pejabat BK TAN, saya juga lihat AH HON telah membawa keluar satu arahan pertukaran yang baru keluar dan arahan pertukaran tersebut dibincangkan oleh mereka bersama.

9. Pada Disember 2006, saya telah menyemak E-Siar dan mendapati nama saya terdapat dalam arahan pertukaran tersebut untuk melapor diri sebagai ASP D7, IPK Johor.
Pada hari yang sama juga AH HON telah menghubungi saya melalui talipon dan bertanyakan kepada saya bila hendak melaporkan diri dan meminta saya untuk melaporkan diri dengan cepat.

10. Lebih kurang 2-3 hari selepas arahan pertukaran keluar, saya telah menalipon beberapa pegawai kanan yang saya kenali ACP ROSLI MD ISA, DCP DATO’ MOKTHAR BIN HASSAN, ACP AZIZAN ABU TAAT yang pernah bertugas di Johor.
Mereka menasihatkan saya supaya berhati-hati dengan sindiket ekor haram dan pelacuran di Negeri Johor.

11. Pada 16.01.2007, saya telah melaporkan diri di IPK Johor.
Apabila saya melaporkan diri, AH HON telah menghubungi saya dan memaklumkan rumah telah disediakan.
Saya kemudian telah terus pergi ke rumah tersebut di Bistari Impian, Larkin dan berjumpa dengan tuan rumah.
Tuan rumah tersebut adalah seorang perempuan Cina.
Saya bertanyakan tentang harga sewa sebulan dan beliau mengatakan harga biasa adalah RM1,200/- sebulan tetapi beliau menawarkan untuk saya hanya dengan RM900/- sebulan dan pada masa yang sama juga saya meminta beliau untuk menyediakan surat perjanjian sewa rumah.
Beliau mengatakan “Tuan duduk dululah nanti baru kita kira”.

12. Semasa saya melaporkan diri kepada PT-D7 DSP. NG FOOK LONG, beliau telah meyampaikan beberapa arahan penugasan dan memberi arahan semua serbuan boleh dibuat ke atas aktiviti haram kecuali judi empat nombor ekor haram dan hendaklah memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu.

13. Pada 28.02.2007, saya telah terima sms dari AH HON dari talian no. 017-2551255 yang berbunyi “Tolong Ambil Tindakan Serta Merta 4A(a) atas Tiga Tempat berikut No. S38, S25A dan S37 Jalan Bukit Batu 11, Kulai Johor.
Tugasan dari atas tengah perhatikan. Jangan balik kosong”.
Saya kemudian telah memaklumkan kepada PT-D7 DSP. NG FOOK LONG dan beliau pun mengatakan ada menerima sms yang sama.
Saya memberitahu DSP NG FOOK LONG, “Kita pegawai polis dan tidak boleh ikut arahan AH HON” yang saya dapati ahli sindiket haram.
DSP NG FOOK LONG hanya mendiamkan diri.

14. Pada awal Mac 2007, saya telah keluar dari rumah yang disediakan oleh AH HON dan mencari rumah sewa sendiri di Bandar Baru Uda.
Saya telah menguruskan sendiri penyewaan dan perpindahan ke rumah tersebut.

15. Saya juga telah terima sms dari AH HON, dimana AH HON meminta maaf di atas arahan beliau untuk buat serbuan.
Selepas dari itu, tiada perhubungan lagi dengan AH HON.

16. Sekita waktu sama pada awal Mac 2007, saya telah terima maklumat dari anggota D7 iaitu SM/D.94894 Manimaran, Sjn/D.104700 Raja Kumar, Sjn/D.88548 Tow Pong Yew, L/Kpl/D.115161 Asmawi Bin Utar dan Sjn. 89379 Yassim Bin Malek – dari IPD Kluang, Johor bahawa sindiket TENGKU (GOH CHENG POH) dibawah seliaan AH HON telah aktif menjalankan kegiatan judi empat nombor ekor haram dengan memonopoli seluruh Negeri Johor, dimana TENGKU mempergunakan Pegawai dan Anggota D7 untuk membuka kes fail ke atas mana-mana ajen/penganjur yang tidak tunduk kepada sindiket tersebut.
Mana-mana pegawai dan anggota tidak mengikut telunjuk sindiket ini akan ditukarkan ke PGA.

17. Ada diantara anggota D7 yang tidak dapat menerima perkara ini telah memohon untuk bertukar keluar dari D7, IPK Johor tetapi tidak disokong oleh PT-D7 terdahulu iaitu DSP. MOHD HEDZIR BIN HUSSIN dan SI/D.59920 NG SWEE MIN.
Atas sebab tersebut, saya telah mengeluarkan arahan kepada Pegawai D7 dan anggota D7 supaya mendapatkan maklumat ke atas kegiatan sindiket TENGKU untuk penyediaan kes fail.

18. Pada 28.03.2007, sepasukan Pegawai dari D7 Bukit Aman, Kuala Lumpur yang di ketuai DSP. ZAWAWI telah membuat serbuan/tangkapan ke atas dua (2) pusat pengiraan judi empat nombor ekor loteri awam haram iaiatu di Taman Sri Putri, Kulai Johor dan Taman Sentosa, Johor Bahru.
Dalam tangkapan tersebut sejumlah 32 buah mesin faks dan tujuhbelas (17) orang telah ditangkap bersama lebih kurang 3,000 helai “ekod of stake”, Rujuk: Kulai Report: 2588/2007 dan Johor Bahru Selatan Report: 7295/2007.

19. Hasil dari risikan yang diperolehi dari tangkapan-tangkapan di atas, saya telah membuka kes fail dibawah Ordinan Darurat (KA & MJ) 5/69 ke atas tiga (3) orang subjek yang terlibat langsung dengan TENGKU.
Manakala kes fail terhadap TENGKU tidak dapat dibuka kerana kekurangan “statement”.
Tiga (3) orang subjek yang diambil tindakan kes fail adalah bernama:-

(a) SOH KING SIANG;
(b) LIM CHIN CHAI; dan
(c) LEE YOKE HAN.

20. Ketiga-tiga kes fail ke atas subjek terserbut diatas telah diedarkan ke D7, Bukit Aman, untuk kelulusan tangkapan di bawah Sek. 3(1) Ord. Darurat (KA & MJ) 5/69.
Namun, sehingga kini ia masih belum diluluskan.

21. Kemudian dari itu, saya dapati tigabelas (13) orang dari tujuhbelas (17) tangkapan di atas telah membuat laporan Polis dengan mendakwa saya dan anggota-anggota yang terlibat dalam soalsiasat dan merakam percakapan risikan telah memukul mereka semasa dalam tahanan dan rakaman percakapan risikan, dimana kebanyakkan tangkapan adalah wanita tua.

22. Akibat daripada laporan yang di buat oleh tangkapan-tangkapan di atas, satu pasukan TATATERTIB diketuai oleh DSP. Navamaney telah merakamkan percakapan saya dan anggota terlibat.
Siasatan Tatatertib menjurus kepada membantu kepada pihak sindiket, sedangkan saya dan anggota tidak menggunakan sebarang kekerasan terlebih lagi terhadap wanita tua.
Selang dua hari kemudian, saya dapati DSP. Navamaney telah dinaikkan pangkat P/SUPT.

23. Pada 30.03.2007, saya dan anggota D7 telah menangkap tiga (3) orang subjek di bawah Sek. 3(1) Ordinan Darurat (KA & MJ) 5/69 yang merupakan ahli sindiket TENGKU.
Butiran diri mereka adalah seperti berikut:-

(a) CHAI NGEW;
(b) CHIN YEW FAH; dan
(c) TAN LEE POEY

24. Subjek (i) dan (ii) telah ditahan di lokap Balai Polis Larkin, dimana ketiga-tiga mereka ditahan untuk tempoh 60 hari sementara arahan KKDN.
Selepas sembilan (9) hari kemudian, ketiga-tiga subjek di atas dibebaskan tanpa pengetahuan saya, sedangkan saya merupakan IO kes fail.
Mereka telah dibebaskan oleh P/DSP. NG FOOK LONG di atas arahan DATO KHALID BIN ABU BAKAR – Tim. Pengarah JSJ 1 – (Operasi/Risikan).
Setelah meneliti ketiga-tiga kes fail tersebut, saya dapati mereka dibebaskan dengan alasan, telah insaf, tiada kekerasan dan menjalankan aktiviti secara individu, sedangkan arahan PJSJ No. 2/2005 masih dikuatkuasakan.

25. Pada 29.05.2007, saya telah meneliti E-Siar dan mendapati lima orang pegawai D7, IPK Johor telah ditukarkan keluar dari Bahagian D7, IPK Johor dan salah seorang pegawai saya bernama C/INSP. SUNDAR RAJAN A/L ELLUMALAI (I/12413) telah ditukarkan-ke PGA SIBU.
Saya dapati pengawai ini ditukarkan kerana beliau telah terlibat dalam merakamkan percakapan risikan ke atas seorang tangkapan bersabit J.BAHRU REPORT: 7295/2007 yang mendedahkan secara positif penglibatan TENGKU dalam penganjuran aktiviti perjudian empat nombor ekor loteri awam haram.
Selain itu, pegawai ini juga aktif dalam menangkap ajen-ajen menulis judi empat nombor ekor loteri awam di bawah sindiket TENGKU.

26. Adalah saya mengatakan bahawa sebagai seorang pegawai polis, saya merasa amat tertekan bahawa tindakan saya dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan jenayah judi haram yang membabitkan sindiket dibawah naungan TENGKU dan BK TAN boleh menyebabkan saya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib.
Saya menganggap ini satu penganiayaan terhadap diri, kerjaya, keluarga dan nama baik saya.

Dan saya membuat pengakuan ini dengan sesungguhnya mempercayai bahawa yang sama adalah benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun, 1960.

DITANDATANGANI DAN DIIKRAR )
SESUNGGUHNYA oleh MIOR FAHIM BIN )
AHMAD (G/13237) tersebut di atas di Kuala Lumpur )
pada haribulan 2007 )

Di hadapan saya,
Pesuruhjaya Sumpah

(The original copy of the above was signed and personally delivered to Tun Dr Mahathir Mohamad by Raja Petra Bin Raja Kamarudin).

Nota : ASP Mior Fahim Bin Ahmad , yang membuat laporan diatas telah meninggal dunia akibat lemas, moga rohnya tenang disana walaupun semasa hidupnya , beliau dianiaya oleh pihak berkuasa yang menyalah gunakan kuasa , korup dan menyeleweng , amin .

Pegawai Polis berpangkat ASP pernah dedah kisah "9 Dragons"



ANTARA cerita paling panas minggu ini ialah pendedahan oleh PPIM tentang wujudnya sindiket yang digelar sebagai "9 Dragons" didakwa sangat berpengaruh sampai boleh mengawal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pendedahan itu secara tak langsung menjelaskan kepada kita persoalan mengapa pusat-pusat judi haram, dan rumah-rumah pelacuran berselerak di seluruh negara tidak pernah dapat dihapuskan.

Apa sahaja namanya, 9 Dragon ke 10 Dragon mahupun beribu-ribu lemon Dragons, kisah yang didedahkan oleh PPIM berkisar tentang sindiket haram tertentu yang mengawal PDRM

Perkara ini jelas sekali serupa dengan dakwaan dalam kenyataan bersumpah oleh seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) bernama Mior Fahim Bin Ahmad (K/P Polis No: G/13237) yang tersebar satu masa dahulu.

Anggota polis berkenaan telah mendedahkan secara panjang lebar dan terperinci dalam akuan bersumpahnya tentang bagaimana individu-individu tertentu yang terlibat dengan aktiviti judi haram di Johor telah menjadi "tangan ghaib" mengawal PDRM.

Beliau turut mendedahkan bagaimana pegawai-pegawai tinggi dalam pasukan PDRM telah dikuasai oleh sindiket tersebut. Sampaikan pegawai polis yang baru berpindah di Johor, akan ditemubual oleh wakil sindiket itu.

Pada penghujung kenyataan bersumpah itu, Mior Fahim meluahkan rasa amat tertekan apabila tindakannya di dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan jenayah judi haram telah menyebabkan dirinya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib polis.

Enam pegawai polis dan dua individu kongsi gelap telah menandatangani akuan bersumpah mendakwa pegawai-pegawai tinggi polis, sehingga Ketua Polis Negara mempunyai hubungan dengan sindiket dadah, judi haram, pelacuran, dan ahlong yang berpengkalan di Johor dan telah memperluaskan operasi mereka ke seluruh Malaysia.

Seorang lagi pegawai polis telah membuat laporan mendakwa keluarganya telah diculik oleh ACA bagi memaksanya menukar kenyataan, sementara ketua CCD dan peguamnya telah ditahan dan didakwa atas tuduhan-tuduhan jenayah sebagai hukuman kerana menangkap ketua kongsi gelap di bawah Ordinan Darurat.

Sumber — malaysia-today.net (sila klik untuk baca kenyataan bersumpah tersebut)



Saudara Mior Fahim ditemui mati dalam tahun 2014. Kematiannya dilaporkan selepas hilang ketika mandi di air terjun Sungai Tungku, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun Gerik.

Semoga roh Allahyarham dilimpahi rahmat oleh Allah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber — mStar


Read more: http://www.milosuam.net/2017/10/pegawai-polis-berpangkat-asp-pernah.html#ixzz4wIbYXBMs

Tuesday, October 10, 2017

NEGARA INI BUKAN UMNO YANG PUNYA


Satu keburukan paling nyata kepada rakyat jelata yang disebabkan UMNO tidak pernah kalah sejak pilihanraya pertama pada 1955 ialah parti itu dan pemimpinnya merasakan negara ini adalah kepunyaan mereka.
Ketika sedang memegang kuasa, tidak saja segala-galanya seperti masjid, sekolah, harta kerajaan, wang rakyat dan sebagainya umpama hak mereka, semasa pilihanraya pula akan selalu terdengar gambaran seolah-olah mengalahkan UMNO adalah sama dengan menumbangkan kerajaan.
Keadaan itu sebenarnya tidak baik kepada rakyat. UMNO hanyalah parti yang diberi kuasa mentadbir kerajaan secara sementara, tetapi yang berkuasa selama-lamanya adalah rakyat dan pengundi.
Setiap lima tahun apabila pilihanraya diadakan,  rakyat mesti memilih semula kerajaan baru untuk lima tahun berikutnya dan begitulah seterusnya. Ini bermakna tuan sebenar adalah rakyat dan parti-parti yang bertanding, termasuk UMNO, perlu mendapat mandat baru dalam pilihanraya yang diadakan itu.
Jika parti yang menguasai kerajaan itu memuaskan hati dan menjaga kebajikan rakyat, kemungkinan ia dipilih semula adalah tinggi. Sebaliknya, kalau khianat dan tidak amanah kepada kuasa yang dipegang itu, rakyat biasanya akan memilih parti lain sebagai pengganti.
Tidak dinafikan UMNO ketika dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn atau Tun Mahathir, ada jasa-jasa tertentu yang mereka lakukan yang menyebabkan mereka sentiasa dikenang, selain keutamaannya ialah menjaga kepentingan rakyat. Hak rakyat sentiasa dipelihara sambil negara dibangunkan berdasarkan era serta kemampuan masing-masing.
Itulah antara sebab dan penyumbang kekalnya UMNO tanpa henti-henti berkuasa sejak sebelum merdeka lagi.
Tetapi, UMNO ketika era Najib Razak ini sudah terlalu jauh berbeza. Selain hak rakyat tidak dijaga, berlakunya begitu banyak skandal sehingga menjadi sebutan dan siasatan di pelbagai negara telah menjadikan UMNO tidak layak lagi untuk terus diberikan kuasa dalam negara ini. Negara yang dulu harum sudah jadi busuk disebabkan oleh Najib.
Di pelbagai negara lain, pemimpin seperti Najib ini sudah lama "ditendang"  daripada puncak kuasa. Beberapa negara jiran kita dan negara-negara Arab misalnya, mereka lebih dulu tidak rela mempunyai pemimpin yang penuh skandal, banyak membazir dan ghairah kepada kemewahan atas nama kuasa yang rakyat berikan.
Tetapi, oleh kerana UMNO mempunyai sejarah kuasa yang agak panjang dan dengannya merasakan negara ini mereka yang punya, bukan saja pemimpin yang penuh skandal itu tidak sedar diri, para penyokong dan pengikutnya juga sama begitu.
Mereka kini mempertahankan UMNO untuk terus berkuasa bukan lagi untuk menjaga kebajikan atau kepentingan rakyat, sebaliknya lebih untuk mengelakkan pemimpinnya daripada diadili dan didakwa atas kecurangan besar yang dilakukannya itu.
Selepas kekal berkuasa, tidak mustahil kecurangan yang lebih besar akan terus berlaku dan berlaku lagi tanpa titik noktahnya.
Setelah beberapa kali pilihanraya umum diadakan, PRU 14 akan datang adalah satu-satunya peluang terbaik untuk rakyat menukar kerajaan dan seterusnya menyedarkan UMNO bahawa negara ini bukan mereka yang punya.
Selain kerana alternatifnya iaitu Pakatan Harapan sedang berada di landasan yang betul dan dipimpin oleh Tun Mahathir yang pernah memberi kebahagian dan dan kesejahteraan selama 22 tahun kepada kita sebelum ini, kelebihan kepada perubahan juga disebabkan Perdana Menteri dan Presiden UMNO sekarang mempunyai reputasi dan imej paling buruk dalam sejarahnya.
Gagal menukar parti yang menguasai kerajaan dalam pilihanraya akan datang samalah seperti mengekalkan bala bencana yang sudah sedia ada.
Negara akan menjadi lebih baik dan rakyat turut menerima lebih manfaat jika perubahan kerajaan dan parti yang memegang kuasa mudah bertukar ganti. Parti yang terlalu lama memerintah dan sukar bertukar ganti biasanya hanya menggalakkan gejala rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan samunan terhadap harta rakyat semata-mata.
Parti yang mudah bertukar ganti untuk menguasai kerajaan akan menyebabkan masing-masing berlumba untuk memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat. Pemimpinnya pula lebih takut untuk melakukan kesalahan kerana bimbang ia akan dibongkar dan diadili oleh pihak yang berkuasa selepasnya.
Malaysia, didorong oleh gejala buruk dan kecurangan besar yang dilakukan oleh UMNO ketika ini, sudah sampai waktunya kita harus berani melangkah ke arah perubahan. Bukan UMNO tidak ada jasanya, tetapi kesalahan dan pelbagai gejala buruk di era Najib ini jauh lebih besar dan tidak boleh dibiarkan lagi, berbanding jasa masa lalunya.
Dengan parti boleh bertukar ganti, tidak saja UMNO akan sedar bahawa  negara ini bukan mereka yang punya, malah akan menyebabkan bermulanya era berlumba-lumba di kalangan parti-parti yang bertanding untuk menawarkan yang terbaik kepada rakyat.
Jika selepas berkuasa, Pakatan Harapan tidak menjadi sebaik yang dijanjikan, ia boleh dan lebih mudah dikalahkan dalam pilihanraya berikutnya. Kalau UMNO ketika itu sudah insaf dan dibarisi pemimpin-pemimpin yang boleh diharapkan, kuasa boleh dikembalikan semula kepadanya.
Yang penting, keadaan itu dapat mengukuhkan lagi keyakinan rakyat betapa Malaysia ini milik mereka dan siapa yang mahu diberi kuasa untuk menguruskannya juga adalah kebebasan mereka menentukannya.
Langkah Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik akan bermula sebaik UMNO dan Najib dikalahkan terlebih dahulu.
Rakyat Bangkit
*gambar sekadar ilustrasi sahaja

RAKYAT BERSUJUD SYUKUR JIKA PAS - UMNO BERSATU


Oleh Zola


1. Annuar Musa ahli Umno. Nasharuddin Mat Isa, masih ahli Pas. Kedua-duanya bersuara dgn nada yg sama walaupun dgn lenggok bahasa yg berbeza. Dipercayai, mereka berdua juga punya niat yg sama iaitu Pas - Umno perlu memuktamadkan kerjasama yg lebih akrab berbanding sekadar bertaawun secara matang dan sejahtera. 

2. Umno mengaku parti Melayu dan Pas pula mengaku parti Islam. Apa salahnya demi Melayu - Islam, Pas dan Umno bekerjasama dlm PRU akan datang utk tidak berlawan sesama sendiri. Mereka fokus utk lawan PH saja. Mereka senang, rakyat pun senang utk buat keputusan. 

3. Mengeratkan kerjasama Pas - Umno atas nama taawun atau kolaborasi politik tidak berlawanan dgn hukum politik demokrasi. Bahkan bagi ulama Pas, kerjasama parti itu dgn Umno tidak berlawanan dgn hukum syarak mengikut qaul jadid (pendapat baru), selepas qaul qadim (pendapat lama) termansukh. 

4. Dalam qaul qadim, kerjasama dgn Umno haram sebab Umno mendokong perlembagaan penjajah dan sembelihan orang Umno dikira bangkai sebab mereka memisahkan agama dgn politik. Tapi qaul jadid sudah memansuhkan semua qaul qadim kerana perubahan masa, tempat dan waqi' (realiti). Realiti kini, kerjasama dgn Umno adalah harus. 

5. Annuar kata, Pas - Umno punya DNA yg sama. Nasharuddin kata, kerjasama itu perlu demi kebaikan negara. Nah, jika gayung sudah bersambut dan tepak sudah mencari sireh, apa salahnya saranan itu diraikan dlm sebuah acara yg gilang-gemilang. Semua itu bukan lagi suatu kesalahan dlm hukum politik dan hukum agama. 

6. Saya fikir, Pas mesti lebih berani dalam langkah politiknya utk bersama dgn Umno kerana ahli Pas yg masih bersama Pas kini, terutama yg bersama dlm acara fastaqim, tidak akan meninggalkan Pas walaupun halilintar membelah bumi. Setia mereka kpd Pas sama seperti setianya air bertakung dgn lumut. Lagi erat kesetiaan itu, lumutnya lebih hijau dan airnya juga akan jadi hijau. Jadi apa salahnya takungan itu diperkemas? 

7. Hukum agama tidak lagi menjadi halangan sebab, idea politik matang dan sejahtera didokong oleh ulama Pas dan direstui oleh Presiden Pas yg bukan calang-calang orang. Beliau Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, sehingga ada tokoh ulana yg berkata, nak belajar fiqh, tauhid, politik, bahasa, belajarlah drpd Syeikh Abdul Hadi. Ini pengiktirafan yg tiada ternafi lagi. 

8. Mursyid Am Pas juga sudah melabelkan Amanah sebagai Muktazilah, lanjutan drpd DAP dilabel sebagai kafir harbi, PKR sebagai pragmatis, maka apa lagi alasan yg ingin dicari oleh ulama Pas. Takkanlah Muktazilah, kafir harbi dan golongan pragmatik mahu dibiar berkuasa selepas PRU akan datang. Takkan Mahathir nak dibiarkan. Semuanya mesti dihalang, bahkan wajib dihalang. 

9. Cara menghalang yg paling baik ialah Pas - Umno bersatu, bekerjasama atau lebih baik bergabung untuk lawan PH. Pas - Umno sudah punya matlamat dan niat yg sama, maka teruskanlah niat suci itu. Saya percaya rakyat Malaysia akan merestui niat dan hasrat Pas - Umno itu. 

10. Permudahkanlah rakyat utk membuat keputusan dlm PRU akan datang. Jika Pas - Umno bekerjasama lebih akrab dan lebih jelas drpd apa yg sedang berlaku kini, bukan saja orang yg bukan Pas akan bersujud syukur, bahkan pentaksub Pas juga akan bersujud syukur dgn nikmat kerjasama itu. ~ sumber

Raja-Raja Melayu bimbang isu hubungan kaum


10 Oktober 2017 / Utusan

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Raja-Raja Melayu memandang berat terhadap isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat berbilang agama serta kaum di negara ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, sejak kebelakangan ini, tindakan beberapa individu tertentu yang bersifat keterlaluan dibimbangi boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum.

Menurut beliau, Raja-Raja Melayu berpendirian bahawa isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu dilakukan menggunakan nama Islam.

“Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleransi, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan yang keterlaluan dan memisahkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syed Danial, Raja-Raja Melayu amat menghargai pendirian tegas yang dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai kes dobi untuk Muslim sahaja di Johor serta pendirian Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kes serupa di Perlis.
Jelas beliau, pendirian baginda berdua mencerminkan keprihatinan mengenai pentingnya umat Islam di negara ini mengamalkan sikap toleransi, sederhana dan inklusif.

Katanya, pada masanya, rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan persefahaman bahawa negara ini terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum serta agama.

“Rukun Negara yang diisytiharkan sebagai ideologi kebangsaan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat pada 31 Ogos 1970 telah menggariskan lima cita-cita dan prinsip yang haru menjadi kompas kepada semua pihak, baik pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya.

“Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia,” katanya.

GST - MEMANG MEMBEBANKAN - KATA ORANG MUDA......


KUALA LUMPUR, 7 JUN: Kajian perbandingan harga keperluan runcit bagi sebuah pasaraya yang dijalankan oleh badan pemikir REFSA baru-baru ini mendapati, harga barang meningkat pada peratusan yang sangat membimbangkan selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kajian tersebut yang membandingkan harga-harga barang keperluan harian antara tahun 2010 sehingga 2017 dengan meneliti risalah-risalah lama pasaraya tersebut memperlihatkan angka-angka yang memeranjatkan.
Pek isian semula Milo 1kg mencatatkan kenaikan 40.03 peratus iaitu RM20.99 pada tahun 2017 berbanding hanya RM18.99 pada tahun 2013.
Walaupun tidak dikenakan GST, harga paha ayam bagi setiap kilo turut mengalami kenaikan sebanyak 52.46 peratus daripaa RM6.59 (2013) kepada RM9.59 (2017).
Kopi pra-campuran yang dijual pada harga RM7.99 pada tahun 2012 mencatatkan kenaikan sehingga 75% apabila ia dijual pada harga RM13.99 pada tahun ini.



Barang-barang keperluan lain seperti beras, makanan sejuk beku, sabun basuh baju, susu pekat dan sebagainya lagi turun mencatatkan kenaikan purata 40% seperti dalam rajah di bawah:

Di sebalik dakwaan kononnya pelaksanaan cukai GST sebagai adil kerana setiap individu akan membayarnya – sekaligus menambah pendapatan negara, ia ternyata terus memberi kesan susut nilai kepada kocek setiap rakyat di negara ini.
Bagi golongan muda yang terdedah dengan gaya hidup bandar – makan di restoran, gadget, pengangkutan awam, parkir, tol, termasuk aktiviti sosial malam minggu, GST memberi kesan langsung terhadap perbelanjaan harian mereka.
Tinjauan Roketkini di sebuah kompleks membeli belah popular di ibu negara baru-baru ini mendapati, semua responden yang terdiri dari kalangan golongan muda bekerja memberi isyarat ‘tidak’ kepada pelaksanaan GST.
Perhatian yang diberikan golongan muda terhadap pelaksanaan cukai membebankan tersebut jelas ketara apabila responden cakna dengan perubahan setiap sen yang mereka belanjakan.


GST perlu dikurangkan kata Syafiqah, 23.
Apabila ditanya wajarkah GST dinaikkan lagi untuk menambah kantung negara,Shafiqah, 23yang mengakui rasa terbeban dengan cukai itu menyatakan tidak bersetuju malah memberi pandangan sebaliknya.
“Tak setuju, rasanya 6 peratus ni dah cukup. Ya, ada rasa terbeban. Macam kalau kita ke restoran, 6 peratus (GST) dia caj, lepas tu ‘service charge’ restoran punya pun dia caj dah jadi (semuanya) lebih enam peratus,” katanya yang kini sudah bekerja.
Berkongsi pandangan yang serupa, Kenny, 33, berkata kadar 6 peratus yang dikenakan dalam GST sudah memberi kesan kepada perbelanjaannya.

Pelaksanaan cukai GST memang dirasai kata Kenny.
“GST 6 peratus juga sudah beri kesan (pada perbelanjaan harian). Kalau boleh, GST ini diturunkan sebab saya rasa, orang biasa sudah terbeban dengan cukai itu,” katanya.
‘Harga barang turun’
Dongeng kerajaan kononnya ‘harga barang akan turun kerana GST’ sekadar menjadi penyedap telinga, faktanya, ‘harga barang masih meningkat kerana GST’. Malah, kumpulan rakyat berpendapatan rendah lebih terjejas dengan pelaksanaan cukai itu.
Realitinya, sama ada GST dilaksanakan atau tidak, kerajaan masih gagal menangani kenaikan harga keperluan rakyat – apalagi jika kadar 6 peratus itu wujud dalam resit pembelian anda!
Arif, 23, pula berpandangan bahawa beban GST akan lebih dirasakan mereka yang berpendapatan sederhana dan ke bawah.
Mengakui tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST, beliau berkata purata pendapatan rakyat negara ini masih di tahap rendah.
“Mungkin bagi golongan kelas ekonomi pertengahan dan ke atas mungkin ‘okay’lah tapi purata (pendapatan) dalam kalangan rakyat Malaysia yang biasa masih rendah.
“Bagi pendapat saya, kalau nak laksanakan masih boleh tapi rendahkan lagi jadi 4 peratus atau 2 peratus lebih kurang macam tu,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat perkapalan Singapura.


Golongan berpendapatan sederhana dan kebawah lebih merasai beban akibat GST kata Arif.

Menurut Arif, kenaikan kadar harga sesuatu barangan masih meningkat meskipun kerajaan memansuhkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 10 peratus dimansuhkan.

“Kalau nak ceritakan pasal ni, rasanya masa cukai SST kemudian GST, kerajaan tak tolak pun SST 10 peratus, maknanya kita bayar 16 peratus bukannya 6 peratus.

“Contohnya kalau pergi shopping, dulu sebelum GST misalnya beli seluar harga RM50 (ada SST), tapi bila ada GST harga tu jadi lebih. Sepatutnya harga jadi lebih kurang; RM50 kurang 10 peratus SST tambah 6 peratus GST – sepatutnya kurang. Tapi, sekarang dah jadi lebih daripada RM50.
“Tak taulah kerajaan kutip banyak ke kurang tapi kalau ikut logik memang lebihlah,” katanya.
Meski GST diunjurkan memberi pulangan sebanyak RM42 bilion kepada kerajaan pada tahun 2017, tanpa pengurusan yang telus dan cekap, kerajaan akan tetap gagal mencapai objektifnya.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin

Mengulas hal ini, Adun Damansara Utama Yeo Bee Yinmenyifatkan pertumbuhan KDNK negara yang baru sahaja diumumkan kerajaan tidak dirasai oleh rakyat di bawah.

“Kerajaan baru sahaja mengumumkan angka pertumbuhan KDNK sebanyak 5.2%

“Namun bagi rakyat biasa, gaji mereka tetap tidak bertambah atau tidak dapat mengejar peningkatan kos sara hidup ekoran inflasi disebabkan pelaksanaan cukai GST,” ujarnya.


Menurut Bee Yin, struktur ekonomi Malaysia menyebabkan kekayaan yang dihasilkan negara yang diterjemahkan melalui KDNK tersebut tidak dinikmati secara sekata.
“Ia hanya tertumpu kepada mereka yang berada di atas ‘piramid’ ini. Bukan rakyat biasa seperti kita semua,” tegasnya.

Cukai GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015 setelah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen dalam ucapan belanjawan pada 25 Oktober 2013. Ia disokong oleh 118 Ahli Parlimen Barisan Nasional