UMNO Jangan Cepat Mimpi Kerjasama, Pas Tak Mungkin Khianati Nik Aziz
oleh Shahbudin Husin
UMNO nampaknya terdesak benar mahu berbaik dan bekerjasama dengan Pas. Perginya Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menghuni penjara untuk tempoh lima tahun dan meninggal dunianya Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat cuba dijadikan batu loncatan ke arah mencapai tujuan itu.
UMNO ketika ini sedar kedudukannya sedang merudum. Pemenjaraan Anwar menjadikan semakin meluas golongan yang menyimpan simpati dalam diam.
Oleh itu, UMNO merasakan hanya menjalinkan kerjasama dengan Pas saja dapat memberi harapan kepada masa depannya, sekaligus juga menjadikan PR terus tempang.
Bermula dengan pujian dan sanjungan sebahagian besar pemimpin UMNO sebaik tersebarnya berita kematian Nik Aziz sehinggalah pengkebumiannya sedangkan Tok Guru inilah yang dikata dan dicerca macam-macam semasa hidupnya, UMNO meneruskan lagi pengiktirafannya dengan kemungkinan tidak meletakkan calon dalam pilihanraya kecil DUN Cempaka pula.
DUN Cempaka sejak sekian lama diwakili oleh Nik Aziz dan berikutan kematiannya, pilihanraya kecil mesti diadakan dalam tempih 60 hari.
Selepas Pengerusi UMNO Kelantan, Mustapha Mohamad menyuarakan kemungkinan itu, beberapa pemimpin UMNO termasuk KJ, Shahrizat dan lain-lain turut berpandangan sama.
Selain banjir yang baru melanda Kelantan dijadikan alasan dan kini dikatakan tempoh untuk bekerja membantu mangsa-mangsa banjir, alasan lain ialah kononnya sebagai penghormatan kepada Nik Aziz yang baru meninggal dunia.
Hahaha...sejak bila UMNO berperangai sedemikian kepada pemimpin parti lain? Ikhlas dan dari hati yang jujur lagi suci kerana Allahkah semua perbuatan itu?
UMNO tidak perlu pura-pura bahawa mereka sebenarnya sangat terdesak ingin berpeluk cium dan "ya hanana" dengan Pas. Semua tindakan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO ketika ini tidak lain ialah untuk menunjuk baik kepada Pas supaya lebih terbuka di ruang hati para pemimpinnya untuk menyambut kerjasama itu.
Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa ada menyatakan kematian Nik Aziz mungkin membuka ruang semula kepada kerjasama itu yang tertangguh sejak 2008 lagi. Tetapi belum ada pemimpin Pas yang bercakap secara terus-terang mengenainya, cuma kerenggangan hubungan Pas dalam PR dan dengan DAP dilihat memungkinkan ke arah kerjasama dengan UMNO itu.
Tetapi yang kuat menentang kerjasama Pas dengan UMNO sebelum ini ialah Nik Aziz sendiri, malah pernah membuat kenyataan akan meludah sesiapa yang berani bercakap dengannya mengenai perkara itu.
Nik Aziz juga berulangkali menyatakan Pas hanya sedia bekerjasama jika UMNO bersedia membuang perjuangan assabiyah atau kebangsaan yang didokongnya dan menukar seratus peratus kepada Islam.
Pendirian kukuh Nik Aziz dalam menentang UMNO ini secara umumnya dikongsi oleh majoriti ahli di seluruh negara serta pelbagai peringkat kepimpinannya. Nik Aziz juga berulangkali kecewa dengan UMNO dan kerajaan Pusat yang menafikan royalti minyak untuk rakyat Kelantan.
Yang terpana dengan silau dan sinar yang sesekali kelihatan di wajah UMNO dan para pemimpinnya hanyalah segelintir pemimpin Pas saja.
Walaupun golongan ini yang dipanggil "kelompok UG atau "Unity Goverment" cuba juga mengeluarkan kenyataan atau pendirian yang lebih condong kepada UMNO dan kerajaan Pusat, tetapi Nik Azizlah yang kuat membentengi usaha-usaha ke arah kerjasama itu.
Kadang-kadang disebabkan Nik Aziz yang begitu dihormati dan kukuh pendiriannya itu, kelompok dalam Pas yang terhegeh-hegeh mahu berbaik dengan UMNO turut malu sendiri untuk lebih kerap bercakap soal kerjasama dengan UMNO itu.
Begitulah kuatnya pengaruh Nik Aziz dalam Pas. Beliau bukan saja kukuh dengan pendirian Pas bersama PR, malah tidak pernah goyang keyakinan dengan Anwar Ibrahim sejak daripada awal lagi.
Kini Nik Aziz sudah meninggal dunia dan Anwar pula di dalam penjara. Apakah semudah itu Pas mahu bekerjasama dengan UMNO dan melupakan pendirian yang dipegang Nik Aziz semasa hayatnya?
Tidakkah jika Pas sedia bekerjasama dengan UMNO bererti parti Islam itu mengkhianati perjuangan Nik Aziz selama ini?
Memang UMNO terdesak untuk bekerjasama dengan Pas ketika ini, sebutlah atas nama Islam atau Melayu sekali pun, tetapi hakikatnya kerjasama itu tidak lain ialah menyelamatkan kuasanya yang semakin rapuh.
Pemenjaraan Anwar, selain pengundi muda semakin menjauhkan diri, pengundi bandar, separa bandar dan bukan Melayu juga menjadi semakin kukuh dengan PR atas nama perubahan.
Harapan UMNO yang tinggal hanyalah pengundi Melayu dan luar bandar yang boleh diperkukuhkan lagi jika kerjasama dengan Pas dapat dijadikan kenyataan.
Namun, UMNO janganlah terlalu cepat bermimpi. Walaupun Nik Aziz sudah tiada, pengaruh dan ajarannya tetap kukuh di hati majoriti ahli dan pimpinan Pas sendiri. Tidak semudah menukar baju bagi Pas untuk bercerai dengan PR dan bercanda-candaan dengan UMNO.
Memuji-memuji dan menyanjung pemergian Nik Aziz, termasuk tidak bertanding di DUN Cempaka tidak mungkin menjadikan kerjasama sebagai kenyataan. Lainlah jika UMNO serta-merta menukar perjuangannya kepada Islam dan sepantasnya juga melunaskan royalti minyak untuk Kelantan. (SH 15/02/2015)
Posted by Shahbudin Husin
No comments:
Post a Comment