Sunday, February 15, 2015

AIR MATA MALAYSIA : PERGINYA SEORANG MURABBI ....

Mengapa tangisi pemergian Tok Guru

MUHAMAD MAT YAKIM

http://bm.theantdaily.com/Documents/Article/24532/Cleanest-MB-Nik-Aziz-knows_CHINESE_1024x576.jpg
AIR mata kehilangan Ramai menangis terima berita kembalinya ke rahmatullah Tok Guru Nik Abdul Aziz 12 Februari lalu termasuk yang bukan Islam.

Kalau ditanya apa hikmah tahaluf siyasi, bagi saya inilah. Tahaluf siyasi buka ruang untuk bukan Islam mengenali keperibadian Tok Guru sebagai pemimpin Islam.

Akhbar Cina menyebut Allahyarham sebagai 'Yi Tai Zhong Si' atau 'Tok Guru Sepanjang Zaman'. Begitu tinggi penghormatan untuk Mursyidul Am Pas itu.

Mengapa ramai yang menangis? Saya percaya, mereka menangis bukan atas pemergian Tok Guru. Kita semua pun akan ke sana juga dan beliau sekadar mendahului.

Kita juga tahu Tok Guru sudah cukup bersedia untuk menghadapi masa kepulangannya malah persediaan itu sudah dibuat lama, sejak muda.

Apa yang sebenar ditangisi sama ada oleh penyokong Pas ataupun yang bukan Pas adalah kerana kita, umat Islam di Malaysia kehilangan seorang murabbi.

Kehilangan ini bukan dirasakan oleh orang Pas atau rakyat Kelantan semata-mata, bukan juga di dalam negara sahaja bahkan juga seluruh dunia Islam yang mengenali Tok Guru dan kepimpinannya yang berteraskan ilmu dan sentiasa berusaha untuk menunaikan dengan sebaik mungkin tanggungjawabnya sebagai khalifah ALLAH.

Ya, benar kita ada ramai ulama dan kita juga ada ramai umara' malah berebut-rebut orang mahu jadi umara'. Tetapi siapa umara' daripada kalangan ulama dan siapa ulama yang sanggup berperanan sebagai umara'? Jawapannya: Tidak ramai, sangat sedikit atau mungkin tidak ada.

Ini kerana seseorang ulama dengan ilmunya amat sedar bahawa tanggungjawab sebagai umara' adalah sangat berat.

Kedua, ada juga ulama yang lebih selesai ambil pendekatan mesra dengan pemerintah, sedia untuk memejam sebelah mata melihat kebejatan berbanding menasihat atau menegur yang 'haq' tatkala melihat kebatilan demi sedikit habuan keduniaan atas alasan, pemerintah selagi daripada kalangan orang mukmin wajib ditaati.

Akan tetapi bagi Tok Guru, beliau ketepikan kepentingan diri baik bagi tujuan dunia (pernah ditawar jawatan Mufti Kelantan sebelum menang pilihan raya dan jadi MB pada 1990) juga atas kepentingan dirinya sendiri di akhirat (berkaitan tanggungjawab berat yang dipikul dan akan dipersoalkan kelak) demi melunaskan kepentingan ummah yang disandang di bahunya sebagai orang berilmu dan juga tanggungjawab kepada ALLAH.

Lebih daripada itu, Tok Guru tidak bermegah apa lagi bermewah dengan kuasa dan kedudukan yang disandang selama lebih 20 tahun, satu tempoh yang cukup lama bagi sesiapa sahaja.untuk bersabar dengan ujian seumpama itu. Naiknya Tok Guru sebagai Menteri Besar Kelantan selepas pilihan raya 1990 juga mendedahkan kepada rakyat jelata yang selama ini tidak tahu berbagai elaun puluhan ribu diperuntukkan kepada seseorang menteri besar yang Tok Guru sendiri terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu.

Tok Guru terkejut, kita juga turut terkejut. Ada elaun baju panas, elaun majlis hari raya dan bermacam-macam lagi elaun yang ditolak oleh Tok Guru meskipun kesemua itu jadi haknya untuk digunakan.

Tidak lama dahulu, Tok Guru juga terkejut apabila dihulurkan cek royalti bukunya, Bicara Ini Demi Ilahi yang diterbitkan Grup Buku Karangkraf yang mana saya difahamkan beliau selama ini tidak tahu pun bahawa ilmu yang dikongsinya menerusi kuliah dan ceramah yang disusun dan dibukukan melayakkannya untuk menerima royalti. Meskipun diperjelaskan, Tok Guru tetap menolak bayaran itu hingga akhirnya terpaksa dialih kepada Madrasah Darul Anwar yang diasaskannya.

Sebagai orang berilmu, Tok Guru sedar jawatan tidak boleh dibiar menjadi istidraj, sumber dosa yang melalaikan sekali gus menjadi selebar-lebar lebuh raya ke neraka. Sebab itu beliau kekal dengan kezuhudannya kerana reda ALLAH paling utama.

Bercerita tentang risiko, siapa kata orang seperti Tok Guru tidak diancam nyawa dan keselamatannya?

Selain mereka yang tidak menerima pemerintahan Islam, golongan ekstremis juga tidak senang hati dengan kehadirannya sebagai ikon perjuangan dan pemerintahan Islam di rantau ini.

Dalam satu ceramahnya, Tok Guru pernah mendedahkan bagaimana beliau berhadapan dengan ancaman daripada kumpulan yang tidak bersetuju dengan cara beliau dan Pas memperjuangkan negara Islam mengikut lunas demokrasi berpilihan raya sebaliknya mahu parti itu bersikap lebih radikal yang kononnya itu sahaja cara membolehkan negara Islam ditegakkan.

Sekarang, ketika kehilangannya, ALLAH sedang menguji Pas dengan masalah perpecahan dan pudarnya rasa hormat sesetengah ahli termasuk daripada anggota kepimpinan terhadap golongan ulama yang selama ini menjadi tunjang keutuhan parti itu.

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan sekadar dilihat kurang cengkamannya dalam menghadapi cabaran kumpulan ini malah beliau sendiri jadi sasaran mereka.
Di kala inilah, Tok Guru sebagai tokoh paling ditaati dan satu-satunya yang dilihat boleh meredakan masalah itu, dipanggil pulang oleh Penciptanya.

Mungkin tiada lagi yang setanding Tok Guru pada saat beliau amat diperlukan ketika ini. Itulah apa yang kita hilang, yang kita tangiskan sebenarnya!

Kepada yang mengeji Tok Guru selama ini, perhatikan dengan mata hati betapa ALLAH menganugerahkannya kemuliaan, penghormatan dan pengiktirafan yang selayaknya hanya untuk pembesar negara.

Untuk dirinya, Tok Guru telah berusaha sekian lama untuk mencukupkan bekalan yang perlu dibawa mengadap tuhannya, kita sendiri bagaimana?

Kita disoal seperti Tok Guru juga Tok Guru yang kita tangisikan pemergiannya, lahirnya seperti kita juga.

Beliau tidak dilahirkan terus sebagai ulama. Yang membezakan kita dengannya adalah ilmu. Beliau berusaha mencari ilmu dan kemudian berkongsi ilmu mengenai tuhan dan arah tuju hidup kita, hampir sepanjang usia. Ilmu yang menjadikan beliau bertaqwa.

Semakin banyak ilmunya, semakin takut dan taat Tok Guru kepada ALLAH sedangkan kita, kerana kurang atau tidak ada ilmu, tidaklah kita kenal erti takut kepada ALLAH. Kalau pun mengaku takut, hanya setakat bibir mulut, tidak sampai ke lubuk hati.

Kalau pun hadir taqwa di hati, hanya sesekali, tidak sampai berakar umbi.

Azalinya, Tok Guru pun seperti kita, ada nafsu, ada emosi. Tetapi dengan ilmu, beliau berupaya mengekang nafsu, mengawal emosi. Dengan ilmu, beliau jadi insan bertaqwa lagi zuhud.

Akhirnya atas istiqomah, beliau dihormati sebagai tok guru, sebagai murabbi dikagumi dan disanjung tinggi.

Tinggi sanjungan diterima, beliau tidak alpa pada tujuan hidupnya, reda ALLAH sentiasa diutama.

Ketika lahir, Tok Guru sama seperti kita. Tetapi kemudiannya, beliau jadi sangat jauh beza dengan kita. Ilmunya, taqwanya, imannya, istiqomahnya.... jauh seperti syurga dengan neraka.

Tok Guru bukan dilahirkan terus sebagai ulama. Tetapi beliau sedar tanggungjawabnya sebagai hamba tuhan sebaliknya kita sendiri yang selalu tidak sedar diri.

Apa pun, harus diingat, di hadapan ALLAH nanti, walaupun kita bukan Tok Guru, kita tetap akan disoal tentang tanggungjawab sama seperti apa yang disoal Al Khalik kepada Tok Guru. Jika gagal, kita dihumban ke neraka.

Soalan dan pertanggungjawabannya sama, tidak kira tok guru atau bukan tok guru. Tok Guru sudahpun menyiapkan diri dan menyempurnakan hukum ke atas dirinya sedang kita pula bagaimana?

Pesan buat pemimpin Islam

Untuk renungan mereka yang bergelar pemimpin:

Kalau hati anda tidak bersama ALLAH ketika mengurus kuasa, anda hanya akan berpengaruh ketika memegang kuasa.

Apabila anda sudah tidak lagi berada di tampuk kuasa, ingat pesanan orang tua, kura-kura pun boleh meniti pokok yang sudah tumbang.

Itu yang banyak berlaku dalam masyarakat kita. Seseorang pemimpin yang ketika di puncak kuasa, dipuja bagaikan dewa tetapi apabila sudah tidak lagi di takhta, bukan sahaja tidak dipandang malah ditohmah dan dicerca semahu-mahunya. Orang yang pernah dipimpin turut sama berlumba-lumba menjadikannya sasaran untuk memenangi hati sang pengganti.

Tetapi kalaulah hati anda sentiasa dengan ALLAH, matlamat anda hanya keredaan ALLAH, tujuan hidup anda hanya ALLAH, zuhud anda kerana ALLAH... ALLAH jualah yang akan memberikan anda kemuliaan.

Petunjuknya... jangankan ketika anda berkuasa atau berpengaruh, bahkan tatkala jasad anda diusung orang pun, anda akan terus dimuliakan oleh mereka yang tidak berharap apa-apa balasan, jauh sekali soal ganjaran kedudukan yang boleh memberikan mereka wang, harta atau kemewahan.

Selama anda memimpin mereka dengan hanya ALLAH sebagai tujuan, nescaya ALLAH jua akan memuliakan anda kerana segala kemuliaan yang zahir mahupun yang sembunyi, adalah hak dan urusanNya.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment