KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta sumbangan RM10 juta daripada seorang usahawan dari Singapura untuk Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu menerusi Tetuan Lewis & Co.
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Christ Sheldon Anak Merun, 32, berkata ketika pertemuan antara Wong Sang Woo @ Wong Shuh Chain yang juga pengarah syarikat Chia Bee Enterprise Sdn Bhd dengan Ahmad Zahid pada majlis makan malam tahun 2015, tertuduh memberitahu sumbangan itu untuk orang miskin dan individu yang memerlukan.
"Shuh Chain mengenali Ahmad Zahid kali pertama pada 2015 melalui majlis makan malam. Ahmad Zahid memperkenalkan dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri dan Shuh Chain memperkenalkan dirinya sebagai usahawan dari Singapura yang terbabit dalam pelaburan saham, perniagaan kayu balak, pelaburan harta tanah, pakaian fesyen dan ejen penghantaran.
"Shuh Chain memberitahu, ketika majlis makan malam itu, Ahmad Zahid ada bertanya kepadanya untuk menderma… sebagai seorang dermawan, Shuh Chain bersetuju menderma kepada Yayasan Akalbudi yang diasaskan Ahmad Zahid.
"Pada penghujung majlis makan malam itu, Ahmad Zahid ada menyatakan jumlah (sumbangan) RM10 juta kepada Shuh Chain dan dia (Shuh Chain) memberitahu untuk mempertimbangkannya kerana memerlukan masa menyediakan jumlah itu," katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong.
Saksi pendakwaan ke-98 itu berkata demikian pada hari ke-51 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Seramai 98 saksi termasuk sembilan pegawai penyiasat SPRM memberi keterangan dan dijangka seorang lagi pegawai penyiasat akan dipanggil sebelum pihak pendakwaan menutup kes itu.
Semalam, Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Amirudin Nordin, 38, memberitahu mahkamah pihaknya sudah merakam percakapan Shuh Chain untuk menjalankan siasatan mengenai pemberian RM10 juta daripada Chia Bee kepada Yayasan Akalbudi menerusi Lewis & Co.
Mohd Amirudin yang juga saksi pendakwaan ke-96 berkata, Shuh Chain tidak berjaya dikesan untuk dipanggil memberi keterangan di mahkamah dan hasil siasatan dengan Jabatan Imigresen mendapati dia berada di luar negara.
Katanya, hasil siasatannya juga tidak menemui sebarang dokumen sokongan atau surat menyatakan 10 cek daripada Chia Bee berjumlah RM10 juta itu adalah suatu sumbangan.
Christ Sheldon yang merakam percakapan Shuh Chain di sebuah hotel di Kuching, Sarawak, pada 22 Februari 2019 berkata, pada awal 2016, Shuh Chain menerima panggilan daripada seseorang yang diarahkan oleh Ahmad Zahid untuk bertanyakan wang RM10 juta, selain menjelaskan kepada Shuh Chain mengenai kerja amal dilakukan Yayasan Akalbudi.
"Shuh Chain percaya permintaan itu betul kerana individu terbabit dapat menjelaskan berkenaan perbualannya dengan Ahmad Zahid ketika majlis makan malam pada 2015 dan menyuruhnya membuat bayaran derma kepada firma guaman Tetuan Lewis & Co (pemegang amanah Yayasan Akalbudi)," katanya.
Katanya, Shuh Chain memberi sumbangan melalui syarikatnya (Chia Bee) dengan alasan beliau berasa ia satu keistimewaan apabila timbalan perdana menteri (TPM) meminta sumbangan amal untuk Yayasan Akalbudi.
"Sebagai pemilik Chia Bee, beliau mempunyai hak menggunakan syarikat itu bagi membuat sumbangan. Shuh Chain menggunakan Chia Bee membuat derma amal kerana ingin menaikkan profil syarikat itu di Malaysia," katanya.
Christ Sheldon berkata, Shuh Chain mengarahkan penandatangan cek yang layak menyediakan 10 keping cek dengan jumlah RM1 juta bagi setiap cek seperti diminta orang Ahmad Zahid dan dia tidak mengetahui mengapa cek itu dikeluarkan secara berasingan dan bukan menggunakan sekeping cek.
"Shuh Chain tidak ingat orang yang disuruh mengeluarkan cek itu kerana dia tidak berada di Malaysia ketika itu dan dia tidak berhubung dengan Ahmad Zahid sejak pertemuan pada 2015, tetapi pada 2016 dia sudah mengetahui Ahmad Zahid menjadi TPM," kata saksi itu yang berkhidmat dengan SPRM sejak 2014.
Mengenai pinjaman RM10 juta daripada syarikat KTS Holdings Sdn Bhd, Christ Sheldon berkata, pinjaman Shuh Chain daripada KTS melalui seorang rakannya iaitu mendiang Ngu Ngiong Hieng yang meninggal dunia pada 2017.
"Shuh Chain mengatakan berdasarkan persahabatannya dengan Ngiong Hieng, dia meminta bantuan kewangan RM10 juta sebagai pinjaman sementara untuk membolehkan dia menunaikan janji kepada Ahmad Zahid untuk didermakan kepada Yayasan Akalbudi.
"Mengenai pinjaman sementara dibuat dengan Ngiong Hieng, tiada perjanjian atau dokumentasi kerana ia dilakukan berdasarkan persahabatan atau kepercayaan mereka," katanya.
Beliau berkata, Ahmad Zahid meminta orangnya menghubungi Shuh Chain bagi mendapatkan sumbangan itu pada awal 2016 dan Shuh Chain kemudian mengatur sumbangan itu diserahkan melalui syarikatnya dan bayaran dibuat pada 21 April 2016.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment