Wednesday, August 14, 2019
Tentera dilatih untuk membunuh, bukan buruh murahan, veteran beritahu taikun
FMT Reporters
Mohamed Arshad Raji (kiri) berkata taikun Perak Koon Yew Yin jahil dengan peranan anggota tentera Malaysia.
PETALING JAYA: Persatuan Patriot Nasional (Patriot) membidas cadangan agar tenaga angkatan tentera Malaysia dialihkan untuk membantu kerja perladangan dan projek masyarakat, mengatakan gesaan sedemikian menunjukkan kejahilan peranan anggota keselamatan negara.
“Mereka sudah pasti bukan buruh murahan. Mereka dilatih sebagai pembunuh profesional yang negara kita bergantung kepadanya,” kata Presidennya Mohamed Arshad Raji.
Arshad mengulas catatan blog hartawan Perak terkenal Koon Yew Yin, baru-baru ini yang menyarankan supaya perkhidmatan awam diperbaiki dan mendakwa anggota tentera “tidak melakukan apa-apa kecuali makan dan tidur”.
“Sebenarnya, hampir semua mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan di papan sasaran.
Sebahagian mereka perlu menggantikan pekerja asing di ladang Felda,” kata ahli perniagaan bersuara lantang itu di laman webnya minggu ini.
Kenyataan itu dikritik Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, yang menggesa Koon mempelajari lebih lanjut mengenai pengorbanan tentera.
Patriot mengulangi cadangan serupa oleh bekas ketua menteri Sabah, Harris Salleh yang mencadangkan anggota tentera melaksanakan projek kerajaan kepada masyarakat luar bandar.
“Cadangan dari kedua-dua orang ini tidak masuk akal dan menunjukkan kejahilan mereka terhadap peranan anggota tentera,” kata Arshad.
Beliau berkata anggota tentera Malaysia sentiasa diperlukan semasa aman, termasuk menjaga sempadan dan dihantar ke luar negara untuk misi perdamaian yang berisiko.
“Berada di waktu aman tidak bermakna anggota tentera tidak melakukan apa-apa, seperti apa yang Koon katakan.
“Tumpuan utama mereka adalah berlatih untuk perang. Ini, orang awam dan ahli politik tidak dapat memahami kerana mereka tidak melihat kemungkinan pada apa-apa peperangan.”
Arshad berkata kekuatan pasukan tentera Malaysia terletak pada disiplin dan semangat yang tinggi anggota tentera.
“Jika tentera kita tidak teratur, kurang terlatih, tidak berdisiplin dan rendah semangat, pemimpin kita akan kehilangan harga diri dan tidak dihormati, elemen yang sangat diperlukan dalam hubungan antarabangsa,” katanya.
Arshad menggambarkan anggota tentera sebagai “pembunuh profesional” yang “sangat mahir dalam peranan masing-masing”.
“Mereka melakukan pekerjaan yang tidak dapat dilakukan orang awam. Mereka dilatih untuk melalui dan menanggung kepayahan. Mereka semua memahami ketika mereka diterima memasuki tentera, mereka perlu bersedia untuk mati, bahkan berkorban untuk kejayaan mana-mana misi penting.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment