Wednesday, February 20, 2019

MELAWAN FENOMENA 'MALU APA BOSSKU' YANG DIBAWA NAJIB, RASANYA TUN M PERLU TURUN SAMA BERKEMPEN DI SEMENYIH



Tiada siapa dapat menafikan populariti Najib Razak begitu melonjak tinggi ketika ini. Beliau yang dulunya dibenci sehingga dijatuhkan pengundi, kini lebih popular berbanding dulunya.

Ke mana saja beliau pergi, sekurang-kurangnya ratusan, malah ada ketikanya ribu-ribu orang menyambutnya.

Terutama yang ramai menyambut serta memberi sokongan kepada Najib sekarang ini adalah anak-anak muda yang dilihat begitu seronok dengan fenomena "malu apa bossku" yang diperkenalkannya. Dulu, orang mudalah yang banyak menolak BN, kini merekalah yang teruja mengelilinginya.

Dalam kempen PRK Semenyih yang sedang berlangsung ketika ini, sudah dua kali Najib menjejakkan kakinya ke sana.

Dalam kedua-dua kunjungan beliau, sambutan yang diterimanya begitu hangat sekali. Dianggarkan mencecah 1,000 orang hadir bersamanya.

Dirasakan, dengan sambutan yang sedemikian hangat itu, sudah pastilah  beliau akan turun beberapa kali lagi untuk membantu kempen BN di Semenyih sebelum hari pengundian pada 2 Mac nanti.

Sebagaimana beliau dianggap turut berperanan membantu kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands, Najib juga tampaknya sedang ghairah untuk melakukannya sekali lagi di Semenyih ini. Beberapa usikannya di media sosial jelas memperlihatkan perkara itu.

Meskipun disedari mereka yang menyambut dan meramaikan kedatangan Najib itu bukan semuanya pengundi Semenyih, tetapi impaknya, lebih-lebih lagi melalui bantuan sebaran meluas media sosial, ia sebenarnya mampu mempengaruhi minda pengundi.

Itulah yang dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamad sebelum PRU14 lalu. Di masa-masa ada kelapangan, beliau akan selalu tampil di khalayak ramai seperti KLCC, Pavilion, restoran popular yang menjadi tumpuan ramai, pasar malam dan sebagainya di mana ketika itulah orangramai kelihatan berkerumun ingin bersalam, bergambar dan berselfie dengannya.

Kesan daripada apa yang dilakukan dengan kerap oleh Tun Mahathir itu yang kemudian dibantu oleh penyebaran dalam media sosial, itulah sebahagiannya yang menjadi penyumbang kepada keghairahan rakyat di seluruh negara untuk melakukan perubahan dan mengangkat PH sebagai kerajaan baru menggantikan BN.

Hari ini, selepas PH menjadi kerajaan di mana banyak janji-janji bulan madu pilihanraya tidak ditunaikan, prestasi menteri-menteri yang mengecewakan, ekonomi masih perlahan dan tiada ketentuan serta Tun Mahathir sendiri yang dilihat seperti ada agenda politik lain dalam dirinya, majoriti rakyat, termasuk pengundi PH sendiri sudah mula rasa bosan dan meluat kepada kerajan.

Natijahnya bukan saja kritikan dan kecaman terhadap kerajaan semakin meluas, malah kemunculan Tun Mahathir di tempat-tempat awam tidak lagi disambut ghairah seperti dahulu.

Dalam kemunculannya baru-baru ini di tempat awam - satu ketika melawat Terminal bas TBS dan satu lagi ketika singgah minum di sebuah restoran di Kelana Jaya, Tun Mahathir nyata sudah kehilangan aura di kalangan rakyat negara ini. 

Tiada lagi yang datang ingin bersalam, bergambar dan berselfie dengannya. Aura dan sambutan hangat rakyat yang biasa diterimanya dulu sudah berpindah kepada Najib sekarang ini.

Dalam kempen PRK Semenyih yang pertama kali ditandingi oleh Bersatu ini, jika dibiarkan saja kemunculan Najib berterusan mencuri kembali hati rakyat tanpa ada apa-apa tindakbalas, di samping kepaduan kerjasama antara UMNO dan Pas, kemungkinan untuk PH tewas adalah amat besar sekali.

Gelombang sambutan rakyat yang dijelmakan melalui kehadiran bekas Perdana Menteri itu pasti ada kesan tersendiri yang tidak boleh dinafikan begitu saja.

Apatah lagi kemunculan pemimpin-pemimpin PH dalam kempen mereka di Semenyih setakat ini, masih lagi gagal mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat tempatan. 

Baik majlis yang dihadiri oleh Muhyiddin Yassin, Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Amaruddin Shaari atau lain-lain menteri, dapatan sehingga ini menunjukkan kehadiran jentera sendiri adalah lebih ramai berbanding pengundi.

Dalam hal ini, demi keinginan mengekalkan kemenangan di Semenyih, satu-satu pemimpin yang mungkin masih mampu menunjukkan kemampuan untuk melawan fenomena "malu apa bossku" itu  ialah hanya Tun Mahathir.

Walaupun sebelum ini bukan menjadi kebiasaan bagi beliau untuk hadir dalam mana-mana PRK, tetapi beliau telah melanggar kebiasaan itu dengan turut berkempen di Port Dickson dan juga Cameron Highlands.

Maka, demi maruah, harga diri dan kelangsungan Bersatu, sebuah parti yang ditubuhkannya, ditambah dengan kehadiran Najib yang seolah-olah lebih digilai rakyat, Tun Mahathir tiada pilihan lain selain harus turun sama mencemar duli berkempen di Semenyih ini.

Di sinilah beliau dapat menjadikannya sebagai medan untuk menentukan kedudukan dirinya - masih ada aura atau auranya sudah hilang sama sekali.

Kiranya dengan kehadiran Tun Mahathir turun berkempen di Semenyih dapat memastikan kemenangan calon Bersatu, bermakna masa depan partinya itu masih lagi cerah untuk tahun-tahun seterusnya. 

Dalam masa yang sama, tiadalah ruang untuk Muhyiddin selaku Presiden Bersatu untuk tampil mengakui kemenangan itu sebagai kerja kerasnya saja.

Tetapi, kiranya Bersatu tewas juga, setidak-tidaknya ia adalah suatu kebaikan untuk Tun Mahathir sendiri kerana dapat menjadikan keputusan itu sebagai cermin untuk menilai serta menyedari siapa dirinya yang sebenar di hati rakyat ketika ini.

Sekurang-kurangnya ia adalah lebih baik untuk menjaga nama baiknya sebagai negarawan berbanding jika tidak turun berkempen dan akhirnya sehingga ke hujung hayat pun beliau tidak sedar langsung realiti sebenar penolakan rakyat terhadapnya. (ShahbudinHusin 19/02/2019).

No comments:

Post a Comment