Wednesday, February 20, 2019

Bekas perunding media Najib didakwa 'in absentia'


News  |  Diterbitkan   |  Dikemaskini 
Paul Stadlen, bekas penasihat media kepada perdana menteri Najib Razak, hari ini didakwa tanpa kehadiran (in absentia) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.
Bernama yang memetik sumber Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata Stadlen kelahiran Britain didakwa di mahkamah sesyen.
“Pihak Pendakwaan dari AGC mengendalikan kes tersebut,” kata sumber itu dan menambah oleh kerana beliau telah melarikan diri dari Malaysia pendakwaan terpaksa dijalankan secara ‘in absentia’.
Stadlen yang berstatus penduduk tetap di Malaysia sebelum ini dikatakan menguruskan operasi akhbar dan perhubungan awam Najib.
Pada November lalu, Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata, Stadlen diburu untuk membantu siasatan skandal 1MDB dan dia telah meninggalkan Malaysia sebelum PRU ke-14.
Akhbar British The Daily Mail pada masa itu melaporkan Stadlen, 39 tahun, dipercayai terbang ke London sebelum ke destinasi yang tidak diketahui.
Alamat terakhirnya di Malaysia adalah Unit A-29-8, Blok A, Loft Sentral Condominium, Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral, Kuala Lumpur.
Kempen anti-Anwar
Pada 2009, kerajaan BN pada masa itu membayar RM77 juta kepada Apco Worldwide untuk menguruskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Walaupun dikritik pelbagai pihak, kontrak dengan firma itu dilaporkan diperbaharui pada 2010.

Wall Street Journal sebelum ini melaporkan Stadlen adalah sebahagian daripada 'Pasukan Komunikasi Nasional Pejabat Perdana Menteri' pada 2013.
Bagaimanapun kerajaan pada 2015 menafikan Stadlen diambil menjadi kakitangan kerajaan, dan justeru tidak menerima elaun dan gaji daripada kerajaan.
Selepas peranannya dalam Apco, Stadlen juga bekerja dengan FBC Media, sebuah kumpulan lobi yang dikaitkan dengan kempen atas talian terhadap Anwar Ibrahim oleh penulis blog Amerika Syarikat, Josh trevino dan syarikatnya, Rogue Communications.

No comments:

Post a Comment