Wednesday, February 27, 2019

Kaki bohong tak suka orang berbohong, pelik tapi itu realiti bagi PH




SYED AHMAD FADHLI

SUNGGUH geli hati pula melihat gelagat Anwar yang bagaikan cacing kepanasan pada musim cuaca panas terik ini.

Bersungguh dia menyerang PAS khususnya Tuan Guru Presiden.

Siap mengaitkan pula dengan jubah dan serban yang dipakai oleh Tuan Guru.

Dia menggambarkan seolah-olah Tuan Guru Presiden PAS hanya berperwatakan sahaja seperti orang alim tetapi berbohong, berpolitik matlamat menghalalkan cara, berkawan dengan pencuri duit rakyat.

Oleh kerana Anwar insan soleh yang tidak pernah berbohong, kita tanyakan soalan berikut kepadanya:

1) Mengapa Anwar begitu melenting sedangkan Tuan Guru Presiden PAS tidak ada sebut pun nama siapa yang terbabit dalam komplot "undi tidak percaya" terhadap PM Tun Mahathir?
Cepat betul terasa kepedasan cili ya.

2) Benarkah Anwar tidak pernah berbohong?
Rakyat tidak lupa dengan pidato berapi Anwar suatu ketika dahulu yang masih boleh ditonton di Youtube.

"Saudara, saya ulang.
Hari ini kalau pilihan raya kita menang, bagi saya 24 jam.
Bukan 20 hari, bukan 2 minggu.
24 jam, saya umum harga minyak turun serta-merta."

Kerajaan PH sudah berkuasa, di mana janji manismu ini?

3) Adakah Anwar tidak pernah mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara?

Sudah lupa ke alkisah Langkah Kajang yang kejang tu?

Bukankah pada awalnya Anwar bersungguh menafikan sebarang usaha untuk menurunkan Tan Sri Khalid daripada jawatan MB Selangor.

Tiba-tiba, Adun Kajang letak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Namun, hajatnya itu tidak kesampaian dek kerana disabitkan kesalahan oleh Mahkamah atas tuduhan Liwat 2.0.

Bukan ke dalam Alkisah Langkah Kajang itu, anak didik kesayangan Anwar iaitu Rafizi dan Saifuddin Nasution siap buat roadshow bersama Dokumen 91 mukasurat memfitnah Tan Sri Khalid.

Pada akhirnya, PKR sendiri yang memohon maaf atas kesilapan itu kepada Tan Sri Khalid di mahkamah yang turut dihadiri Anwar.

Kiranya Anwar pun terlibatlah dengan komplot memfitnah Tan Sri Khalid.

4) Hina sangatkah apabila Tuan Guru Presiden PAS berkawan dengan Najib?

Adakah ikatan Muslim seakidah, sebangsa Melayu perlu diputuskan sedangkan kes Najib belum pun diputuskan oleh mahkamah?

5) Wahai Anwar, di manakah bukti tuduhan fitnah RM90 juta yang diterima oleh PAS?

Oleh kerana Anwar tidak habis-habis lagi menjaja modal fitnah ini di dalam ceramahnya maka amatlah wajar SPRM memanggil Anwar kerana pastinya dia mempunyai berkotak-kotak bukti atas dakwaannya itu.

Seandainya Anwar tidak dapat jadi PM nanti, bolehlah dia dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana Anwar lebih hebat dalam hal ehwal penyiasatan, kan?

6) Adakah Anwar tidak pernah menyelesaikan saman di luar mahkamah?

Anwar berlagak baik kononnya dia tidak mahu saman Presiden PAS kerana pernah bersahabat baik dahulu.

Katanya lagi prinsipnya "membujur lalu, melintang patah".

Dia kata tidak mahu jadi seperti PAS yang menarik balik saman terhadap Sarawak Report.

Fakta menunjukkan hakikatnya Anwar sendiri sudah banyak kali menyelesaikan kes di luar mahkamah.

a) 24 Mei 2012: Kes saman Anwar terhadap Dr Wee Ka Siong diselesaikan di luar mahkamah apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan terma penyelesaian adalah rahsia

b) 16 Januari 2013: Kes saman fitnah Anwar terhadap Khairy Jamaluddin diselesaikan selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bagi penyelesaian di luar mahkamah.

c) 14 Ogos 2015: Anwar menjadi orang tengah bagi penyelesaian luar mahkamah dalam kes Tan Sri Khalid saman Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkenaan dokumen fitnah Langkah Kajang

Jadi, mengapa pula Anwar sibuk mahu mempertikaikan tindakan Tuan Guru Presiden PAS mengambil penyelesaian luar mahkamah dengan terma rahsia dalam kes saman Sarawak Report?

7) Soalan cepumas terakhir kepada Anwar ialah rakyat ingin tahu adakah dalam kes Liwat 1.0 dahulu, adakah ianya benar-benar fitnah atau Tun Dr Mahathir yang berbohong?

Oh, boleh pula ya Anwar berkawan dengan pembohong sekarang.

*SYED AHMAD FADHLI
Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Parlimen PAS

No comments:

Post a Comment