Tuesday, December 25, 2018

TAPI WAKTU KUAT, UMNO PULA YANG MENYOMBONG....




Menurut apa yang dikatakan oleh Presiden Pas, Hadi Awang, sukar bagi pihaknya untuk bergabung dengan UMNO kerana parti Melayu itu ketika ini ibarat kapal yang sudah bocor.

“Umno sekarang mengalami kebocoran bahtera. Kaedah kita orang pergi laut, kalau bahtera bocor kita pergi dekat, bahtera kita pun boleh tenggelam sama.

"Nak gabung dengan parti bocor ini satu benda yang sulit dan payah," kata Ahli Parlimen Marang itu dalam sessi soal jawab di London, semalam.

Memang tidak dinafikan bahawa UMNO  sekarang ini adalah ibarat bahtera yang bocor. Sejak hilang kuasa dan kemudian berlaku beberapa peristiwa lain susulan daripadanya, harus diakui UMNO sedang menuju untuk tenggelam saja keadaannya.

Tetapi untuk Hadi Awang mengatakan hanya kerana UMNO itu sudah jadi kapal yang bocor, maka susah untuk berhabung, barangkali tidak berapa kena juga.

Patutnya sewaktu UMNO sedang bocor inilah Pas datang membantu. Inilah waktunya UMNO mudah untuk berkawan dengan sesiapa saja.

Ketika kuat, UMNO hanya tahu menyombong dan jalan mendongak saja. Tidak usah jauh, lihat saja pengalaman yang dialami Pas sendiri ketika UMNO sedang kuat sebelum ini.

Bukan saja ia sentiasa menyombong dan memandang rendah kepada Pas, malah kadang-kadang sampai ke tahap menghina dengan memberi pelbagai gelaran buruk seperti parti sesat dan sebagainya.

Jadi, kalau nak kata Pas susah nak bergabung dengan UMNO ketika ini kerana parti itu sudah jadi kapal bocor, sebenarnya waktu ia kuat dan gagal, jauh lagi susah nak bergabung dengan parti assabiyah itu.

Sebaliknya, waktu sudah bocor inilah, UMNO baru sedar siapa dirinya.

Cuma, adakah Pas pula ketika ini mahu bersikap membalas dendam kepada UMNO?

Mentang-mentang UMNO sudah jadi kapal bocor, maka Pas tidak mahu lagi bergabung dengannya?

Tak baiklah buat perangai begitu dan adakah sesuai parti yang memperjuangkan Islam sesuai berbuat demikian? (ShahbudinHusin 25/12/2018)

No comments:

Post a Comment