Sunday, June 3, 2018

Perihal peguam negara yang tiada


 
   
ULASAN | Muntahan siber dengan pelbagai agenda yang sarat tentulah sukar untuk dinilai pada pemikiran masyarakat biasa. Bahkan yang cerdik alim pun mungkin tersasar. Apatah lagi yang jahil murakab dan sang sombong tak keruan.

Penyaringan bacaan perlu dilakukan terlebih awal supaya maklumat yang dibawa masuk ke otak benar-benar sahih.

Apa-apa yang murahan atau picisan itu, abaikan saja. Jangan dibuang masa berharga dalam bulan mulia ini.

Internet memang menyamaratakan semua lapisan masyarakat. Tiada pemisah usia, daya fikir, warna kulit, agama dan sebagainya.

Semua orang boleh duduk dalam ‘bilik’ dunia siber meski tidak pernah bersama secara zahir.

Kadangkala manusia mencipta penjara buat dirinya sendiri dan kemudian meronta-ronta minta dibebaskan.

Sebagai pembaca biasanya seseorang membuat pengkategorian penulis dengan beberapa klasifikasi tertentu sebelum membuat analisis lebih mendalam.

Amalan banyak membaca dan bahan yang pelbagai akan memudahkan untuk memahami "literature review" sesuatu isu dan pemikiran penulis.

Fitrah alam memang begitu

Dalam isu pelantikan peguam negara yang dihangatkan muktahir sehari dua ini, ia adalah tempoh bagi proses membuat keputusan yang lumrah, demokratik dan kontemporari.

Isu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu menolak nasihat perdana menteri atau menteri besar bukan suatu yang luar biasa.

Ia adalah kisah tentang sejarah Bendahara Tun Perak menyembah derhaka, pembunuhan Bendahara Tun Mutahir sekeluarga hingga zaman moden Dato Onn Jaafar tersingkir.

Selain itu ada banyak lipatan sejarah yang boleh ditelaah. Banyak. Bersepah.

Walaupun terdapat pelbagai tafsiran tentang bidang kuasa antara konsep raja berpelembagaan dan konsep demokrasi berparlimen, lazimnya bakal wujud persefahaman dan penyesuaian antara dua teras ini pada akhirnya.




Jika tidak berlaku sebagaimana seharusnya, proses keseimbangan (equilibrium) pasti berlaku. Itu fitrah alam.

Kritikan terhadap Tommy Thomas berkisar lebih kepada soal kaum dan agamanya. Walaupun ada berkaitan rekod kerjayanya kerana pernah menjadi peguam kepada Chin Peng, pada saya itu bukanlah isu fundamental.

Beliau juga pernah menjadi kepada peguam kerajaan Kelantan yang diterajui PAS. Itu memang kerja seorang peguam.

Jangan hilang rasa hormat

Saya pun kurang mengenali susuk peguam ini. Agak sukar juga menelaah lebih jauh. Saya tiada ilmu khasyaf atau sering bermimpi jumpa nabi meski teringin sekali.

Bagi pihak Pakatan Harapan (jika diizinkan saya mewakilkan suara gabungan itu), isu berkenaan tidak perlu sampai diselesaikan di alam maya.

Zaman dewa-dewi sudah berlalu. Berpijaklah di bumi nyata. Langit dijunjung, kedaulatan negara dijaga. Pemimpin sudah dipilih dan dilantik meneraju negara, rakyat terus bekerja dan menjadi saksi mata pemimpin negara.

Bersuaralah dalam negara merdeka dengan sopan dan bertatasusila. Jika perlu lawan, lawanlah sebagaimana kita memecah metos BN tak boleh dikalahkan. BN sudah jatuh kecundang!

Memperjuangkan Islam sewajarnya bersifat inklusif. Berhati-hati memang perlu tetapi tidak sampai mencurigai hingga hilang rasa hormat dan ihsan.

Di antara kutub yang saling bertentangan, letakkan diri sendiri pada titik pertemuan yang damai.

Islam bukanlah sebuah taman perumahan atau slogan untuk dipamerkan. Islam dipraktis secara aman.

Siapapun gerangan yang menjadi peguam negara, beliau wajib mengutamakan kepentingan negara berbanding dirinya sendiri.

Jika ingkar atau khianat, tunggulah saat pembalasan daripada rakyat dan juga Tuhan Yang Maha Berkuasa. Sejarah akan mencatat.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis buku Aku Melayu Di Kota Inggeris terbitan Kemilau Publika pada 2012.

No comments:

Post a Comment