Sunday, June 10, 2018

Kerajaan perpaduan elak krisis di Kedah




SALMAH MAT HUSAIN






KOTA BHARU: PAS menawar pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan semua parti politik di Kedah bagi mengelak berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan negeri dan pembangkang mempunyai kekuatan yang setara di negeri itu sekarang.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) yang menguasai kerajaan negeri sekarang menang 18 kerusi Dun, begitu juga pembangkang terdiri daripada PAS dan BN juga menang di 18 kerusi.

"PAS pernah tawarkan kerajaan perpaduan di Kedah sebagai jalan terbaik untuk keluar daripada krisis, di samping mengelakkan berlaku PRN yang tentunya melibatkan kos besar," ujarnya selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Kelantan kali ke-45 di Putik semalam.

Beliau yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, masalah akan berlaku berkaitan pencalonan Speaker Dun Dewan Undangan Negeri.

“PH boleh cadang nama calon Speaker mereka, begitu juga kita boleh mencadangkan nama calon mewakili pembangkang.

“Pengundian belah bagi akan berlaku bagi menentukan kerusi tersebut," katanya.

Baru-baru ini Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi memberitahu PAS mempunyai calon Speaker bukan dalam kalangan Adun yang mewakili parti itu.


Hadir sama pada muktamar tersebut Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof dan saf kepimpinan negeri. - HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment