Sunday, June 10, 2018

Umno susah bangkit semula





Timmy Say

Umno hilang arah, sumber pendapatan dan dalam keadaan panik. Apakah nasib politik Melayu?






Umno kini di zon yang mereka tidak pernah alami. Mereka hilang arah dan sumber pendapatan. Wakil-wakil rakyatnya berada dalam keadaan panik akan masa depan mereka.

Umno satu-satunya parti Melayu yang besar yang tidak pernah menjadi pembangkang sebelum 9 Mei 2018.

Di zaman BN memerintah, mereka melatih pembangkang seperti PAS, DAP dan PKR selama berdekad lamanya untuk terus hidup tanpa sebarang peruntukan. Pasa masa yang sama, mereka melatih diri untuk terus hidup dalam keadaan bermewah. Oleh itu, PAS, DAP dan PKR boleh terus hidup meskipun tewas pilihan raya berkali-kali.

Namun, tiada siapa yang tahu apakah Umno boleh terus hidup selepas kekalahan sulung pilihan raya umum.

Umno kini parti tanpa presiden dan timbalan presiden yang sah. Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahidi hanyalah pemangku presiden selepas perletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak.



Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti akan datang. Ini bermakna kelima-lima jawatan tertinggi Umno iaitu presiden, timbalan presiden dan 3 naib presiden hanya tinggal Zahid seorang.

Seperti Najib, Zahid juga memikul tanggungjawab yang besar atas kekalahan Umno di PRU14 kerana sudi menjadi “yes man” kepada Najib sambil tidak berbuat apa-apa untuk mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal yang cuba menyelamatkan parti dengan menyerang Najib.

Oleh itu, secara moralnya beliau tidak sepatutnya menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan presiden. Pendedahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Zahid menemuinya untuk bertanya bagaimana menguruskan Umno juga mendedahkan krisis keyakinan terhadap Zahid.

Ia mendedahkan beliau juga hilang arah untuk memperbetulkan Umno.

Persoalannya siapakah yang sudi menggalas tugas sebagai presiden Umno yang berat ini sekarang.

Apakah Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sanggup menggalasnya?

Sanggupkah beliau sekali lagi berentap dengan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri dan beliau sebagai pembangkang utama di Parlimen seperti 1988?

Jawatan presiden Umno perlu diberikan kepada seseorang yang boleh mengubah perasaan meluat rakyat terhadap Umno. Calon ini semestinya seorang yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan mempunyai kemampuan untuk mencari sumber memacu operasi Umno.

Jawatan presiden Umno kali ini tidak akan menjadi rebutan seperti dulu kerana jawatan ini tidak akan memberi nikmat kesenangan seperti dulu. Bahkan, jawatan ini bakal menjadi jawatan yang paling “stressful” dalam politik Malaysia hari ini.

Beliau bukan sahaja perlu mencari formula untuk menghentikan penghijrahan wakil-wakil rakyat dan ahli-ahli Umno ke PPBM, beliau juga terpaksa berdepan keruntuhan BN apabila PBB menjadi parti bebas dan menyokong Pakatan Harapan.

Oleh itu, tidak ramai yang sanggup dicalonkan dan menawarkan diri.

Melihat keadaan ini, nampaknya hanya PAS yang akan kekal sebagai pembangkang yang efektif pada penggal ini; sementara Umno mencari jalan berfungsi semula sebagai parti, jika jalan tersebut ada.

Apakah yang akan terjadi kepada politik orang Melayu selepas ini.

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Hutang Malaysia



Malaysian Access




Kini selepas hutang RM1 trilion Malaysia diketahui semua, adakah anda salah seorang yang berasa bimbang negara menuju kehancuran?

Selagi kerajaan mempunyai rancangan pembayaran balik hutang tersebut dan mematuhi jadualnya, anda tidak perlu panik, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Ali Salman.

Angka RM1 trilion itu disebut oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Isnin lepas dalam perhimpunan kakitangan Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memperincikan angka tersebut selepas itu.

Lim berkata, hutang rasmi kerajaan persekutuan berjumlah RM686.8 bilion (50.8% Keluaran Dalam Negara Kasar), komitmen jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion (14.6% KDNK) dan komitmen bayaran pajakan bagi projek awam-swasta sebanyak RM201.4 bilion (14.9% KDNK).

Baru-baru ini FMT meminta Ali menjelaskan beberapa isu berkaitan hutang kerajaan itu dalam bahasa mudah.

“Hutang sesebuah negara berlaku apabila kerajaan membuat pinjaman bagi membiayai projek atau perjalanan operasinya. Wang dipinjam daripada negara lain atau institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Sesetengah kerajaan melihat liabiliti sebagai hutang,” katanya.

FMT: Bila kita perlu bimbang tentang hutang?
Ali: Dari sudut teknikalnya, jumlah hutang tidak terlalu penting. Lebih penting ialah pelan pembayaran hutang kerajaan dan sama ada ia mampu mematuhi pelan itu.

Berhutang bukanlah sentiasa buruk. Isunya ialah sama ada hutang itu produktif.

Hutang dianggap produktif jika katakan anda meminjam sebanyak RM30 bilion dengan tempoh bayaran balik selama 20 tahun untuk membina projek infrastruktur yang membolehkan anda mendapat kembali jumlah itu dalam tempoh tersebut.

Tetapi jika pinjaman itu digunakan bagi membayar kos operasi kerajaan atau digunakan untuk membina projek gajah putih, maka ia tidak produktif.

FMT: Mampukah Malaysia membayar hutangnya?
Ali: Ya. Keadaannya terurus. Salah satu petunjuk penting kemampuan sesebuah negara untuk membayar hutang ialah jumlah wang yang diperuntukkan untuk tujuan itu dalam belanjawan tahunannya.

Bagi Belanjawan 2018, jumlah ini ialah sebanyak 11% dan ia sangat mencukupi. Berdasarkan piawaian Bank Dunia, keadaan menjadi membimbangkan sekiranya 30% daripada belanjawan diperuntukkan untuk tujuan pembayaran balik hutang.

Dari sudut hutang itu sendiri, tidak perlu panik. Apa yang membimbangkan ialah dakwaan institusi seperti 1MDB, Danainfra Nasional Bhd, Prasarana Malaysia Bhd, Malaysia Rail-Link Sdn Bhd dan Govco Holdings Bhd perlu diselamatkan oleh Kementerian Kewangan.

Melainkan 1MDB, semua syarikat lain terlibat dengan projek pengangkutan dan infrastruktur. Terdapat tanda yang menunjukkan pinjaman untuk entiti-entiti ini tidak produktif, dan ia tidak dapat menjana cukup pendapatan untuk membayar hutang.

Ini boleh menyebabkan peningkatkan harga bagi memenuhi keperluan membayar hutang. Ia juga boleh mengakibatkan penggunaan hasil cukai untuk tujuan pembayaran balik, seperti yang dilakukan oleh kerajaan dulu.

FMT: Adakah hutang kita memberi kesan ke atas perkadaran kredit?
Ali: Tidak. Perkadaran kredit kita hanya terganggu sekiranya kerajaan atau agensinya gagal membayar balik hutang.

FMT: Apakah hutang kerajaan sebelum ini produktif?
Ali: Pada ketika ini kita tidak dapat menentukannya kerana maklumat lebih terperinci tidak ada. Mungkin, atas keperluan bersikap telus, kerajaan hari ini patut mendedahkan angka itu kepada orang ramai. Jika ia dianggap terlalu sensitif, paling tidak ia dikemukakan kepada Parlimen.
Selain itu, kerajaan sekarang boleh menjadikan amalan membawa sesuatu cadangan yang memerlukan hutang yang besar ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.

FMT: Wajarkah menteri kewangan mendedahkan angka hutang negara seperti baru-baru ini?
Ali: Beliau mungkin berasa tugasnya untuk bersikap telus kepada rakyat. Ia mesti diimbangkan dengan kenyataan lain bagi mengukuhkan keyakinan pelabur dan orang awam terhadap pelan pembayaran hutang dan kemampuan kerajaan untuk membayarnya.

FMT: Kerajaan patut buat apa sekarang?
Ali: Kerajaan tidak perlu cuba mengatasi isu nisbah hutang itu serta-merta. Lebih penting ialah menangani isu kegagalan institusi yang tampak semakin memburuk beberapa tahun kebelakangan ini.

PM: Tiada lagi haji percuma dengan duit curi



MALAYSIAKINI





Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kerajaan tidak lagi akan menghantar jemaah untuk menunaikan haji dengan menggunakan wang yang dicuri.

Beliau jelas menyindir "program amal" Yayasan 1MDB yang menaja perjalanan haji percuma.

"Ramai orang tidak akan dapat melaksanakan haji kali ini kerana kerajaan tidak akan membayar haji mereka dengan wang yang dicuri.

"Jika anda mahu, kita boleh mencuri dan bayar, tetapi kita tidak percaya pada cara mencuri wang," katanya ketika berucap pada majlis makan malam di Tokyo dengan warga Malaysia yang menetap di Jepun.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan-rakannya dituduh memperalatkan 1MDB untuk menyalahgunakan dana daripada syarikat milik negara itu.




Najib menafikan sebarang salah laku atau mengambil dana awam untuk keuntungan peribadi.
Mahathir turut berkata kerajaan baru Pakatan Harapan terpaksa memulihkan negara dan menangani hutang besarnya RM1 trilion.

"Orang yang sudah mempunyai kehidupan yang cukup baik tidak akan mendapat bantuan HARAPAN seperti BR1M.

"Kami tidak menyebutnya BR1M, kami memanggilnya dengan nama lain kerana kami tidak mahu mewarisi kebiasaan buruk mereka (kerajaan sebelumnya)," katanya.

Hargai sumbangan Tabung Harapan

Beliau juga memuji mereka yang menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia, yang ditubuhkan bagi membolehkan orang ramai menderma bertujuan membayar hutang negara.

"Ada sesetengah orang membuat keputusan mereka mesti mendermakan wang kepada kerajaan dan bukannya disebabkan desakan kerajaan.

"Sekarang, kita telah kumpulkan lebih daripada RM40 juta. Sudah tentu, apabila anda perlu membayar RM1 trilion (hutang negara), maka jumlah RM40 juta bukanlah besar mana tetapi isyaratnya itu yang amat dihargai.

"Saya sangat berterima kasih kepada mereka, kami sangat berterima kasih kepada mereka, walaupun di sekolah-sekolah, murid-murid mengumpul wang untuk didermakan kepada kerajaan," katanya.

Kerajaan perpaduan elak krisis di Kedah




SALMAH MAT HUSAIN






KOTA BHARU: PAS menawar pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan semua parti politik di Kedah bagi mengelak berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan negeri dan pembangkang mempunyai kekuatan yang setara di negeri itu sekarang.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) yang menguasai kerajaan negeri sekarang menang 18 kerusi Dun, begitu juga pembangkang terdiri daripada PAS dan BN juga menang di 18 kerusi.

"PAS pernah tawarkan kerajaan perpaduan di Kedah sebagai jalan terbaik untuk keluar daripada krisis, di samping mengelakkan berlaku PRN yang tentunya melibatkan kos besar," ujarnya selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Kelantan kali ke-45 di Putik semalam.

Beliau yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, masalah akan berlaku berkaitan pencalonan Speaker Dun Dewan Undangan Negeri.

“PH boleh cadang nama calon Speaker mereka, begitu juga kita boleh mencadangkan nama calon mewakili pembangkang.

“Pengundian belah bagi akan berlaku bagi menentukan kerusi tersebut," katanya.

Baru-baru ini Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi memberitahu PAS mempunyai calon Speaker bukan dalam kalangan Adun yang mewakili parti itu.


Hadir sama pada muktamar tersebut Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof dan saf kepimpinan negeri. - HARAKAHDAILY

Peguam Negara, apa hendak dikesalkan


SUBKY LATIF


TIADA apa yang hendak dikesalkan dengan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baru yang tentunya sudah dimusyawarahkan oleh Top Enam pimpinan Pakatan Harapan.

Tiada Perdana Menteri Mahathir memandai memutuskannya sendiri menamakan Peguam Negara bukan Melayu/Islam melainkan dirundingkan sesama Top Enam itu dengan harapan tiadalah ia jadi Top Enam Jahanam, imbasan satu jodol wayang Enam Jahanam yang menarik satu masa dulu.

Tiada apa yang hendak dikatakan kerana semuanya tidak bercanggah dengan perlembagaan. Jika orang Melayu dukalara hanya terhadap perlembagaan yang terlepas pandang rasa hati orang Islam. Jika hendak marah dan kesal, marahlah kepada perlembagaan yang disetujui oleh Tunku Abdul Raman dan Tun Razak yang mengepalai rombongan rundingan kemerdekaan di London menjelang kemerdekaan dulu.

Dr. Burhanuddin al-Helmy pemimpin PAS masa itu minta ditangguhkan dulu kemerdekaan itu kerana syarat yang British beri menjadikan ia merdeka separuh masak. Dato Onn sependapat dengan Dr. Burhanuddin. Ada kelemahan pada perlembagaan itu.

Orang Melayu – raja-raja dan rakyatnya – sentiasa bersangka baik kepada semua. Tiada syak dan ragu atas syarat kemerdekaan dan perlembagaan gubalan Inggeris itu. Dari dulu hingga sekarang sekaliannya bersangka baik bahawa perlembagaan dan pengemudinya menjamin kedaulatan, keselamatan, Negara, Melayu, Islam, rakyat dan lain-lain.

Tetapi banyak cerita orang Melayu tertipu. Yang masyhur, rombongan pelayar perang Portugis dikatakan bertemu dengan Raja Melaka minta membeli tanah sebesar belulang lembu di kawasan strategik dengan harga yang luar biasa tingginya. Tidak dipastikan cerita itu benar tapi orang Melayu tahu cerita itu. Moralnya ia adalah satu sindiran kepada bangsa Melayu.

Raja setuju kerana tanah sebesar belulang lembu tidak sebarang kesan. Tetapi Peringgi menjadikan belulang itu tali yang apabila disambung ia menjadi kawasan yang luas. Ia jadi tapak kubu Peringgi menyerang Melaka. Raja dan rakyat tak terkata-kata. Melaka ditawan.

Jaminan Inggeris, Tunku dan Tun Razak tentang perlembagaan itu mungkin dirasai orang ramai kerana kita tidak dapat pastikan penjawat Peguam Negara itu seorang yang peka Islam dan Melayu seperti yang PAS harapkan.

Rakyat gembira kerana baru merayakan pemerintahan BN yang merugikan negara ditumbangkan. Hanya Umno yang terkedu akan kekalahannya. Kini ia terkedu kali kedua kerana pelantikan Peguam Negara yang baru itu. Kebanyakan orng Melayu terkedu sama.

Terkedu itu terkejut. Masing-masing terkejut krana perlembagaan tidak menjadikannya hak istimewa orang Melayu. Bukan semua jaminan orang Melayu itu mesti disebut dalam perlembagaan. Tetapi pemimpin mesti peka apa rakyat majoriti mahu dan tak mahu. Apa yan tiada dalam perlembagaan, pemimpin yang ada wawasan melengkapkan keperluan yang tidak termsuk dalam perlembagaan asal tidak dibuat kerana kezaliman.

Mereka jangan ambil kesempatan atas kekurangan perlembagaan meletak rakyat kecil hati dan jatuh semangat. Kecil hati itu tidak dapat diubat dengan mandi bung atau mandi dengan air dari tujuh kolah masjid.

Orang Melayu yang diasak oleh Umno dengan sikap anti Malaysian Malaysia masih dibelenggu oleh fobia itu. Tidak ganjil bagi DAP meneruskan cita-citanya. Tapi Top Enam Pakatan Harapan seolah-olah memulakan pengisian Malaysian Malaysia itu.

Tommy Thomas seorang pakar undang-undang berwibawa, tetapi rakyat akar umbi mahu penjawat penting dapat menambah motivasi dan inovasi, maju dan membangun. Bagi Islam, Islam itulah sumber motivasinya. Jika tidak percaya tanya DS Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY

‘Saya khuatir UMNO akan parah selama-lamanya’ – Shahrizat


Muhammad Azizul Osman
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu kali ini.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu kali ini.
 

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berpandangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu muhasabah diri dan segera berubah untuk terus releven di arena politik negara.

Pemilihan parti yang bakal diadakan mulai 30 Jun depan diharap menjadi medan pembaharuan semula parti tunjang kaum Melayu itu setelah menghadapi kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Kita pun kurang pembabitan dalam media sosial. Hubungan dengan rakyat mungkin kurang. Cara kita berjuang, cara melaksana polisi dan perundangan. Mereka mahu budaya dalam UMNO ditukar.

“Saya percaya ini masanya UMNO mesti berani muhasabah diri. Kalau kita tak berubah saya khuatir akan parah selama-lamanya nanti,” kata memetik laporan sebuah portal.

Tambahnya, UMNO-BN yang mengalami kekalahan teruk pada PRU-14 lalu bukan disebabkan persepsi pengundi terhadap isu-isu negara semata-mata dan ianya bergantung kepada pelbagai faktor.

“Mungkin mereka mahu UMNO dan BN tukar wajah. Isu GST, 1MDB, isu mereka mahu perubahan dalam UMNO, mahu cara baru, dan tidak mahu ada warlord (pembesar tempatan), mereka mahu (UMNO) lebih inklusif,” katanya.

UMNO kini dalam proses perubahan apabila jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan majlis tertinggi (MT) serta ketua pergerakan sayap dibuka secara umum untuk dipertandingkan.

Mei lalu, Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu dan pencalonan harus mengikut kelayakan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

Perkara itu disahkan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sehingga kini, Ahmad Zahid merupakan calon tunggal untuk jawatan presiden manakala jawatan timbalan presiden pula menyaksikan persaingan antara Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Shahrizat juga tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang disandangnya.-MalaysiaGazette

Sunday, June 3, 2018

Rahsia fail merah terbongkar




PUTRAJAYA - Rahsia 'fail merah' yang sebelum ini hanya boleh diakses pihak tertentu terbongkar apabila mengandungi penyelewengan dan skandal membabitkan syarikat 1MDB.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu wawancara berkata, beliau sangat terkejut apabila mengetahui kandungan fail merah itu yang sebelum ini cuba disorok oleh kerajaan BN.

Beliau berkata,  sebelum ini kesemua fail tersebut tidak boleh diakses kerana kerajaan BN menghalang auditor dan pegawai yang bertanggungjawab untuk menelitinya secara profesional dan integriti.

“Fail-fail merah yang sebelum ini begitu sulit telahpun dibuka. Saya sangat terkejut kerana fail tersebut mengandungi banyak skandal termasuk pembayaran hutang untuk 1MDB.

"Rupa-rupanya hutang-hutang 1MDB sebelum ini dibayar oleh kerajaan. Padahal sebelum ini 1MDB beritahu mereka bayar sendiri. Mereka tak bayar satu sen pun hutang-hutang mereka," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada hari pertama di kementerian itu, Guan Eng berkata beliau diberitahu Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Siti Zauyah Mod Desa dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad mengenai kedudukan semasa kewangan negara, dan pendedahan yang mengejutkan bahawa mereka tidak dapat mengakses akaun dan laporan tertentu.

Menyifatkannya sebagai skandal paling besar di dunia, Guan Eng berkata, sebanyak RM7 bilion telah dibayar dan lebih menyedihkan kerajaan terpaksa menanggung beban membayar RM38 bilion lagi sehingga 2039.
Katanya, jumlah tersebut juga belum dikira faedah, jadi boleh dinilai betapa besar kerugian dan kehilangan sumber pendapatan rakyat untuk membayar hutang 1MDB sahaja.

“Bayangkan sekiranya wang ini boleh dilaburkan digunakan untuk rakyat. Bukankah kita boleh menyelesaikan sebahagian besar masalah kita, tapi ternyata skandal 1MDB ini telah memberi impak negatif ke atas keadaan ekonomi kita.

“Saya berterus terang soal ini. Sebab itu kita terpaksa ambil langkah-langkah bagi mengurangkan mengurangkan impak negatif tersebut,” tegas beliau.

Guan Eng turut mendedahkan hasil siasatan mendapati bahawa 1MDB sebagai syarikat pelaburan strategik hanyalah rekaan semata-mata.

“Satu rekaan yang betul-betul jahat... tak ada langsung. Kita akan siasat dengan lebih teliti supaya rakyat tahu penyelewengan melalui 1MDB ini.

"Kita akan cuba atasi kerana 1MDB ini adalah sejarah hitam yang kita akan ingat buat selama-lamanya," katanya.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, fail-fail merah itu turut mengandungi kontrak-kontrak yang mempunyai syarat-syarat yang agak luar biasa yang merugikan kerajaan.

“Ada beberapa kontrak di mana pembayaran dibuat walaupun kemajuan kerja hanya 10 hingga 15 peratus. Lebih dua pertiga nilai kontrak ataupun jumlah kontrak telah pun dibayar.

“Kita sedang siasat perjanjian-perjanjian yang agak luar biasa ini. Biasanya kalau kerja siap 30 peratus, kita akan bayar 30 peratus. Tetapi ini tidak diamalkan.

"Kerja baru siap 30 peratus tetapi sudah dibayar 70 peratus. Mengapa? Kerana perjanjian dibuat bergantung kepada tempoh masa iaitu pembayaran dibuat setiap enam bulan, tak kira ada buat kerja atau tak buat kerja,” katanya.

Walaupun begitu katanya, pihaknya tidak boleh mengatakan perbuatan itu salah kerana telah termaktub dalam kontrak.

“Kita akan siasat dan tanya mengapa mereka buat kontrak macam ini yang tidak memihak kepada kepentingan negara. Itulah yang kita kena siasat," katanya. sinarharian

WEE AKUI BN SUKAR KEMBALI BERKUASA, BIARPUN 15 TAHUN LAGI


Sistem Imigresen negara sangat korup..!!



Sewaktu jamuan berbuka puasa Tan Sri Muhhydin yang lalu. Telah di datangi Oleh Dato Amin Bangladesh , Dato Azmi Khalid serta Dato Nizam ( JACKEL ). Dikatakan Dato Amin bangladesh telah memberitahu kepada Tan Sri Mahyuddin bahawa beliau hanya mengambil Wang untuk Sistem Kemasukan Pendatang Asing dari bangladesh cuma RM350 sahaja setiap seorang, padahal Semua sedia maklum Beliau mengambil RM15,000 setiap seorang Pendatang Asing dari Bangladesh. Sistem tersebut di daftarkan Atas Syarikat Yang bernama SPPA yang diteraju oleh Dato Amin bangladesh.

Pihak Bangladesh telah menghantar memorendum ke kedutaan bangladesh yang menyatakan ( Mereka Menentang keras Cara Dato Amin bangladesh membawa masuk Rakyat bangladesh ke MALAYSIA dengan cara yang sedemikian dan menyebabkan buruh bangladesh yang ke MALAYSIA terpaksa menanggung hutang yang banyak serta tertekan dengan kesusahan ). Dikatakan jugak Dato Nizam ( JACKEL ) terbabit didalam isu Tanah Di Kuala Lumpur yang berkeluasan 360 Ekar dan berkaitan jugak dengan Datin Sri Rosmah Dan Tan Sri Zaid Hamidi. Dato Amin bangladesh menggunakan Politik di bangladesh dengan menyogok pemimpin serta Menteri Bangladesh supaya Menyokong tindakan Beliau dan menghalalkan terus SISTEM yang dilakukan.

Diberitahu bahawa Sabtu ini Tan Sri Muhyiddin dijemput ke JACKEL KUALA LUMPUR bagi menghadiri program sumbangan kepada ASNAF-ASNAF serta Pemberian Voucher sebanyak RM500 kepada Pemimpin-pemimpin PPBM. Sedangkan Duit itu kita ketahui bahawa datangnya dari Sistem yang dinyatakan tadi. Bagaimana Tan Sri boleh terima semua ini. Diberitahu bahawa Dato Amin telah menyuruh pemerintah Bangladesh untuk menulis surat sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin bahawa diminta untuk sistem Dari syarikat SPPA dilanjutkan.

Bagaimana Tan Sri sebagai pemimpin Yang Baharu Masih menerima Korupsi ini sedang laungnya adalah membasmi kesalahan pemimpin yang lalu. Jika ini berlarutan maka tiada bezanya PEMIMPIN YANG TERDAHULU DENGAN YANG BAHARU. Masih terdapat lagi orang dalam seperti SUB Zamri serta KSU KDN masih membantu Dato Amin yang masih berselindung serta menjalankan kerja-kerja ini dan masih senang lenang dengan kehidupan. 3 hari sebelum PILIHANRAYA yang lalu terdapat 80000 kelulusan dikeluarkan sehingga sekarang dan masih ada lagi yang membuat pembayaran Lavy.

Masih tiada tindakan yang diambil. Dalang semua Ini adalah Dato Amin Bangladesh serta Dato Nizam ( JACKEL ). Harapan kepada PUCUK KEPIMPINAN yang Baharu dapat membenteras habis habisan sendikit ini. Minta semua pihak mengambil Tindakan sewajarnya.

Mohon Tan Sri bertindak cepat dgn kedua koruptor ini.

Sebarkan.

BOIKOT JACKE

Perihal peguam negara yang tiada


 
   
ULASAN | Muntahan siber dengan pelbagai agenda yang sarat tentulah sukar untuk dinilai pada pemikiran masyarakat biasa. Bahkan yang cerdik alim pun mungkin tersasar. Apatah lagi yang jahil murakab dan sang sombong tak keruan.

Penyaringan bacaan perlu dilakukan terlebih awal supaya maklumat yang dibawa masuk ke otak benar-benar sahih.

Apa-apa yang murahan atau picisan itu, abaikan saja. Jangan dibuang masa berharga dalam bulan mulia ini.

Internet memang menyamaratakan semua lapisan masyarakat. Tiada pemisah usia, daya fikir, warna kulit, agama dan sebagainya.

Semua orang boleh duduk dalam ‘bilik’ dunia siber meski tidak pernah bersama secara zahir.

Kadangkala manusia mencipta penjara buat dirinya sendiri dan kemudian meronta-ronta minta dibebaskan.

Sebagai pembaca biasanya seseorang membuat pengkategorian penulis dengan beberapa klasifikasi tertentu sebelum membuat analisis lebih mendalam.

Amalan banyak membaca dan bahan yang pelbagai akan memudahkan untuk memahami "literature review" sesuatu isu dan pemikiran penulis.

Fitrah alam memang begitu

Dalam isu pelantikan peguam negara yang dihangatkan muktahir sehari dua ini, ia adalah tempoh bagi proses membuat keputusan yang lumrah, demokratik dan kontemporari.

Isu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu menolak nasihat perdana menteri atau menteri besar bukan suatu yang luar biasa.

Ia adalah kisah tentang sejarah Bendahara Tun Perak menyembah derhaka, pembunuhan Bendahara Tun Mutahir sekeluarga hingga zaman moden Dato Onn Jaafar tersingkir.

Selain itu ada banyak lipatan sejarah yang boleh ditelaah. Banyak. Bersepah.

Walaupun terdapat pelbagai tafsiran tentang bidang kuasa antara konsep raja berpelembagaan dan konsep demokrasi berparlimen, lazimnya bakal wujud persefahaman dan penyesuaian antara dua teras ini pada akhirnya.




Jika tidak berlaku sebagaimana seharusnya, proses keseimbangan (equilibrium) pasti berlaku. Itu fitrah alam.

Kritikan terhadap Tommy Thomas berkisar lebih kepada soal kaum dan agamanya. Walaupun ada berkaitan rekod kerjayanya kerana pernah menjadi peguam kepada Chin Peng, pada saya itu bukanlah isu fundamental.

Beliau juga pernah menjadi kepada peguam kerajaan Kelantan yang diterajui PAS. Itu memang kerja seorang peguam.

Jangan hilang rasa hormat

Saya pun kurang mengenali susuk peguam ini. Agak sukar juga menelaah lebih jauh. Saya tiada ilmu khasyaf atau sering bermimpi jumpa nabi meski teringin sekali.

Bagi pihak Pakatan Harapan (jika diizinkan saya mewakilkan suara gabungan itu), isu berkenaan tidak perlu sampai diselesaikan di alam maya.

Zaman dewa-dewi sudah berlalu. Berpijaklah di bumi nyata. Langit dijunjung, kedaulatan negara dijaga. Pemimpin sudah dipilih dan dilantik meneraju negara, rakyat terus bekerja dan menjadi saksi mata pemimpin negara.

Bersuaralah dalam negara merdeka dengan sopan dan bertatasusila. Jika perlu lawan, lawanlah sebagaimana kita memecah metos BN tak boleh dikalahkan. BN sudah jatuh kecundang!

Memperjuangkan Islam sewajarnya bersifat inklusif. Berhati-hati memang perlu tetapi tidak sampai mencurigai hingga hilang rasa hormat dan ihsan.

Di antara kutub yang saling bertentangan, letakkan diri sendiri pada titik pertemuan yang damai.

Islam bukanlah sebuah taman perumahan atau slogan untuk dipamerkan. Islam dipraktis secara aman.

Siapapun gerangan yang menjadi peguam negara, beliau wajib mengutamakan kepentingan negara berbanding dirinya sendiri.

Jika ingkar atau khianat, tunggulah saat pembalasan daripada rakyat dan juga Tuhan Yang Maha Berkuasa. Sejarah akan mencatat.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis buku Aku Melayu Di Kota Inggeris terbitan Kemilau Publika pada 2012.

LANGIT TAK SELALU CERAH


Tamrin Tun Ghafar

1. Siapa sangka seorang insan yang usianya hampir 93 tahun yang pernah dicaci , dikutuk dan dimaki hamun dengan kata - kata kesat seperti "orang tua nyanyuk ", "tak sedar diri”, "bodoh", "stupid" dan berbagai bagai cemuhan lagi mampu menumbangkan Najib yang hampir 30 tahun lebih muda dari beliau.

2. Siapa sangka bahtera lanun Bugis yang konongnya kuat dan hebat akhirnya tenggelam juga dek kerana ketamakan dan kerakusan sendiri, justeru ia dengan sendirinya memalukan masyarakat Bugis itu sendiri.

3. Siapa sangka rakyat kali ini telah tidak sanggup membenarkan diri mereka terus ditipu, diperbodoh, diugut dan dizalimi oleh mereka ysng telah diberi kepercayaan sejak sekian lama.

4. Siapa sangka , akhirnya pada hari Rabu 9hb Mei 2018, hanya 2 hari sebelum UMNO menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke 72 tahun berserta parti - parti komponen dalam Barisan Nasional ( BN ) berjaya ditumbangkan.

5. Siapa sangka Najib, Perdana Menteri ke 6 yang merupakan anak Tun Razak , Perdana Menteri ke 2 sanggup melakukan pembohongan, penipuan dan rompakan demi rompakan dengan sewenang - wenangnya tanpa punyai perasaan malu dan takut.

6. Siapa sangka buat pertama kali dalam sejarah Negara ini sejak Merdeka , seorang bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, parti yang tertua dan terbesar akhirnya akan didakwa di mahkamah atas tuduhan mencuri , merompak , menyalahguna kuasa dan lain - lain pertuduhan lagi.

7. Siapa sangka UMNO semasa Tunku Abdul Rahman Putra Alhajdan Tun Abdul Razak yang pernah menentang Komunis dengan bantuan Askar Melayu dan " Home Guard" tiba - tiba dibawah pimpinan Najib bukan sahaja menjalin persahabatan dengan mereka bahkan sanggup menggadaikan tanah - tanah strategik seperti Lapangan Terbang Tentera Udara Sungai Besi dan memberi projek - projek raksaksa kepada Komunis China.

8. Siapa sangaka lagu ciptaan Allahyarham P Ramlee disuatu ketika dahulu "Ku Sangka Panas Hingga Ke Petang , Rupanya Hujan Di Tengah Hari" menjadi kenyataan pada hari ini - ALFATIHAH.

9. Siapa sangka pandangan Dr. Mahathir kira - kira 30 tahun dahulu bahawa pada 2020 atau awal lagi, akibat sikap pemimpin - pemimpin UMNO berlumba - lumba merebut jawatan dan politik wang ketika itu, orang Melayu akan menolak UMNO itu sendiri,telah pun terbukti kebenarannya (sila lihat video).

10. Siapa sangka Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah menjadi PM ke 4 selama 22 tahun mulai 1981,akhirnya diberi kepercayaan oleh majoriti rakyat jelata sekali lagi memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri ke 7.

11. Kepada Pakatan Harapan ( PH ) jadikanlah apa yang berlaku kepada UMNO dan BN ini sebagai IKTIBAR.

12. Jika pokok yang besar dan kuat mampu ditumbangkan,apatah lagi dahan yang masih rapuh.

13. Semoga dahan itu bukan saja tidak dicantas malah perlu diperkuatkan lagi bagi menghadapi angin kencang dan ribut yang mungkin berlaku.

14. Sejak PRU ke 12 dalam tahun 2008 dan PRU ke 13 dalam tahun 2013 , pembangkang ketika itu yang terdiri dari PKR , DAP dan PAS t…
[11:33 PM, 6/2/2018] PENGERAN: Drp FB posting Prof Mustafa Kamal Satar


Setakat ini DAP senyap je & tumpu pada bantu Tun urus negara.
================

Tak dengar pun DAP tuntut yg pelik2 dari kerajaan untuk kaum Cina atau minta dihapuskan hak2 istimewa Melayu/Bumiputera atau kedudukan Islam dan bahasa Melayu atau institutsi raja Melayu. .

Tak dengar pun DAP tuntut nak jawatan Perdana Menteri seperti dipropagandakan oleh Umno sebelum PRU14. DAP juga tak minta jawatan TPM. Lim Kit Siang langsung tak jadi Menteri, dan DAP pun tak kisah nak promosikan LKS sebagai Menteri..

Yang kita nampak ialah Menteri2 Pusat dari DAP sibuk dengan tugas2 kementerian mereka untuk jadikan Malaysia lebih progresif.

Ahli2 biasa DAP etnik Cina pula tak ada yang hantar memo kepada Tun minta dibuka UiTM untuk kaum Cina-NonMelayu, atau minta JAKIM ditutup.. Yang tuntut pasal UITM itu ialah Hindraf 2.0. Yang minta JAKIM ditutup ialah seorang wanita MELAYU bernama Bedah Kassim, dia bukan anggota DAP pun.

Juga tak dengar DAP bising nak pantau sakan kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir. Yang dok bising nak pantau kerajaan PH pimpinan Tun ialah Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli dari PKR.

Juga tak dengar DAP melawan raja2 Melayu. Yang dok melawan raja pula ialah anak Kassim dari BN di Perlis, bukan DAP. Anak Kassim ni MELAYU kan? Dah tu Melayu UMNO pulak! Kikikiki!

Punyalah bagus dan pragmatik senyap DAP hinggakan Presiden PAS, HADI AWANG sendiri ikrar bahawa DAP dah berubah dan matang selepas PRU14 dam PAS sedia kawan dengan DAP. .

Yang tak matang dalam PH siapa? PPBM? Amanah? PKR?

PAS sendiri dah matang ke? Hadi Awang sendiri dah matang ke? Yang kita tau di Kelanatn orang2 PAS larang Tun Dr Mahathir ziarah kubur TGNA, larang Nik Omar (anak lelaki sulung TGNA) imamkan solat di sebuah amsjid di Kelantan hanya kerana Nik Omar keluar PAS dan masuk PH,dan larang Husam Musa dan Wan Rahim (pemimpin2 Amanah) memasuki pejabat2 kerajaan PAS Kelantan. PAS matang ke dengan larangan ala2 negeri polis ini stail Malaysia Lama bawah BN dulu?

So, I rest my case. There is no issue with DAP or DAP Chinese

Mat Sabu 'diburu' di Singapura


MALAYSIA DATELINE 
Mohamad bertemu dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Long.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu tidak menjangka masyarakat umum di Singapura turut mengikuti perkembangan politik di Malaysia.

Bernama difahamkan bahawa ketika kunjungan Mohamad – atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu – ke Masjid Sultan untuk menunaikan solat Jumaat, beliau dikerumuni jemaah yang terdiri daripada rakyat tempatan dan asing untuk merakam gambar bersamanya.

“Saya tidak menjangkakan sambutan sebegini. Saya tidak sangka mereka mengikuti perkembangan politik tanah air kita,” kata Presiden Parti Amanah Negara – satu daripada empat parti komponen Pakatan Harapan – ketika ditanya tentang sambutan luar jangkaan itu, lapor Bernama.

Mohamad tiba di Singapura sejak Jumaat lalu bagi menghadiri Dialog Shangri La (SLD) edisi ke-17 yang sedang berlangsung di republik berkenaan.

Beliau merupakan menteri Kabinet Malaysia yang baru selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 awal bulan lepas.

Pekerja hotel pun minat
Pelbagai gambar Mohamad ketika di Singapura dimasukkan dalam laman facebook beliau.

Rata-rata gambar Mohamad bersama masyarakat di Singapura dapat dilihat dikongsi di media sosial.

“Salam Jumaat. Haji Mohamad bin Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, Menteri Pertahanan Malaysia di Masjid Sultan Singapura tadi. Seorang lelaki yang sederhana,” menurut sebuah laman Facebook yang turut memaparkan gambar pemimpin itu.

“Seorang pemimpin berjiwa rakyat. Alhamdulillah,” tambahnya.

Sambutan terhadap beliau di Masjid Sultan tersebut turut dilaporkan akhbar Berita Harian Singapura.

Sambutan sama turut dirasai beliau di Shangri La Hotel di mana dialog tiga hari itu berlangsung.

Difahamkan Mohamad akan dihampiri oleh peserta, malah pekerja hotel untuk merakamkan gambar bersamanya.

“Selepas makan malam pada Jumaat, kami pulang ke bilik agak lewat kerana melayani permintaan bergambar ‘peminatnya’ yang menahan beliau di lobi hotel,” menurut seorang daripada pegawai pengiring beliau.

Bernama turut menerima tempias apabila rakan media asing di sini turut bertanya sama ada penulis berpeluang untuk menemu ramah Menteri Pertahanan itu.

“Kamu dapat slot temu ramah beliau? Pukul berapa? Boleh kami ikut sama? Jangan risau kami tidak ganggu temu ramah kamu.. kami hanya mahu bergambar,” itu adalah antara permintaan rakan media di sini.

Mohamad akan berlepas pulang hari ini selepas pertemuan bersama Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Mattis.

'Tarzan pun nak jadi ketua pemuda Umno'


MALAYSIAKINI

   

Persaingan merebut jawatan-jawatan utama dalam Umno semakin menarik, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pertandingan tiga penjuru atau lebih.

Antara yang jelas kini bagi jawatan ketua pemuda Umno selepas tiga individu tampil menawarkan diri untuk menjadi pengganti penyandangnya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Tumpuan terhadap perebutan itu dilihat makin mendapat perhatian selepas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos turut mahu mencuba nasib walaupun beliau kini dalam 'buruan' pihak polis.

Terdahulu, jawatan itu juga menarik minat bekas timbalan menteri Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan penyandang Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun.

Justeru, keingginan Jamal itu juga dilihat sebagai sisi-sisi humor dalam arus perkembangan politik negara khususnya Umno pasca-pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagi bekas pengarang kumpulan New Straits Times, Mustapha Kamil Mohd Janor, kemahuan Jamal itu katanya bakal disusuli oleh calon-calon lain termasuk 'Tarzan'.

Dengan nada agak sinis, beliau menyifatkan kemahuan Jamal itu sebagai kontradik dengan masalah yang dihadapi pemimpin yang kini bertindak menghilangkan diri daripada umum.

"Azwanbro (Khairul Azwan) nak jadi ketua pemuda Umno, Asyraf Wajdi nak jadi ketua pemuda Umno, Jamal J yang lari lintang pukang masuk ladang sawit itu pun nak jadi ketua pemuda Umno.

"Kejap lagi Tarzan akan kata dia pun nak jadi ketua pemuda Umno, Bugs Bunny, Ultraman, dan anjing Rin Tin Tin itu juga akan kata mereka nak jadi ketua pemuda Umno," katanya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

Sementara itu Khairy Jamaluddin yang bakal melepaskan jawatan itu mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden.

Sebagai rekod, sebelum ini pun Jamal pernah menyatakan hasratnya mahu bertanding bagi jawatan ketua pemuda Umno.

Bagaimanapun pengumuman itu dibuat dalam keadaan yang berbeza, apabila ketika itu Umno belum kehilangan kuasa.

Dr Mahathir dan Anwar berkrisis? Kisah seram paling menyeramkan


Zainal Rashid Ahmad
MENJELANG sebulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, negara mula bergoncang.

Alahai! Macam tersampuk hantulah pula jadinya. Selepas PRU14, banyak berita menggerunkan. Kita dengar macam-macam. Cuma, kisah krisis kepimpinan Pakatan Harapan (PH) terasa menakutkan.

Seramnya macam terserempak jembalang.

Sambil berkias-kias cerita seram ini, elok juga kita berterus-terang. Lagi pun kisah seram ini bukan rahsia pun. Ia diperbualkan secara meluas di mana-mana. Lagi pun, ia semacam berasas dan wujud titik benar.
Zainuddin Maidin (Zam) mendakwa pergerakan penasihat PKR, Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini amat mencurigakan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.

Apabila bekas ketua pengarang Utusan Melayu itu berciap di Twitter, titik keresahan umpama mentol yang menyala secara rasmi. Zam rakan akrab Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun sudah bersara sebagai wartawan dan menteri, serta tidak partisan, Zam antara pengkritik tegar Najib Razak.

Zam agresif melalui blognya menyelar kepimpinan Najib sejak 2014 hingga jatuhnya Barisan Nasional (BN).

Malah, Zam bersama Daim Zainuddin turun berkempen di Kedah pada PRU 14 lalu.

Justeru, apabila Zam menciapkan isu yang menakutkan pada 31 Mei lalu, menimbulkan ketakutan awam. Rakyat sudah mula terasa seperti ternampak hantu.

Kita tahu ciapan itu bukan gosip politik. Zam wartawan dan bekas menteri. Apabila dia menembak sesuatu, tentulah jampinya bersebab.

Apa ciapan Zam?

Zam menyifatkan Anwar tidak sabar menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

“Ketika negara memerlukan konsolidasi dan kestabilan, pergerakan Anwar Ibrahim terutama dalam mengadap Raja-Raja menarik perhatian dan menimbulkan berbagai-bagai spekulasi.

“Beliau kelihatan seperti cacing kepanasan, seperti tidak sabar tunggu dua tahun lagi,” ciap Zam.

Selepas Zam, A Kadir Jasin, bekas wartawan sohor New Straits Times membangkitkan tentang Anwar. Isu yang masyarakat menerimanya sebagai mesej yang serius. Bahawa, adanya jurang persefahaman antara Dr Mahathir dan Anwar.

"Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditajukberitakan sebagai berkata beliau bimbang dengan perbezaan pendapat dalam PH.

"Saya katakan begini kepada sahabat lama saya itu: Jangan sekadar bimbang saja. Sebagai orang tua kita lakukanlah yang terbaik bagi mengukuhkan perpaduan dalam pakatan kita," tulisnya.

Malah, nada Kadir menegur lebih sinis: "Sesiapa pun, si papa atau raja akan mengundang tindak balas yang setimpal sekiranya mereka cuba menidakkan pilihan rakyat jelata dan undang-undang negara."











Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama Anwar Ibrahim semasa sidang media di ibu pejabat Bersatu, Petaling Jaya pada 1 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2018.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama Anwar Ibrahim semasa sidang media di ibu pejabat Bersatu, Petaling Jaya pada 1 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2018.

Isyarat

Apa akan jadi pada rakyat dan negara kalau krisis ini tidak dikawal? Jangan tolak ciapan Zam sebagai murahan. Jangan abaikan sindiran Kadir. Kita kenal Zam. Walaupun bukan best friend.Kita tahu apabila Zam menciapkan isu itu, dia punya asas untuk menghantar isyarat secara terbuka.

Hentikan politik thriller. Jangan letak rakyat dalam suasana tersihir keseraman. Kita baru lepas PRU. Kita kena hormati prinsip demokrasi. Kena berpegang pada amanat rakyat. Rakyat dah buat keputusan melalui peti undi. PH menang 122 kerusi dan berhak memerintah. Malah, dah perintah pun.

Jangan bawa filem seram. Jangan gigilkan rakyat. Negara bangsa harus terus ke depan. Dr Mahathir dan Anwar sudah ada perjanjian. Kita pun tak tahu apa jenis perjanjiannya. Tapi kita maklum perjanjian itu demi kebaikan rakyat. Maka, peganglah janji itu. Sebab persefahaman anda berdua, antara janji yang menyebabkan rakyat memilih PH.

Muslihat politik boleh dibaca. Rakyat zaman sekarang tidak melihat politik seperti era patung di balik kelir wayang kulit. Hanya nampak bayang-bayang. Era sekarang, semuanya serba digital dan berdefinisi tinggi. Jadi, hantu yang kabur pun, rakyat boleh nampak dengan jelas.

Kepada semua pihak, dengarlah suara rakyat. Sekarang rakyat mahu maju ke hadapan. Di atas sejadah pun, rakyat berdoa soal masa depan negara. Itu tanda betapa rakyat kasih akan tanah air ini.

Jadi, hentikan segera semua filem seram ini. Kesan ketakutan ini akan menjejaskan fokus rakyat. Mengugah emosi rakyat. Malah, rasa seram juga akan mengganggu pelabur, menggangu ekonomi dan mengganggu komitmen positif agensi penarafan.

Ingat! Seluruh dunia mudah merasa seram. Sebab kita memang kerap mencipta filem seram yang menakutkan.

Nauzubillah. Jauhilah Malaysia daripada kerosakan akibat kesan perpecahan yang tidak berpenghujung!