Tuesday, August 23, 2022

Skandal LCS : Zainab Bukan Isteri Saya Kata Menteri Itu..

 



Rafizi Ramli mendakwa siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan olehnya menunjukkan kesimpulan-kesimpulan berikut:

Dua buah syarikat palsu yang menggunakan nama Alizes Marine telah didaftarkan. Sebuah syarikat bernama Alizes Marine Limited yang didaftarkan di Malta dan sebuah lagi syarikat bernama Alizes Marine Labuan yang didaftarkan di Labuan.

Kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (“offshore”) dan tidak boleh dijejaki. Kewujudan Alizes Marine Limited hanya diketahui apabila pangkalan data syarikat pesisir luar pantai dibocorkan oleh pemberi maklumat sehingga menjadi skandal besar dunia (dikenali sebagai Panama Papers dan Paradise Papers).

Semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh.

Zainab Mohd Salleh juga pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited. Syarikat ini memegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.

Kertas siasatan dalaman skandal LCS menerangkan secara jelas penglibatan syarikat-syarikat Alizes Marine yang menyelewengkan dana kapal perang LCS.

Ada beberapa bentuk penyelewengan yang berlaku.

Pertama, syarikat-syarikat sebegini dilantik menjadi juru runding teknikal (sedangkan mereka tiada kepakaran) kepada projek. Mereka menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakan. Sebanyak RM23.37 juta diselewengkan menggunakan kaedah ini di awal pelaksanaan projek sekitar 2011 hingga 2014.

Kedua, Alizes Marine juga dilantik sebagai pembekal alat-alat gantian (“spare parts”) kepada projek LCS. Lantikan itu berdasarkan maklumat palsu kononnya ia mempunyai lesen dari kerajaan Perancis untuk menjadi pengeksport global alat gantian pertahanan (sedangkan ia tidak mempunyai lesen itu).

Projek LCS membayar sekitar RM210 juta bagi alat-alat gantian yang kononnya dibekalkan oleh syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan.

Siapa Zainab Mohd Salleh ini yang begitu berpengaruh dalam projek LCS?

Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Semasa skandal ini berlaku, beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing merupakan pemimpin UMNO sebelum menyertai BERSATU selepas PRU2018.

Laporan siasatan dalaman projek LCS juga secara jelas menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Dr Latiff Ahmad.

Muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 laporan menyebut “It is noted that Abdul Latiff is the spouse of Zainab” yang bermaksud “Siasatan mengambil maklum bahawa Abdul Latiff adalah suami kepada Zainab”.

Beliau adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Menteri Pertahanan ketika ini ialah Dato’ Seri Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang.

Pendedahan sepenuhnya silalah baca di SINI

Bagaimanapun..

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad hari ini menafikan individu bernama Zainab Mohd Salleh, seperti yang tular dalam beberapa laporan berita sebelum ini, adalah isteri kepada beliau.

Dalam satu kenyataan ringkas susulan, Ahli Parlimen Mersing dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, ia bertentangan dengan apa yang dilaporkan mengenai individu tersebut, serta kaitan dengan penyelewengan dana projek kapal pesisir tempur (LCS).

“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS), saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.

“Sebagai Anggota Kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya lagi lapor Astro Awani

No comments:

Post a Comment