Oleh: Hassan Abdul Karim
ULASAN PIMPINAN: Isu rasuah akan kembali menjadi isu sentral dalam Pilihan Raya Umum (PRU). Jika dalam PRU 14 isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jadi isu utama sehingga kerajaan BN tumbang buat kali pertama di dalam sejarah, kini dalam PRU-15 isu pembinaan 6 kapal tempur persisir (LCS) akan mengambil tempat 1MDB.
BN yang dihantui oleh isu skandal 1MDB hingga sekarang, sedang memikul lagi biawak hidup atas nama LCS yang melibatkan kerugian kerajaan sebanyak lebih 6 bilion ringgit. Sampai ke hari ini, sebiji kapal LCS pun tidak diterima oleh Tentera Laut Diraja Malaysia, TLDM.
Pertuduhan di mahkamah ke atas bekas Panglima TLDM tidak boleh menutup dan membungkus isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah berhubung skandal LCS ini. Siasatan dan pendakwaan oleh SPRM perlu diteruskan.
Seluruh Kementerian Pertahanan atau Mindef akan disasat. Semua menteri yang pernah menjadi Menteri Pertahanan Malaysia tidak boleh melepas diri. Mereka perlu bertanggungjawab. Bangkai rasuah yang busuk di Mindef tidak boleh ditutup dengan kertas plastik. Rakyat mahu tahu apa sebenarnya yang telah berlaku.
Isu LCS jadi liabiliti kepada BN
Isu rasuah di sebalik LCS akan menjadi liabiliti kepada BN. Kelebihan aura kemenangan politik BN selepas menang besar dalam Pilihanraya Negeri Melaka dan Johor telah terhakis habis apabila timbul skandal LCS.
Imej BN kembali ke zaman skandal 1MDB ketika menjelang PRU-14 pada tahun 2018.
Pemimpin-pemimpin utama BN yang diwakili oleh bekas Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri yang merupakan bekas Presiden Umno dan Presiden Umno sekarang, yang bukan kebetulan sedang berhadapan dengan undang-undang di mahkamah, telah menghidupkan kembali imej mental di minda rakyat bahawa pemimpin-pemimpin Umno-BN adalah golongan perasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah yang tidak boleh dipercayai rakyat.
Ini adalah imej buruk yang sedang dihadapi oleh Umno dan BN sekarang. Sama ada PRU 15 diadakan sekarang atau pada tahun hadapan, imej di minda rakyat sudah terpahat bahawa pemimpin-pemimpin politik seperti dalam kluster mahkamah ini perlu ditolak di dalam pilihan raya. Rakyat sebagai pengundi akan menjadi raja dan berkuasa untuk menghukum mereka dan parti mereka di peti undi seperti pernah mereka lakukan sebelum ini pada PRU-14 yang lalu.
Apakah peranan PH?
Jika Umno-BN ditolak rakyat, apakah peranan PH sebagai blok pembangkang utama di Malaysia sekarang?
PH tidak boleh mengharapkan laba politik datang bergolek ke kaki mereka. Yang bulat datang bergolek; yang pipih datang melayang tidak akan berlaku dalam realpolitik Malaysia
PH tidak boleh berpeluk tubuh melihat isu rasuah menghujani tubuh badan BN dan PH tidak mengambil apa-apa inisiatif positif di sebalik apa yang sedang berlaku.
Sekadar pemimpin-pemimpin utama PH menyeru diadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), ia tidak mencukupi. Rakyat menuntut lebih daripada itu. Ketua Cabang KEADILAN atau Ketua Cawangan Amanah atau DAP pun boleh buat seruan supaya RCI diadakan.
Rakyat mahu lihat apakah agenda konkrit PH yang kemas dan padu untuk mengatasi isu rasuah di Malaysia.
PH kena huraikan agendanya menentang rasuah di dalam Manifesto PH untuk menghadapi PRU-15.
Bariskan program menentang rasuah PH
Rakyat mahu tahu program PH menentang rasuah dari A sampai Z, bukan janji palsu atau retorik. Apa cadangan PH untuk tangani masalah rasuah yang kini sedang memusnahkan ekonomi, sosial dan politik Malaysia. Apakah PH boleh sambut cabaran ini?
Jika PH mahu menang dalam PRU-15 maka matlamat menghapuskan rasuah perlu dijadikan isu utama di dalam manifesto PRU ke-15, di samping mengatasi masalah ekonomi dan masalah kos sara hidup rakyat.
PH perlu muncul dalam masa terdekat dengan keazaman dan kesungguhan politik untuk memerangi korupsi dan menumbangkan Umno-BN yang menjadi punca rasuah berleluasa di Malaysia sejak berdekad-dekad lamanya.
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang
No comments:
Post a Comment