Tuesday, September 11, 2018

Tarikh kemerdekaan ilham daripada ulama


Written By zabidi morad 

Oleh 

SETIAP kali menjelang hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos, hanya beberapa nama popular yang sering kedengaran. Nama-nama itu ialah Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman termasuk Kolonel H.S Lee. Mereka cukup dikenali lantaran bertanggungjawab menuntut kemerdekaan negara.

Namun ramai tidak menyedari kemerdekaan Malaysia saling berkait rapat dengan peranan ulama. Berdasarkan catatan sejarah, untuk mendapatkan tarikh ‘kebebasan’ itu, Tunku Abdul Rahman telah mendapatkan pandangan seorang ulama bernama Sheikh Abdullah Fahim Sheikh Ibrahim, datuk kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Siapakah Sheikh Abdullah Fahim? Beliau yang berdarah campuran Arab-Pattani dilahirkan di Kota Suci Mekah pada tahun 1869. Namun, ada pendapat mengatakan beliau dilahirkan di Kampung Kubur Panjang, Padang Terap, Kedah. Ayahnya, Sheikh Ibrahim Tahir adalah guru di Masjidil Haram. Sheikh Ibrahim telah berhijrah dari Pattani ke Kedah dan kemudian ke Seberang Perai sebelum ke Mekah ketika berlakunya Perang Pattani-Siam (1830-an).

Ramalan

Ketika Sheikh Abdullah Fahim di Mekah, beliau telah mempelajari pelbagai ilmu agama termasuk falak sebelum pulang Tanah Melayu pada tahun 1921. Mufti Pulau Pinang itu kemudian telah kembali ke tanah air atas semangatnya untuk memperjuangkan tanah air daripada terus ditakluk penjajah British.

Tokoh hebat itu juga dikatakan memiliki keistimewaan yang sangat mengagumkan iaitu bijak meramalkan sesuatu. Berdasarkan satu penulisan, kehebatan Sheikh Abdullah Fahim dalam ilmu falak telah membuatkan Tunku Abdul Rahman mengguna pakai dua buah fikirannya iaitu:

* Rombongan ke London digalakkan tidak menggunakan kapal terbang sebaliknya kapal laut. Rasionalnya, para delegasi mempunyai masa yang panjang dan cukup untuk mengadakan perbincangan lanjut.

* Tokoh agama itu juga telah menetapkan 31 Ogos 1957 sebagai hari paling sesuai diumumkan tarikh kemerdekaan negara.

Sheikh Abdullah Fahim pada asalnya telah mencadangkan dua tarikh iaitu pada 31 Ogos 1957 dan 31 Ogos 1962.

Mengapa 31 Ogos 1957 tarikh yang dipilih? Kata pendakwah tersohor itu, ia memandangkan segala usaha dan perjuangan penduduk sudah tiba di kemuncaknya. Beliau menyebut dalam bahasa Arab, am khir atana yang bermaksud tahun baik telah datang kepada kita iaitu pada hari Sabtu, 31 Ogos 1957.

Sheikh Abdullah Fahim turut berpesan, jika pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak dipersetujui British pada tarikh berkenaan, maka pada tahun-tahun berikutnya (sebelum tahun 1962), adalah tidak baik untuk orang Melayu mengisytiharkan kemerdekaan.

Apabila pemuda UMNO berhasrat mahu melakukan huru-hara jika British menghalang Tanah Melayu merdeka pada tarikh tersebut, beliau secara tegas telah melarang kumpulan itu berbuat demikian sebaliknya meminta mereka bersabar sehingga lima tahun lagi iaitu pada hari Jumaat, 31 Ogos 1962. Nasihat Sheikh Abdullah Fahim ditaati dan akhirnya, Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957.

Berdasarkan penyelidikan bertajuk Peranan Tokoh Islam Dalam Menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu, seorang guru dari Sekolah Agama Daeratul Ma’rif Al Wataniah, Kepala Batas, Pulau Pinang mendedahkan, Sheikh Abdullah Fahim telah menggunakan alat astrolabe bagi menghitung pergerakan cakerawala dan buruj-buruj bintang untuk mendapatkan tarikh sesuai negara bebas daripada penjajah.

Berdasarkan pengiraan ulama itu, pada malam kemerdekaan, empat buruj sedang berada di ufuk barat sejurus terbenam matahari pada pukul 7.19 malam, 30 Ogos 1957. Ia terdiri daripada Buruj Scorpius (kala jengking), Buruj Libra (dacing), Buruj Virgo (anak dara) dan Buruj Kapal Layar.

Terdapat juga dua buah planet yang sangat terang pada ketika itu iaitu musytari (kecerahan 100 peratus) dan Zuhrah dengan kecerahan 79 peratus berhampiran Buruj Kapal Layar. Bulan pula tepat berada di dalam buruj Libra.

Nasihat ulama

Sheikh Abdullah Fahim juga pernah memberitahu Tunku Abdul Rahman bahawa selepas lima tahun Tanah Melayu merdeka, negara akan bertukar nama. Barangkali benar atau secara kebetulan, ramalan berdasarkan ilmu firasat ulama itu, nama Tanah Melayu telah ditukar kepada Malaysia, lima tahun selepas merdeka.

Ketokohan Sheikh Abdullah Fahim tidak terhenti setakat di situ sahaja. Sebagai seorang yang sangat cintakan bangsanya, beliau mahu melihat perpaduan dalam kalangan orang Melayu tidak hanya dipupuk di Tanah Melayu sahaja malah meliputi Indonesia.

Beliau pernah melontarkan slogan berbunyi: ‘Hidup Melayu dan Malaya, Merdeka Indonesia dan Malaya sebagai saudara kembar.’ Meskipun, hasratnya tidak tercapai, sekurang-kurangnya kata-katanya telah menaikkan semangat mereka hidup sezaman dengannya.

Sesungguhnya, Sheikh Abdullah Fahim telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Pun demikian, segala idea dan nasihatnya sebagai pendakwah yang dihormati masih digunakan untuk menangani masalah yang dihadapi rakyat dan negara.

Sebagai ulama, segala kata-kata dan buah fikirannya diyakini bebas daripada sebarang kepentingan diri serta mendapat petunjuk dari Yang Maha Esa.

Diharap, para pemimpin zaman kini akan terus mengambil kira pandangan pendakwah agama dalam memimpin negara.

No comments:

Post a Comment