AHMAD LUTFI OTHMAN
Ahmad Lutfi OthmanTidak pasti bagaimana ia bermula, tetapi Muktamar Pas baru-baru ini mengesahkan hubungan intim parti berkenaan dengan Umno bukan rahsia lagi, apabila Presiden parti yag pernah menerajui kerajaan lebih enam dekad itu, Ahmad Zahid Hamidi bersama pimpinan tertingginya hadir memenuhi jemputan.
Sudah pasti bibitnya bukan baru mula bertunas dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis atau Seri Setia, malah ia diintai lebih awal lagi, mungkin sejak pasca pilihan raya umum 2008, yang merakamkan tsunami politik tidak terduga.
Segalanya menjadi lebih mudah dan agak teratur, apabila sebahagian daripada barisan kepimpinan tertinggi Pas, yang dipandu senarai “chai” gugur setandan pada 2015. Suara-suara kritis yang menolak sebarang usaha untuk mendekatkan Pas-Umno dapat diredakan.
Agenda Melayu- Islam
Agenda Melayu-Islam tiba-tiba sahaja menjadi popular dan dipersoalkan terutama apabila kerajaan Pakatan Rakyat diberi mandat di negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Perak dalam PRU12. Timbul rungutan dan keresahan dalam Pas, termasuk tentang survival politik Melayu.
Peluang untuk menggantikan regim Umno-BN terhampar luas, apatah lagi majoriti dua pertiga pemerintah di Parlimen dapat dinafikan, namun di saat-saat strategik itu jugalah kesepakatan sesama pembangkang mulai terongkai.
Selepas bertungkus-lumus begitu lama, meredah belantara rimba kesakitan dan keperitan sebagai oposisi yang dinafikan hak, juga melalui rantaian eksperimen politik yang mendebarkan, sayangnya apabila rakyat mempamerkan mood perubahan yang menjanjikan, pakatan pembangkang pula diancam sikap curiga-mencurigai. Nampak sikap saling percaya di antara tiga parti yang dipupuk dengan cermat dan hati-hati, diselinap syak wasangka.
Lebih menakjubkan, sewaktu Umno-BN dilanda kecamuk paling dahsyat, terburainya skandal kewangan super mega, perdana menteri (dan isteri) mengalami defisit kepercayaan terburuk, Pas sebagai parti pembangkang terkanan dan sarat pengalaman, mengambil pendekatan dan strategi siyasah yang dilihat mengelirukan.
Presiden Umno Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pimpinan kanan parti menerima jemputan Pas dalam muktamar Pas yang diadakan di Terengganu, baru-baru ini.
Pas kelihatan bertukar menjadi parti politik mesra Umno dan nampak cukup kritikal dan cerewet apabila berdepan rakan-rakan oposisi, khususnya DAP. Sahabat lama, PKR, pun tidak terlepas daripada kritikan sehingga ada percubaan secara rasmi untuk mengkaji semula hubungan baik sejak 1999 itu.
Bersikap kritis dan amalan tegur-menegur sesama komponen Pakatan Rakyat adalah lumrah, tetapi apabila mulai ditafsirkan Pas sebagai cenderung dengan Umno, maka kecurigaan dan syak wasangka itu hanya membawa padah.
Namun begitu kepimpinan tertinggi Pas secara konsisten menafikan mereka berhasrat membentuk kerjasama politik dengan Umno, sebaliknya menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah karut dan berniat jahat.
Bagi saya, Pas sendiri terbahagi dua. Memang ada yang condong untuk mengadakan persefahaman politik dengan Umno, tetapi takut mengemukakan cadangan itu secara terbuka.
Dibimbangi pemimpin lapis pertengahan dan khususnya penyokong akar umbi akan menolak, malah menentang. Apatah lagi sudah tersedia wadah alternatif, sebagai pilihan, yang juga berjenama Islam, iaitu Parti Amanah Negara.
Malah, semasa mengambil ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan DAP di muktamar Kuala Selangor 2015, usul Dewan Ulama itu diarahkan untuk diterima tanpa bahas. Mungkin dikhuatiri ia boleh mencetuskan kontroversi berpanjangan, atau boleh sahaja dibantah para perwakilan.
Apatah lagi menjelang PRU14, imej Najib Razak semakin memburuk dan membusuk dengan skandal 1MDB sehingga Dr Mahathir Mohamad dalam jelajahnya ke seluruh pelosok tanahair menggelarnya pencuri-penyangak-penyamun dan Perdana Menteri langsung tidak berupaya menyanggahnya. Rakyat terpengaruh dengan kempen agresif Pakatan Harapan apabila segala pendedahan mengenai kleptokrasi lebih RM50 ribu juta itu tidak dapat dijawab.
Blok ketiga tidak ke mana
Penubuhan blok ketiga, Gagasan Sejahtera, yang diterajui Pas pula tidak membawa sebarang makna kepada suatu gabungan yang berkesan untuk menggantikan BN. Pas dilihat seolah-olah bertanding secara solo.
Parti Ikatan, Berjasa, Parti Cinta Malaysia ibarat melukut di tepi gantang. Dan sasaran kempen Pas, jika dilihat ucapan presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang, bukan lagi menyerang Umno-BN, tetapi lebih kritikal terhadap personaliti Dr
Mahathir dan Pakatan Harapan.
Ramai penganalisis keliru apabila Pas nekad meletakkan begitu ramai calon di kerusi Parlimen, hampir 160 orang. Ketika itu, dijangkakan pertandingan tiga penjuru hanya menguntungjkan penyandang, Umno-BN. Pas dianggap pemecah undi pembangkang.
Tiga empat orang doktor pakar yang merawat saya juga meluahkan rasa kecewa dengan langkah Pas itu. Bagi mereka peluang terbaik untuk melihat kerajaan baharu tertegak menjadi semakin sukar.
Pas dan Ikatan bekerjasama untuk membentuk blok ketiga namun dilihat gagal menjadi gabungan yang berkesan dalam landskap politik semasa.
Saya sendiri, dalam buku nipis semasa kempen PRU14, Mengapa Mahathir?, mengupas hasrat Pas menjadi king maker, dan menyifatkan undi kepada parti berkenaan sebagai membazir kerana mensia-siakan peluang terbaik untuk menubuhkan kerajaan baharu. Saya menjangka, masih ramai penyokong Pas yang keliru dan kebengongan,
berada di persimpangan, antara ketaatan tanpa soal atau walak, dengan tekad membara untuk menjatuhkan regim usang.
Walaupun pemimpin Pas tampil menghuraikan, jika jumlah kerusi dimenangi Pas memungkinkannya menjadi penentu, maka mereka akan berunding dahulu dengan PH dan BN, kemudiannya menilai tawaran terbaik, namun hati kecil saya lebih percaya, Pas akan berlari untuk membentuk kerajaan dengan BN!
Saya secara peribadi lebih mengharapkan Pas dapat membuat ketetapan jelas sebelum hari penamaan calon, sama ada bersama BN atau PH, agar penyokong tradisinya tidak keliru. Lagipun undi rakyat bukanlah komoditi atau barang dagangan untuk dipertaruhkan bagi merebut kuasa. Tidak perlu menunggu keputusan PRU14 diumumkan.
Saya yakin — dan itulah juga menjadi kerisauan pemimpinnya — jika Pas memilih untuk bersama BN, ia akan kehilangan sebahagian besar sokongan pengikut tegarnya, terutama di Kedah, Terengganu dan Kelantan. Sikap politik penyokongnya di negeri berkenaan menolak keras sebarang muafakat dengan Umno.
Pas di wilayah tertentu itu sebenarnya berjaya mengekal atau menarik sokongan simpati pengundi yang menolak regim korup Umno-BN, apatah lagi dengan kes kleptokrasi paling besar di dunia.
Sebalik kemenangan di Kelantan,Terengganu
Kemenangan besarnya di Pantai Timur juga impak limpahan kesedaran merata di seluruh negara yang mahukan perubahan mendasar dalam pemerintahan dan pentadbiran negara.
Tambahan pula pengundi di Kelantan dan Terengganu kurang mengenali atau mempunyai tanggapan agak negatif terhadap parti-parti dalam PH. PKR sejak lama tidak berpengaruh di sana. DAP pula asing-pelik buat pengundi Melayu yang membentuk lebih 95 peratus pengundi.
AMANAH dilabel persepsi pengkhianat jamaah Islam dan alat DAP. Bersatu pula cukup muda, serta berdepan banyak sekatan birokrasi dan imej Dr Mahathir tidak banyak membantu, sebaliknya menimbulkan kecelaruan.
Serangan liar Pengerusi Bersatu itu di hari-hari akhir kempen terhadap tragedi Memali sehingga menyifatkan Ustaz Ibrahim Libya dan anak-anak muridnya sebagai “mati katak” membuatkan penyokong Pas yang mahu mengundi PH membatalkan hasrat mereka. Mahathir dilihat masih berperwatakan seperti era 1981-2003.
Di Pantai Timur, mereka juga beranggapan sokongan kepada PH hanya membazirkan undi kerana dikira tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan dan hanya menguntungkan BN. Justeru, demi mengalahkan Umno, tiada pilihan efektif selain mengundi Pas. Mengundi PH dikira memecahkan sokongan kepada lawan BN.
Maknanya, di kala Pas berjaya memastikan penyokongnya tetap setia, PH pula hanya dapat menarik sokongan pengundi BN. Justeru Pas kekal bertahan status quo dan mendapat kelebihan besar apabila peratusan undi BN merosot dengan teruk, manakala majoriti calon PH hilang deposit.
Rata-rata masyarakat Pantai Timur juga masih pada tahap pemahaman Islam yang konservatif, manakala AMANAH pula kurang mampu mengetengahkan pemimpim berwibawa di peringkat lokal.Wawasan Islam Rahmatan Lil Alamin dengan pendekatan progresif dan inklusifnya perlu diperjelaskan secara proaktif lagi.
Namun begitu saya yakin potensi parti Islam baharu ini cukup menyerlah terutama selepas diberi kepercayaan besar dalam pentadbiran kerajaan pusat dan sememangnya AMANAH dipilih menerajui PH Kelantan dan Terengganu pada PRU14.
Apabila ada pemerhati, malah sarjana politik, yang membayangkan, seandainya Pas dan BN bergabung atau membentuk persefahaman politik semasa menyertai PRU14, maka PH dapat dihalang daripada berkuasa, saya tidak bersetuju dengan tanggapan sebegitu.
Benar, bagi hampir 30 kerusi Parlimen yang dimenangi PH, jika dicampur undi Pas dan BN, maka ia melebihi jumlah undi calon yang bertanding atas logo PKR itu.
Bagaimanapun, siapa dapat memberi jaminan bahawa undi yang diperolehi Pas itu, tidak beralih kepada PH jika ada pengundi melihat ada kerjasama erat di antara Pas-BN?
Sentimen menolak Najib-BN begitu kuat di waktu itu. Mana-mana calon yang dikaitkan dengan regim korup itu, walaupun berpersonaliti baik, sudah pasti ditolak pencalonan, seperti Parlimen Batu, calon Bebasx yang mesra PH menang besar. Ada beberapa kerusi Dun di Pulau Pinang dan Johor, calon Pas hanya dipilih pengundi selepas calon PH tidak layak bertanding.
Justeru, saya kira kumpulan pemimpin Pas yang condong dan berminat kepada kerjasama dengan Umno pun khuatir sokongan kepada parti itu akan merosot teruk jika mereka berpakat.
Secara personal, saya pernah meletakkan syarat, boleh sahaja Pas memulakan rundingan dengan Umno, asalkan ketika itu ia bukan lagi dalam posisi menerajui kerajaan, serta tidak menanggung beban bagasi inkumben yang begitu buruk.
Jika Umno sudah hilang kuasa dan takhta dengan segala keistimewaan yang luar biasa, sudah hilang keangkuhannya, sudah hilang ego dan kesombongan, maka berundinglah atas padang yang sama rata, di kala tiada kelebihan ketara yang memisahkan Pas dan Umno.
Sekarang Umno tiada lagi di posisi tinggi itu. Gabungan yang diterajuinya, BN, lingkup terbarai. Ahli-ahli Parlimen Umno bersusun mahu mencari pintu keluar, melompat parti.Ia hanya tinggal negeri Perlis dan Pahang.
Apakah kini, selepas Umno menggelongsor dari tangga Putrajaya, maka saya boleh bersetuju jika Pas mahu membentuk apa-apa permuafakatan politik dengan Umno?
No comments:
Post a Comment