Tuesday, August 28, 2018

NAZRI - UMNO KALAH KERANA.........



Perbalahan dalaman Umno memainkan peranan lebih besar menyebabkan kemusnahan parti Melayu itu pada PRU14 berbanding kemarahan pengundi berhubung isu nasional seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Ahli Majlis Tertinggi Nazri Aziz.

Analisisnya itu bertentangan dengan sebab diberikan sejumlah pakar penganalisis politik dan ahli politik Umno berhubung kejatuhan kerusi milik Umno daripada 88 pada PRU13 kepada 54 pada 2018.

Mereka membuat kesimpulan bahawa pengundi tidak mengundi Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana pelaksanaan GST dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 “Kami tidak tahu apa sebab sebenar. Kita perlu tunggu kajian empirikal disiapkan. Tetapi saya percaya Umno kalah di kawasan di mana ada berlakunya perbalahan dalaman,” kata Nazri kepada The Malaysian Insight. 

Katanya, pergaduhan itu menyebabkan ahli dan penyokong juga menentang parti.

Nazri berkata hujahnya itu berdasarkan kepada fakta bahawa Umno menang di kawasan di mana bahagiannya bersatu seperti Bagan Datoh, Pasir Salak, Parit, Lenggong dan Padang Rengas di Perak. 

Ini adalah kawasan di mana Umno menang kerusi Parlimen dan kekal atau menawan kerusi DUN yang pernah tewas sebelum ini. Mereka juga mempunyai bahagian yang stabil, kata Nazri.

“Saya tidak jangka Umno akan kalah sebegitu teruk tetapi salah salahkan perbalahan dalaman kerana bagaimana anda hendak jelaskan mereka kalah dan saya menang? Saya sepatutnya kalah. Tetapi saya percaya saya menang kerana bahagian saya bersatu,” katanya.

Kekalahan turut direkodkan di beberapa bahagian di mana berlaku pergaduhan antara orang kuat Umno dan jentera pilihan raya BN seperti di Tanjung Malim dan Larut di Perak, dan Muar dan Pagoh di Johor.

Nazri berkata contoh paling jelas ialah di Terengganu di mana menjadi rahsia terbuka yang calon pilihan menteri besar gagal membawa keyakinan dalam kalangan ahli parti dan penyokong sendiri.

Umno kalah tujuh daripada 17 kerusi DUN di Terengganu, menyebabkan negeri pantai timur yang kaya minyak itu jatuh kepada PAS.

Dalam kekalahan paling bersejarah itu, Umno tersingkir daripada kerajaan persekutuan buat julung kalinya sejak kemerdekaan. Bersama sekutunya BN, ia menang 79 kerusi Parlimen, jauh daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Pada PRU13, BN menang 133 kerusi. Umno hanya kekal di 54 kerusi Parlimen berbanding 88 yang dimenanginya pada PRU13.

Dalam analisis awal pada 4 Jun, badan kaji Merdeka Center memberikan enam faktor yang membawa kepada keputusan PRU14, di mana salah satunya ialah isu nasional yang menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap BN.

Nazri mempunyai pendapat berbeza.

Beliau berkata: “Jika anda kata ia isu nasional, ia sepatutnya menjejaskan semua kerusi. Ia lebih kepada perbalahan dalaman, perpecahan itu.

“Jika mereka kata GST? Orang kampung tidak terjejas. Kedai runcit di kampung tidak ada pulangan tahunan RM500,000. Mereka tidak ada GST.

“Jadi ia bukan isu nasional. Tetapi ini juga masih tertakluk kepada analisis,” kata Nazri.

Sumber : MI

No comments:

Post a Comment