will him our next prime minister?
Dalam satu perkembangan terbaru, Anwar Ibrahim meminta agar jangan dibangkitkan lagi cerita-cerita mengenai wujudnya konspirasi untuk menghalang beliau daripada menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir Mohamad.
Anwar berkata demikian sebagai mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid yang baru-baru ini memohon maaf kepada Tun Mahathir berhubung dakwaan yang pernah dibuatnya mengenai konspirasi itu.
Sejujurnya isu mengenai Perdana Menteri ke-8 dan kedudukan Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir tidak sepatutnya timbul sama sekali. Tidak ada isu sebenarnya mengenai perkara itu kerana Anwar sudah pun dipersetujui secara muktamad untuk mengambil alih jawatan tersebut daripada Tun Mahathir.
Ia bukan saja dipersetujui antara Tun Mahathir dengan Anwar, malah juga antara PKR, DAP, Amanah dan juga Bersatu yang menganggotai Pakatan Harapan.
Siapakah yang mampu membatalkan persetujuan tersebut?
Dalam waktu yang sama, Tun Mahathir sendiri menunjukkan keikhlasan yang tinggi terhadap Anwar sebagai bakal penggantinya. Beliau bukan saja menyegerakan permohonan untuk pembebasan serta pengampuan bagi Anwar sebaik mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, bahkan dalam proses pembentukan kabinet selepas kemenangan dalam pilihanraya umum lalu juga beliau turut beberapa kali mengadakan perbincangan dengan dengan Presiden PKR itu.
Memang dulu ketika dalam UMNO, Tun Mahathir pernah bertelingkah dengan Anwar, tetapi semua itu adalah sejarah lama yang tidak perlu diungkit lagi.
Kedua-dua mereka bukan saja sudah berdamai, bahkan telah mencipta sejarah baru yang mencatatkan kemenangan bersejarah buat Pakatan Harapan.
Tanpa Tun Mahathir, Pakatan Harapan tidak mungkin mampu mencapai kejayaan menumbangkan BN, tetapi tanpa kesediaan Anwar untuk memaafkan dan berdamai dengan Tun Mahathir, Pakatan Harapan juga tidak mungkin berupaya mencipta kejayaan bersejarah itu.
Makna kata, Tun Mahathir dan Anwar ada peranan dan sumbangan yang melekat di hati sanubari seluruh rakyat Malaysia dalam membebaskan negara ini yang pastinya keadaan akan terus bertambah buruk jika BN tidak berjaya ditumbangkan.
Lebih daripada, dalam kabinet juga ada isteri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan orang kanan kepada Tun Mahathir.
Di luar kabinet pula, ada Majlis Presiden Pakatan Harapan yang mana selain ketua-ketua parti dalam gabungan itu menjadi anggotanya, Anwar sendiri turut dilantik sebagai Ketua Umumnya.
Sebaik selesai proses pemilihan PKR nanti di mana Anwar akan disahkan sebagai Presiden PKR, tidak mustahil kedudukan Anwar juga akan diubah menjadi Presiden Pakatan Harapan untuk mengambil alih tempat Dr. Wan Azizah.
Berdasarkan semua itu dan bagaimana Tun Mahathir sebenarnya cukup ikhlas untuk meletakkan Anwar sebagai pengantinya, tidak ada sesiapa, walau sebesar hama sekali pun, patut membenarkan terselitnya perasaan curiga mengenai proses pengggantian itu.
Lagi pula, dalam usia 93 tahun dan sudah dua kali merasa menjadi Perdana Menteri serta tiada apa-apa lagi yang dimahu dikejarnya, Tun Mahathir pasti akan dikenang sepanjang zaman jika beliau berjaya melakukan proses peralihan kuasa kepada Anwar dengan aman dan tenteram pada kali ini.
Anwar, dengan izin Tuhan, pasti akan menjadi Perdana Menteri akhirnya.
Persoalannya cuma cepat atau lambat saja. Dalam hal ini, Anwar bukan saja harus bertoleransi kepada Tun Mahathir yang perlu menyelesaikan banyak perkara terlebih dahulu dan meletakkan negara dalam keadaan stabil sebelum penyerahan kuasa, bahkan beliau juga mesti bertimbang rasa kepada isterinya, Dr. Wan Azizah.
Dr. Wan Azizah selama ini sanggup berkorban selama 20 dalam menghidupkan obor perjuangan Anwar bersama PKR dengan ketabahan serta kesabaran yang tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan kebanyakan isteri-isteri pemimpin yang lain.
Apabila Anwar mahu cepat jadi Perdana Menteri, beliau juga sebenarnya seperti menyuruh isterinya berhenti bersekali dengan Tun Mahathir. Sama ada Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu atau terus mengambil alih jawatan Perdana Menteri, dalam kedua-dua keadaan itu, Dr. Wan Azizah mesti meletakkan jawatannya sekali.
Untuk itu, sebagai lelaki budiman, Anwar haruslah tidak terlalu tergesa-gesa dalam membersarakan isterinya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Biarlah sekurang-kurangnya dua tahun atau sehingga tiga tahun di mana jika bersara pun ketika itu, Dr. Wan Azizah sudah layak menikmati pencen atas perkhidmatannya dalam kerajaan sebelum bertukar karier menjadi suri rumah dan pengiring kepada Anwar.
Pokok persoalannya, tempat untuk Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 memang sudah terjamin, cuma beliau mesti banyak bersabar dan sedikit bertimbangrasa saja.
Ada masalahkah untuk berbuat demikian, Pak Sheikh? (ShahbudinHusin 24/08/2018)
No comments:
Post a Comment