Tuesday, August 28, 2018

NAZRI - UMNO KALAH KERANA.........



Perbalahan dalaman Umno memainkan peranan lebih besar menyebabkan kemusnahan parti Melayu itu pada PRU14 berbanding kemarahan pengundi berhubung isu nasional seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Ahli Majlis Tertinggi Nazri Aziz.

Analisisnya itu bertentangan dengan sebab diberikan sejumlah pakar penganalisis politik dan ahli politik Umno berhubung kejatuhan kerusi milik Umno daripada 88 pada PRU13 kepada 54 pada 2018.

Mereka membuat kesimpulan bahawa pengundi tidak mengundi Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana pelaksanaan GST dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 “Kami tidak tahu apa sebab sebenar. Kita perlu tunggu kajian empirikal disiapkan. Tetapi saya percaya Umno kalah di kawasan di mana ada berlakunya perbalahan dalaman,” kata Nazri kepada The Malaysian Insight. 

Katanya, pergaduhan itu menyebabkan ahli dan penyokong juga menentang parti.

Nazri berkata hujahnya itu berdasarkan kepada fakta bahawa Umno menang di kawasan di mana bahagiannya bersatu seperti Bagan Datoh, Pasir Salak, Parit, Lenggong dan Padang Rengas di Perak. 

Ini adalah kawasan di mana Umno menang kerusi Parlimen dan kekal atau menawan kerusi DUN yang pernah tewas sebelum ini. Mereka juga mempunyai bahagian yang stabil, kata Nazri.

“Saya tidak jangka Umno akan kalah sebegitu teruk tetapi salah salahkan perbalahan dalaman kerana bagaimana anda hendak jelaskan mereka kalah dan saya menang? Saya sepatutnya kalah. Tetapi saya percaya saya menang kerana bahagian saya bersatu,” katanya.

Kekalahan turut direkodkan di beberapa bahagian di mana berlaku pergaduhan antara orang kuat Umno dan jentera pilihan raya BN seperti di Tanjung Malim dan Larut di Perak, dan Muar dan Pagoh di Johor.

Nazri berkata contoh paling jelas ialah di Terengganu di mana menjadi rahsia terbuka yang calon pilihan menteri besar gagal membawa keyakinan dalam kalangan ahli parti dan penyokong sendiri.

Umno kalah tujuh daripada 17 kerusi DUN di Terengganu, menyebabkan negeri pantai timur yang kaya minyak itu jatuh kepada PAS.

Dalam kekalahan paling bersejarah itu, Umno tersingkir daripada kerajaan persekutuan buat julung kalinya sejak kemerdekaan. Bersama sekutunya BN, ia menang 79 kerusi Parlimen, jauh daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Pada PRU13, BN menang 133 kerusi. Umno hanya kekal di 54 kerusi Parlimen berbanding 88 yang dimenanginya pada PRU13.

Dalam analisis awal pada 4 Jun, badan kaji Merdeka Center memberikan enam faktor yang membawa kepada keputusan PRU14, di mana salah satunya ialah isu nasional yang menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap BN.

Nazri mempunyai pendapat berbeza.

Beliau berkata: “Jika anda kata ia isu nasional, ia sepatutnya menjejaskan semua kerusi. Ia lebih kepada perbalahan dalaman, perpecahan itu.

“Jika mereka kata GST? Orang kampung tidak terjejas. Kedai runcit di kampung tidak ada pulangan tahunan RM500,000. Mereka tidak ada GST.

“Jadi ia bukan isu nasional. Tetapi ini juga masih tertakluk kepada analisis,” kata Nazri.

Sumber : MI

BENARKAH NEXT PM WILL BE ANWAR?



will him our next prime minister?


Dalam satu perkembangan terbaru, Anwar Ibrahim meminta agar jangan dibangkitkan lagi cerita-cerita mengenai wujudnya konspirasi untuk menghalang beliau daripada menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir Mohamad.


Anwar berkata demikian sebagai mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid yang baru-baru ini memohon maaf kepada Tun Mahathir berhubung dakwaan yang pernah dibuatnya mengenai konspirasi itu.

Sejujurnya isu mengenai Perdana Menteri ke-8 dan kedudukan Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir tidak sepatutnya timbul sama sekali. Tidak ada isu sebenarnya mengenai perkara itu kerana Anwar sudah pun dipersetujui secara muktamad untuk mengambil alih jawatan tersebut daripada Tun Mahathir.

Ia bukan saja dipersetujui antara Tun Mahathir dengan Anwar, malah juga antara PKR, DAP, Amanah dan juga Bersatu yang menganggotai Pakatan Harapan.

Siapakah yang mampu membatalkan persetujuan tersebut?

Dalam waktu yang sama, Tun Mahathir sendiri menunjukkan keikhlasan yang tinggi terhadap Anwar sebagai bakal penggantinya. Beliau bukan saja menyegerakan permohonan untuk pembebasan serta pengampuan bagi Anwar sebaik mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, bahkan dalam proses pembentukan kabinet selepas kemenangan dalam pilihanraya umum lalu juga beliau turut beberapa kali mengadakan perbincangan dengan dengan Presiden PKR itu.






























Memang dulu ketika dalam UMNO, Tun Mahathir pernah bertelingkah dengan Anwar, tetapi semua itu adalah sejarah lama yang tidak perlu diungkit lagi.

Kedua-dua mereka bukan saja sudah berdamai, bahkan telah mencipta sejarah baru yang mencatatkan kemenangan bersejarah buat Pakatan Harapan.

Tanpa Tun Mahathir, Pakatan Harapan tidak mungkin mampu mencapai kejayaan menumbangkan BN, tetapi tanpa kesediaan Anwar untuk memaafkan dan berdamai dengan Tun Mahathir, Pakatan Harapan juga tidak mungkin berupaya mencipta kejayaan bersejarah itu.


Makna kata, Tun Mahathir dan Anwar ada peranan  dan sumbangan yang melekat di hati sanubari seluruh rakyat Malaysia dalam membebaskan negara ini yang pastinya keadaan akan terus bertambah buruk jika BN tidak berjaya ditumbangkan.

Lebih daripada, dalam kabinet juga ada isteri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan orang kanan kepada Tun Mahathir.

Di luar kabinet pula, ada Majlis Presiden Pakatan Harapan yang mana selain ketua-ketua parti dalam gabungan itu menjadi anggotanya, Anwar sendiri turut dilantik sebagai Ketua Umumnya.


Sebaik selesai proses pemilihan PKR nanti di mana Anwar akan disahkan sebagai Presiden PKR, tidak mustahil kedudukan Anwar juga akan diubah menjadi Presiden Pakatan Harapan untuk mengambil alih tempat Dr. Wan Azizah.

Berdasarkan semua itu dan bagaimana Tun Mahathir sebenarnya cukup ikhlas untuk meletakkan Anwar sebagai pengantinya, tidak ada sesiapa, walau sebesar hama sekali pun, patut membenarkan terselitnya perasaan curiga mengenai proses pengggantian itu.

Lagi pula, dalam usia 93 tahun dan sudah dua kali merasa menjadi Perdana Menteri serta tiada apa-apa lagi yang dimahu dikejarnya, Tun Mahathir pasti akan dikenang sepanjang zaman jika beliau berjaya melakukan proses peralihan kuasa kepada Anwar dengan aman dan tenteram pada kali ini.

Anwar, dengan izin Tuhan, pasti akan menjadi Perdana Menteri akhirnya.

Persoalannya cuma cepat atau lambat saja. Dalam hal ini, Anwar bukan saja harus bertoleransi kepada Tun Mahathir yang perlu menyelesaikan banyak perkara terlebih dahulu dan meletakkan negara dalam keadaan stabil sebelum penyerahan kuasa, bahkan beliau juga mesti bertimbang rasa kepada isterinya, Dr. Wan Azizah.

Dr. Wan Azizah selama ini sanggup berkorban selama 20 dalam menghidupkan obor perjuangan Anwar bersama PKR dengan ketabahan serta kesabaran yang tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan kebanyakan isteri-isteri pemimpin yang lain.

Apabila Anwar mahu cepat jadi Perdana Menteri, beliau juga sebenarnya seperti menyuruh isterinya berhenti bersekali dengan Tun Mahathir. Sama ada Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu atau terus mengambil alih jawatan Perdana Menteri, dalam kedua-dua keadaan itu, Dr. Wan Azizah mesti meletakkan jawatannya sekali.

Untuk itu, sebagai lelaki budiman, Anwar haruslah tidak terlalu tergesa-gesa dalam membersarakan isterinya sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Biarlah sekurang-kurangnya dua tahun atau sehingga tiga tahun di mana jika bersara pun ketika itu, Dr. Wan Azizah sudah layak menikmati pencen atas perkhidmatannya dalam kerajaan sebelum bertukar karier menjadi suri rumah dan pengiring kepada Anwar.

Pokok persoalannya, tempat untuk Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 memang sudah terjamin, cuma beliau mesti banyak bersabar dan sedikit bertimbangrasa saja.

Ada masalahkah untuk berbuat demikian, Pak Sheikh? (ShahbudinHusin 24/08/2018)

GST - INI JAWAPAN NAJIB


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya menjawab tiga soalan yang dikirimkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sejak minggu lalu.

Najib dalam satu kenyataan di Facebooknya pagi ini berkata jawapannya ialah 'tiada' bagi ketiga-tiga soalan tersebut.


"Untuk ketiga-tiga soalan yang ditujukan kepada saya oleh Guan Eng mengenai isu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) baru-baru ini, jawapan saya ialah 'tiada, tiada dan tiada'," katanya.

Selasa lalu, Guan Eng mengulang tiga soalan kepada Najib dalam kenyataan media yang pernah ditanyakan minggu lalu.

Dalam pada itu, menurut Najib, Guan Eng bertindak bijak apabila tidak membuat laporan polis sendiri berhubung dakwaan BN telah merompak wang GST.

"Saya dimaklumkan bahawa Guan Eng telah diminta memberi kenyataan kepada pihak polis berdasarkan laporan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

"Guan Eng tidak membuat laporan polis sendiri terhadap dakwaannya kononnya BN telah "merompak" wang GST sebanya RM18 bilion semasa sesi Parlimen yang memberikannya imuniti.

"Ini adalah langkah bijak oleh Guan Eng kerana membuat laporan polis yang palsu adalah salah di sisi undang-undang," katanya.

Sebelum ini, persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila Guan Eng mendakwa BN merompak RM18 bilion daripada tabung bayaran balik cukai input GST.

Najib juga mempertikaikan dakwaan Guan Eng bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pecah amanah kerana tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion dari zaman silam sehingga 31 Mei 2018.

"Kerajaan mengutip cukai pendapatan sebanyak RM130 bilion setiap tahun. Jika 10 tahun, ia berjumlah RM1.3 trillion. Jika benar RM16 bilion belum dibayar balik ia hanya 1 peratus dari kutipan bagi tempoh 10 tahun.

"Ada banyak sebab mengapa LHDN tidak dapat membayar balik termasuk faktor pekerja ataupun syarikat asing yang tidak lagi berada atau beroperasi di negara ini, syarikat yang sudah tutup ataupun orang yang tidak dapat dikesan.

"Malah, kegunaan 'set-off' (tolak-selesai) untuk kredit cukai bukan sesuatu yang luar biasa dan sering digunakan dalam negara ini dan diluar negara," katanya.

Bekas Presiden Umno itu turut menyatakan tiada keperluan sebenarnya melayan dakwaan bermotifkan politik mahupun berdepan dengan orang yang mungkin tidak tahu polisi atau cara wang tunai kerajaan diuruskan.

"Namun, saya percaya rakyat perlu tahu dan diberi kefahaman apakah sebenarnya yang berlaku berlandaskan fakta.

"Lebih baik kerajaan PH menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk kedua-dua isu GST dan cukai lebih bayar dengan serta-merta kerana melibatkan wang kerajaan sebanyak RM35 bilion bagi mencari kebenaran.

"Ini bagi memastikan adakah kerajaan BN, Kastam dan LHDN telah melakukan pecah amanah ataupun kerajaan PH hanya meneruskan permainan politik mereka," katanya.
-sinarharian

RAZIATUL HANUM A.RAJAK

AGAMAWAN JUGA KE NERAKA ???





Kita sering merasakan agamawan adalah orang yang sangat mudah masuk ke syurga. Dalam hadis nabi juga ada menyebut bahawa ulama adalah pewaris nabi yang sering di sebut oleh ramai orang. Adakah tidak kita terfikir akan ada ulama yang bukan pewaris nabi? Ulama yang tiada akhlaknya? Orang yang alim tapi tiada tawadhu?
Imam Al-Muhasibi (meninggal dua pada 234H) ada menyebut pada zamannya ada golongan agamawan yang gilakan dunia.  Ada juga agamawan yang hanya mencari kehormatan diri. Malah ada juga golongan agamawan yang telah hilang sifat wara dan taqwa. Ini menunjukkan bahawa sejak zaman dulu lagi memang wujud agamawan yang bukan pewaris nabi.
Kita tidak pernah membenci agamawan.  Tapi kita membenci agamawan yang tiada akhlaknya. Adakah agamawan tidak pernah dengar tentang hadis supaya menjaga tutur kata mereka?
Daripada Abu Hurairah, bahawasanya dia mendengar Nabi (SAW) bersabda, “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dia fikir, sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam Neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, hadis no. 6477)
Hari ini terdapat agamawan bahkan golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘daie’ sering kali menghukum manusia yang lain seolah-olah dirinya lebih mulia dah sudah pasti masuk ke syurga.
Ada satu kisah  menarik dari satu hadis Nabi. Pada zaman Bani Israel dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah itu melihat temannya berbuat dosa, ia meminta rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya itu.
Suatu hari, ketika rakannya itu sedang melakukan suatu dosa, ahli ibadah itu berkata “Berhentilah daripada membuat dosa.” Rakannya itu menjawab “Jangan pedulikan aku, terserah Allah untuk menilai perbuatan ku. Adakah engkau diutuskan oleh Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?”
Ahli ibadah itu menjawab “Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh Nya dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.”
Setelah kedua-duanya meninggal dunia, Allah s.w.t telah menghakimi kedua-duanya dihadapanNya. Allah menyoal lelaki ibadah itu ” Adakah kamu lebih mengetahui daripada Ku? atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaan Ku?”
Kemudian kepada ahli maksiat itu Allah s.w.t berkata “Masuklah kamu kedalam syurga berkat rahmat Ku”. Sementara kepada ahli ibadah itu “masuklah orang ini kedalam Neraka.” (Riwayat Abi Daud)
Adakah golongan agamawan yang suka menghukum ini tidak pernah dengar akan hadis ini?
Setiap hari agamawan perlu untuk memperbaharui niat mereka untuk mengajar tentang keindahan agama ini.  Mengajar agama ini untuk Tuhan, bukan untuk kemasyhuran.
Nabi ada menyebut, “Berikutnya orang (yang diadili) adalah seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al-Quran. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengakuinya. Kemudian Allah menanyakannya: ‘Amal apakah yang telah engkau lakukan dengan kenikmatan-kenikmatan itu?’ Ia menjawab: ‘Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya, serta aku membaca Al-Quran hanyalah karena engkau.’ Allah berkata : ‘Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang ‘alim (yang berilmu) dan engkau membaca Al-Quran supaya dikatakan (sebagai) seorang qari’ (pembaca AlQuran yang baik). Memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’
Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka” (Riwayat Muslim, hadis no. 1905)

Ada juga agamawan yang lupa bahawa nabi berkata; dari Anas bin Malik r.a:

Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku maka hendaknya dia mengambil tempat duduknya di neraka.”(H.R. Bukhari dan Muslim).  
Berapa ramai agamawan yang tanpa berhati-hatj mengambil hadis palsu ini dalam ceramah-ceramah mereka? Sedar tak sedar, neraka sedang menanti mereka.
Agamawan ini beruntung kerana mereka ini lahir dalam keluarga yang baik, membesar dalam golongan yang baik dan beragama. Tapi apabila jumpa dengan yang bukan-muslim, terus pantas menerakakan mereka. Sedangkan tidak pernah ada rasa kesedaran untuk berdakwah kepada mereka.
Agamawan yang jahat ini apabila berjumpa dengan orang yang bermasalah, terus melabel mereka itu munafik, masuk neraka dan sebagainya sedangkan mereka ini ada yang lahir dalam keluarga yang bermasalah, mak ayah bercerai, salahguna dadah dan pelbagai latar belakang yang tidak menyebelahi mereka.  Hanya kerana agamawan ini lahir dalam keluarga yang baik, mereka rasa mereka itu lebih mulia.
Kita tidak membenci agamawan yang baik.  Tapi bagaimana kita ingin mencintai agamawan yang setiap kata-katanya penuh cacian dan makian? Bagaimana aku ingin mencitai agamawan yang kata-katanya buat pendosa lari dari agama?
Agamawan perlu bertanggungjawab apabila pendosa dan non muslim menjauhkan diri daripada agama kerana sikap-sikap agamawan. Kita tidak pernah menafikan jasa agamawan yang baik pada ummat islam hari ini. Tapi kita perlu ingat, agamawan ini bukan nabi untuk menjadikan mereka maksum.
Jika agama ini bukan untuk pendosa , maka untuk siapa lagi? 

Forest City Mangsa Terbaru 'U-Turn' Pakatan Harapan ??



Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji akan menghalang orang asing daripada membeli hartanah projek Forest City di Johor. Beliau berkata, baca di sini
Satu hal yang pasti, bandar yang sedang dibina itu tidak akan dijual kepada orang asing. Kami tidak akan memberikan visa untuk orang datang dan tinggal di sana
Bantahan kami kerana ia dibina untuk orang asing dan bukan rakyat Malaysia. Kebanyakan warga Malaysia tidak mampu membeli hartanah berkenaan.
Cuba kita fikirkan:

1. Warga asing tidak dibenarkan beli hartanah tersebut. 

2. Warga asing yang beli hartanah tersebut tidak akan diberikan visa.

Persoalannya, kalau sudah tidak boleh beli hartanah tersebut, bagaimana pula timbul isu pembeli tidak akan diberikan visa?

Hari ini pula, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (gelaran sudah diharamkan oleh KKMM untuk disebut) pula berkata, Kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memperhalusi syarat-syarat pembelian unit kediaman Forest City, Johor sebelum membenarkan rakyat asing membeli hartanah yang membabitkan pelaburan sehingga AS$100 bilion. Baca di sini.

Persoalan yang kedua, cakap siapa kita nak dengar. Cakap Menteri atau Perdana Menteri?

Ketiga, CTS tidak menyokong atau membangkang keputusan Kerajaan Malaysia Baharu untuk tidak membenarkan pemilikan hartanah di Forest City Johor oleh warga asing, terutamanya dari Negara China.

Cumanya kita mengharapkan keputusan itu juga terpakai untuk hartanah di tanah tambakan laut Sri Tanjong Pinang 2 [760 +131 ekar] atau STP2 dan juga di Penang South Reclamation [4500 ekar] atau PSR oleh SRS Consortium di Pulau Pinang. 

No double standard please.


Husam, Razali antara Senator dilantik di Dewan Negara


Husam, Razali antara Senator dilantik di Dewan Negara hari ini
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Pengerusi Parti Priumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Terengganu Datuk Razali Idris akan bersama-sama beberapa senator baharu Pakatan Harapan dalam majlis angkat sumpah Anggota Dewan Negara hari ini, berdasarkan notis Parlimen.
Menurut notis pejabat media parlimen itu, Razali dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Pada PRU14 lalu, Razali bertanding di kerusi parlimen Hulu Terengganu dan tewas kepada calon Umno Datuk Rosol Wahid.
Manakala itu, Naib Presiden AMANAH Husam Musa pula akan mengangkat sumpah pada satu tarikh lain kelak. Difahamkan Husam sedang berada di Mekah bagi menunaikan ibadah haji.
Seramai 12 orang senator baharu akan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada hari ini, yang mana 11 orang merupakan wakil Pakatan Harapan (PH) dan seorang daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).
Termasuk Husam, anggota Dewan Negara bakal bertambah menjadi 68 senator dengan dua lagi kerusi masih kosong.
Walaupun dengan pelantikan ini, PH masih belum menguasai majoriti Dewan Negara. Sekarang, terdapat 32 senator yang mewakili BN dan tiga senator Pas daripada 55 senator di Dewan Negara.
mdl

Thursday, August 23, 2018

ECRL Batal : Keputusan Tepat Tun M?



(1Media Online) – Berita malang yang diterima ketika umat Islam berpuasa pada hari wukuf  9 Zulhijah bersamaan 20 Ogos 2018 untuk rakyat Malaysia terutamanya rakyat Melayu / Bumiputera di Pahang, Kelantan dan Terengganu, Pembatalan projek Laluan Keretapi Pantai Timur atau ECRL yang telah dibina hampir 20% dan dijangka akan siap pada 2024 tinggal angan- angan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah membuat perkiraan politik yang tepat apabila dengan berani dan bersahaja membatalkan projek ini, dalam pandangan politik beliau tidak rugi apa- apa dari segi sokongan, 3 negeri majoriti orang Melayu ini bukanlah negeri yang menyokong Pakatan Harapan (PH) terutama Kelantan dan Terengganu yang tidak ada satu pun kerusi Dun atau Parlimen yang dimenangi oleh PH dan Pahang pula negeri dikuasai oleh BN, maka buatlah rusuhan dan marah macam mana sekalipun oleh rakyat 3 negeri ini ia tidak langsung menjejaskan kuasa kerajaan pusat PH. Jika diteruskan projek ECRL ini kerajaan pusat PH hanya dilihat kurang cerdik bukan sahaja membazirkan perbelanjaan tetapi memberi kelebihan kepada imej kerajaan lalu dan akan dilihat memperakui jasa BN. lebih baik jika belanjawan tersebut diberi kepada kawasan – kawasan yang dimenangi oleh PH. Kelantan juga Terengganu telah merasai episod penderaan yang lama kerana tidak memihak kepada Persekutuan.
Dari segi ekonomi pula ECRL didakwa tidak memberi pulangan yang setimpal kepada negara, Jika ini diambil kira bolehlah kita perkirakan juga landasan Keretapi Tanah Melayu atau KTM yang menghubungkan Kota Bharu- Gemas- Kuala Lumpur juga tidak memberi manfaat kepada ekonomi dan perlu dihentikan, Keretapi yang dibina pada zaman British tersebut bolehlah diibaratkan tidak memberi kebaikan kepada ekonomi Tanah Melayu waktu itu, dan British membuat satu projek yang bodoh serta sia- sia, terlebih bodoh lagi KTM itu turut memberi peluang kepada rakyat di pedalaman sebagai pengangkutan awam. Pemikiran bagaimanakah Tun Dr Mahathir ini, tidak adakah di sudut benak fikirannya suatu projek untuk kemudahan rakyat, kemudahan yang kadangkala tidak terlalu melihat kepada keuntungan negara semata tetapi lihatlah kepada keperluan rakyat, pemimpin yang bertanggungjawab dan menjiwai kesusuhan rakyat akan rela berhabisan sumber negara, membuat pinjaman yang besar dari luar semata- mata untuk menyenang kehidupan dan membanggakan rakyat luar bandar, bukan seperti Perdana Menteri ke 4 yang setiap projeknya memikirkan keuntungan kepada negara dan kroni negara seperti lebuhraya yang hendak dibina mesti bertol, Projek mega negara mesti diusahakan melalui pihak ketiga, penswastaan terpilih GLC juga perlu berjaya biarpun sebenarnya menyusutkan perolehan. Apa gunanya menjadi rakyat negara kaya jika seumpama mendapat ayah yang kukuh ekonomi tetapi anak terbiar tidak cukup makan.
Kata Tiong Lai yang merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia, termasuk menteri-menteri Kabinet lain yang mengiringi Najib dalam lawatan empat hari ke China "Projek kereta api ini akan membawa kepada banyak pembangunan ekonomi ke Pantai Timur (semenanjung). 
Ia boleh mencungkil banyak potensi," China juga telah berjanji untuk memindahkan teknologi kereta api ke Malaysia, dan ini akan membantu Malaysia dalam membangunkan sistem rel, satu cara yang memberikan manfaat kepada pengangkutan awam. "Akan ada banyak aktiviti ekonomi … Malah, kita kini menikmati hasil hubungan erat dua hala yang dibina oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak." "Kita adalah sebuah negara yang kecil tetapi China memberikan kita banyak bantuan dan sokongan. Ini adalah baik untuk rakyat Malaysia. "Lawatan ini akan menyaksikan banyak 'kali pertama' antara Malaysia dan China. Kami akan menandatangani 16 MoU G2G dan lebih daripada 15 Mou perniagaan-ke-perniagaan."
Keputusan pembatalan ECRL oleh Kerajaan Malaysia Baru digembar gemburkan dengan alasan antaranya
1. Kos Terlalu Tinggi
Pihak yang menyatakan kos terlalu tinggi adalah kerajaan baru PH bukannya kerajaan lama BN. Kalaupun benar kos terlalu tinggi mengapa kerajaan lama BN mampu untuk melaksanakanya dengan mendakwa kos keseluruhannya adalah RM55 billion. tetapi Kerajaan PH mendakwa kos adalah RM81 Billion, kerajaan mana yang terlalu mahal ? Katakanlah kos pebinaan adalah seperti diumum oleh kerajaan baru tetapi mengapa perlu dibatalkan projek rakyat ini dan sanggup membayar pampasan RM20 Billion kepada China untuk benda yang sikit pun tidak ada hasil. Tetapi Tun Mahathir tidak teragak- agak telah mengistihar RM30Billion untuk Projek Bandar Baru di Parlimennya Langkawi, bolehkah dikatakan bahawa sudah RM50 billion bajet ECRL telah dirompak
2. Wang Dibayar Tanpa Mengambil kira kemajuan Projek
Ini satu lagi situasi yang pelik, Sudah dinyatakan dengan jelas bahawa projek akan selesai pada 2024, maka pembayaran secara harian, pembayaran ikut kemajuan projek atau berkala masih tetap dalam bajet asal RM55 Billion dan ia sudah dimaklumkan juga di Parlimen. Untuk bayaran, sebenarnya Kerajaan belum keluarkan belanja dan ia sebagaimana kebiasaan projek- projek yang dilaksanakan bersama pihak bank sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan pada waktu itu  "Setakat yang saya tahu, ini adalah tawaran terbesar tunggal yang Malaysia akan tandatangani dengan China," kata Tiong Lai, yang telah bekerja keras untuk mendapatkan pelaburan dari China bagi pelabuhan, penerbangan dan kereta api sejak beliau mengambil alih portfolio pengangkutan pada Jun 2014. Dalam syarat-syarat pinjaman mudah yang akan diberikan oleh EXIM Bank China, Tiong Lai berkata kadarnya sangat kompetitif dan pembayaran balik adalah lebih 20 tahun. "Dan dalam tempoh tujuh tahun pertama Malaysia tidak perlu membayar apa-apa, faedah dan pembayaran balik".
3. Bahan dan pekerja adalah dari China Rakyat Malaysia tidak mendapat manfaat
Matlamat asal pembinaan ECRL adalah untuk kemudahan perniagaan, perhubungan juga pengangkutan kepada rakyat setelah siap pembinaanya pada 2024, itulah tujuan utama, disebabkan itu ia perlu kepada jangka masa siap yang pantas untuk dinikmati dan bukannya tertumpu kepada fasa pembinaan. Sekiranya fasa pembinaan diambil kira juga, dakwaan tersebuat amat tidak benar sama sekali kerana laporan pada 5 April 2018 menyatakan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyasarkan pengambilan 70% pekerja tempatan daripada jumlah tenaga kerja diperlukan manakala 30% lagi akan dipenuhi oleh tenaga kerja dari China dan negara Asia lain. Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengambil sejumlah 1,718 orang bagi tenaga kerja pembinaan. "Daripada jumlah itu, bilangan tenaga kerja dari China hanya 311 orang atau 18% daripada keseluruhan tenaga kerja pembinaan ECRL pada masa ini," MRL adalah pemilik projek ECRL, manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor utama projek tersebut. Jurucakap MRL berkata dianggarkan sebanyak 80,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung akan ditawarkan sepanjang tempoh pembinaan ECRL.
"Pihak kontraktor utama ECRL akan terus memberi keutamaan kepada penggunaan bahan-bahan binaan dari syarikat tempatan di Malaysia." "Bagaimanapun, beberapa mesin dan peralatan khas seperti mesin pengorek terowong, perlu dibawa masuk dari China dan dikendalikan oleh pakar untuk melancarkan kerja pembinaan terowong di lokasi tertentu," setakat Februari 2018, sebanyak 215 syarikat tempatan terlibat dalam pembinaan projek infra-rakyat ECRL, yang terdiri daripada 26 syarikat perunding, 99 syarikat pembekal dan 90 kontraktor tempatan. Dalam dakwaan ini kita mungkin jelas bahawa ECRL tidak membabitkan kroni atau pihak pihak yang berkepentingan dengan pemimpin dalam Kerajaan Malaysia Baru, sangat mudah untuk mentafsirkan alasan ini, yang pernah menjadi pemimpin atau penjawat tinggi akan cenderung membatalkan projek yang dia atau orang disisinya tidak mendapat hasil, yang jelasnya Tun Daim Zainuddin masih berkata ECRL boleh dilaksana oleh pihak swasta.
Perdana Menteri Tun Dr mahathir adalah sangat pakar dalam meraih kepercayaan rakyat tetapi beliau perlu ingat bahawa rakyat pantai Timur terutama Kelantan tidak pernah mampu dijinak olehnya.

Hanya Peralihan 11% Undi Boleh Sebabkan Pakatan Tumbang



PAKATAN Harapan (PH) akan menjadi kerajaan satu penggal jika 11% daripada jumlah undi Melayu yang diterima pada pilihan raya umum lalu berpaling kepada Umno, dedah satu kajian.

Peralihan 11% undi pengundi Melayu menurut Ilham Centre, yang memberikan kuasa kepada pakatan empat parti itu untuk menggulingkan Umno dan gabungan Barisan Nasional (BN) dari Putrajaya.



Dan ketika kerajaan PH yang baru melepasi tempoh 100 hari bersejarah dalam pentadbirannya, Ilham Centre memberi amaran undi lebihan 11% yang diterima itu bukanlah sokongan “tulen”.

“Jumlah 11% itu mudah terjejas. Ia adalah undi protes terhadap Umno dan BN daripada orang Melayu kerana faktor Najib Razak,” kata Pemangku Pengarah Eksekutif Ilham Center, Mohd Azlan Zainal.

“Ia bukan sokongan benar-benar tulen kerana mereka bukan mengundi PH kerana suka atau percaya terhadap agenda PH. Ia kerana bantahan mereka terhadap Umno.”

Jumlah sokongan 11% itu boleh kembali kepada Umno dan BN sekiranya PH gagal memperbaiki ekonomi dan menangani kos sara hidup. Tidak kurang penting juga, sama ada PH boleh berjaya menguruskan isu perkauman dan agama.

Dalam satu tinjauan yang ditugaskan oleh The Malaysian Insight, 11% daripada lebih 1,600 pengundi Melayu yang terlibat dalam tinjauan Ilham Centre pada Jun dan Julai berkata mereka akan menukar undi pada pilihan raya akan datang.

“11% ini adalah undi protes terhadap BN dan Umno kerana Najib,” kata Azlan merujuk kepada bekas perdana menteri dan presiden Umno yang dicemari skandal.

PRU14 menyaksikan BN memenangi hanya 79 kerusi Parlimen daripada 133 yang dipegang pada 2013.

PH memenangi 116 kerusi persekutuan dalam PRU14, menjadikannya memperoleh majorit 112 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Kira-kira 59% berkata mereka akan mengekalkan pilihan mereka pada PRU15 sementara 24% lagi tidak pasti.

Umno masih kuasai orang Melayu

Daripada 79 kerusi dimenangi BN, 54 adalah daripada Umno, parti Melayu yang berkuasa dalam gabungan itu.

Walaupun kini menjadi pembangkang, Umno masih menjadi parti dengan kerusi Parlimen paling banyak dengan saingan terdekatnya PKR iaitu 50 kerusi.

Fakta ini mencerminkan bagaimana Umno masih mempunyai sokongan majoriti orang Melayu yang membentuk kira-kira 60% atau 7.68 juta daripada 14.9 juta pengundi di negara ini.

Ini juga didedahkan dalam kajian Ilham Centre di mana 46% daripada responden mengatakan mereka memilih BN, diikuti parti Islam konservatif PAS 35%. PH menerima undi paling sedikit Melayu iaitu 17%.

Di antara ketiga-tiga parti ini, BN adalah gabungan pilihan kaum Melayu di tujuh negeri - Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PAS menerima undi Melayu paling banyak di Kelantan dan Terengganu, manakala PH di Selangor dan kawasan Kuala Lumpur.

Parti Islam itu mampu menyerlahkan kehadirannya di Kelantan dan menawan semula Terengganu kerana gelombang anti-BN yang melanda negara ini, kata Azlan.

Memandangkan orang Melayu di kedua negeri ini tidak yakin PH adalah pilihan terbaik, mereka memilih PAS yang sudah sekian lama berakar umbi di pantai timur.

“Sokongan untuk PH di kalangan orang Melayu hanya kuat di kawasan bandar dan di bawah usia 50-an yang mempunyai tanggungan. Sokongan untuk BN lebih tinggi di kalangan warga emas di kawasan luar bandar.”

PH perlu jadi pelindung

Walaupun terdapat usaha PH untuk mengakhiri politik perkauman dan agama, tinjauan itu mendedahkan ia masih menjadi tabiat mengundi sebahagian besar orang Melayu.

Dalam senarai keutamaan kerajaan Malaysia yang baru, kira-kira 16% responden Melayu memilih “melindungi orang Melayu dan Islam” sebagai perkara paling utama.

Agenda ini mengalahkan menghapuskan rasuah dan membersihkan kerajaan sebanyak 10%.

Isu agama adalah keempat selepas kos sara hidup (32%), memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya (20%) dan meningkatkan ekonomi (18%).

“Walaupun PH berjaya meningkatkan ekonomi dan mengurangkan tekanan hidup, ia hanya akan meningkatkan sokongannya di kalangan sebahagian orang Melayu, bukan semua,” kata Azlan sambil menambah orang Melayu mereka yang tinggal di pusat-pusat bandar.

“Bagi warga tua di kawasan luar bandar, yang mempunyai tanah sendiri dan pendapatan kecil daripada anak-anak yang telah dewasa, mereka ingin diyakini PH boleh melindungi orang Melayu dan Islam.

“Meyakinkan orang Melayu tentang kebimbangan kaum dan agama akan sangat penting bagi kerajaan PH dalam tempoh lima tahun akan datang.”

Kajian ini melibatkan 1,622 responden berusia di atas 21 tahun. Sekitar 16% adalah antara 21 dan 29 tahun, 30-39 tahun (19%), 40-49 tahun (28%), 50-59 tahun (21%), manakala hanya 14% yang berusia di atas 60 tahun.

Lelaki terdiri 51% daripada jumlah kesemua responden.

Lebih separuh responden berada di negeri utara, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Majoriti tinggal di bandar (66%) dan selebihnya di pinggir bandar (19%) dan kawasan luar bandar (15%).

Kebanyakan daripada 1,622 responden adalah petani, nelayan atau bekerja di kampung (21%), ahli perniagaan (21%) dan pekerja kerajaan (16%).

Lebih separuh responden berada dalam kumpulan B40 (52%) manakala 31% berada dalam M40 dan 17%, T20.

Kajian ini dilakukan melalui soal selidik dan wawancara mendalam dari 1 Jun hingga 30 Julai lapor The Malaysian Insight