Thursday, March 22, 2018

Kempen-Kempan Jugak Tapi Hati- Hati





Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengingatkan mana-mana parti yang akan bertanding pada PRU14 supaya tidak menjadikan sumber atau laluan arus elektrik sebagai tempat memasang bahan kempen seperti bendera atau sepanduk.


Pegawai Korporatnya, Datuk Roslan Ab. Rahman berkata, lokasi tersebut termasuklah tiang, kabel, peti pembekal, pencawang dan pepasangan elektrik lain.


“Perbuatan itu mengundang bahaya kerana risiko terkena renjatan elektrik.



“Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Katanya, aktiviti berbahaya itu menyalahi peruntukan Seksyen 3, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu merosakkan pepasangan elektrik.


“Justeru saya meminta kerjasama parti-parti politik supaya tidak meletakkan tiang bendera atau sebarang sepanduk berhampiran kabel atau pencawang elektrik.


“Walaupun tiang bendera yang digunakan diperbuat daripada buluh, ia tetap berisiko untuk terkena renjatan,” katanya.


Beliau turut mengingatkan orang ramai tentang bahaya memegang atau membawa tiang bendera di bawah mana-mana pepasangan elektrik kerana ia boleh menarik arus elektrik, sekali gus menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.


Rosalan berkata, TNB akan melakukan pemantauan dan membuang bahan kempen yang diletakkan berhampiran pepasangannya jika berisiko tinggi kepada pengguna.


“Orang ramai yang melihat sebarang keadaan yang boleh mengancam keselamatan atau menjejaskan bekalan elektrik, diminta merujuk Facebook TNB CareLine atau menghubungi TNB Careline di 15454agar tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera,” katanya.

No comments:

Post a Comment