Fahmi, yang juga Ketua Pemuda Lembah Pantai PKR, mendakwa Barisan Nasional (BN) bersekongkol dengan Pertubuhan Pendaftar (RoS) dan SPR langsung tidak memberi peluang kepada Dr Mahathir yang kini memimpin Pakatan Harapan (PH).
"Bagi Umno, Dr Mahathir adalah satu mesej," kata Fahmi pada forum 'Will GE14 be free and fair?' yang di Bangsar, Kuala Lumpur malam tadi. Forum itu turut menampilkan Pengerusi Hakam Ambiga Sreenevasan.
"Sebagai seorang reformis, saya percaya Tun Dr Mahathir sedang melakukan sesuatu untuk negara di penghujung usianya. Sama ada kita setuju atau tidak, apa yang telah beliau telah lakukan setakat ini dan bagaimana kerajaan bertindak balas, bagi saya beliau merupakan satu ancaman terbesar kepada Umno.
"Sebab itulah saya boleh beri jaminan yang bukan sahaja Pakatan Harapan tidak akan didaftar, malah pendaftaran Bersatu juga mungkin akan dibatalkan. Kerana itulah sebenarnya yang mereka perlu lakukan apabila mereka sedar betapa kuatnya Bersatu dan betapa kuatnya kuasa politik Dr Mahathir," kata Fahmi.
Fahmi juga berkata penipuan dalam pilihan raya akan datang ini akan menjadi yang pertama seumpamanya.
"Kami temui seorang pengundi berusia 150 tahun dalam daftar pemilih. Ada pengundi di kawasan Lembah Pantai yang dipindahkan bukan hanya sekali, tetapi dua kali pada tahun lepas sahaja, dari pelbagai tempat ke Sekinchan."
"Undi anda sangat-sangat penting dalam pilihan raya kali ini. Jika anda tidak keluar mengundi, orang lain akan datang dan mengundi untuk anda. Mesti tahu kepentingannya. Kalau anda memilih untuk tidak memilih, anda akan hidup dengan pilihan yang bukan anda buat, untuk lima tahun lagi. Apakah anda boleh hidup dengan tenang?"
Sementara itu, Ambiga memberitahu pengundi supaya memeriksa pendaftaran mereka sehinggalah tiba hari mengundi.
"Jangan berhenti periksa, teruskan periksa, kerana ada masalah serius dalam pendaftar pemilih, di mana ada 14 pengundi yang berdaftar di bawah satu alamat yang sama di Wangsa Melawati."
RoS mengeluarkan notis kepada Bersatu berkuat kuasa 28 Februari lepas yang antara lain memerlukan parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen berkaitan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti dalam tempoh 30 hari, atau berdepan risiko dibubarkan.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata laporan minit mesyuarat bahagian tidak dapat dikemukakan parti itu kerana bahagiannya baru diluluskan penubuhannya oleh RoS pada Julai tahun lepas dan tiada pertubuhan membuat mesyuarat agung dalam tempoh kurang setahun penubuhannya.
No comments:
Post a Comment