Wednesday, January 17, 2018

PAS TERUS ISTIQAMAH UTK MENANG PRU 14


PAS akan bertanding tidak kurang daripada 130 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) melalui gabungan Gagasan Sejahtera.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki ( gambar ) berkata PAS turut memberikan ruang kepada parti-parti dalam gabungan itu serta NGO dan tokoh masyarakat untuk bertanding dengan bantuan jentera parti Islam itu.
“PAS tanding tak kurang 130 kerusi selebihnya akan diisi dalam komponen Gagasan Sejahtera, NGO-NGO dan tokoh-tokoh bersedia bersama Gagasan Sejahtera.
“Jadi kita akan ada pembahagian kerusi dalam Gagasan Sejahtera, bermaksud PAS akan bertanding sejumlah kerusi dan akan ada jumlah kerusi yang ditandingi oleh parti-parti ini dan juga akan ada kerusi yang NGO, orang perseorangan akan bertanding atas nama Gagasan Sejahtera.
“Jentera PAS akan bantu (mereka). Kita tahu individu perseorangan ada nama besar tapi tak ada jentera, jadi kita akan bantu. PAS kita mempunyai 95 kawasan, parlimen kita ada jentera sehingga peringkat akar umbi,” katanya.
Jumlah keseluruhan belum diputuskan
Anggota Jawatankuasa PAS itu turut menambah, jumlah keseluruhan kerusi di bawah gabungan Gagasan Sejahtera belum dapat diputuskan.
Zuhdi berkata demikian kepada pemberita selepas kuliah duha disampaikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, hari ini.
Gagasan Sejahtera yang disertai Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Ikatan Sejahtera yang dikatakan mempunyai kekuatan 200 NGO.
Zuhdi turut berkata PCM dan IKATAN akan menggunakan logo mereka sendiri manakala NGO dan calon tokoh masyarakat itu mungkin akan menggunakan logo bebas.
“Kalau PAS, guna logo PAS, parti lain guna logo masing-masing. NGO dan perseorangan akan berlaku perbincangan. Mereka mungkin guna bebas tapi kita bantu kempen bersama,” katanya.
Sebelum ini Abdul Hadi menjangkakan tiada satu pun parti yang dapat membentuk kerajaan selepas PRU14 dan sekiranya PAS menang 40 kerusi parti itu akan menjadi tempat bergantung parti lain yang mahu menubuhkan kerajaan.
Senarai calon 90 peratus selesai
Pada PRU 2013, PAS bertanding 65 kerusi parlimen dan menang 21 daripadanya, manakala enam kerusi kini dipegang oleh anggota parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH).
Zuhdi ketika ditanya mengenai tahap persediaan PAS berkata, pihaknya kini sudah di peringkat terakhir menyenaraikan calon.
“Calon kita dah di peringkat akhir. Boleh dikatakan 90 peratus (senarai calon) dah siap.
"Dari segi calon muda sebagaimana yang telah diumumkan, kita cuba tampilkan 40 peratus calon muda termasuk wanita muda dan pemuda," katanya menambah PAS menekankan faktor boleh menang dan menyampaikan khidmat kepada rakyat.
Selain itu katanya dari segi manifesto pula mereka akan mengemukakan kepada rakyat secara tiga peringkat supaya ‘dapat dihadam’ sehingga PRU14.
“Peringkat pertama akan dikemukakan polisi umum, kita akan kemukakan dan lancar sebelum akhir Januari.
"Kita ada manifesto peringkat kedua iaitu tawaran khusus kepada sasaran dan ketiga tawaran berimpak tinggi yang akan dikemukakan oleh PAS.
“Kita akan kemukakan berperingkat supaya rakyat hadam dengan manifesto kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment