Monday, April 3, 2017

BUKIT KEPONG HANYA MAINAN POLITIK


KENYATAAN MEDIA

BUKIT KEPONG HANYA MAINAN POLITIK

www.amanah.org.my

Setiap tahun menjelang merdeka saya sering memberi ceramah mengulas hal kemerdekaan tanah air. Saya sering memberi pandangan terutama berkait pejuang-pejuang kemerdekaan yang dianggap oleh kami dari parti pembangkang, tidak diutarakan nama mereka seperti Dato Ahmad Boestaman, Pak Sako, Dr Burhanuddin Al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir dan lain-lain lagi.

Hanya nama Tunku Abdul Rahman dan Dato’ Onn sahaja yang sering dikemukakan oleh kerajaan. Saya akui kedua-dua mereka memang bersama berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Namun, adalah tidak adil jika kita menyembunyikan nama-nama lain yang juga terlibat secara langsung dalam perjuangan kemerdekaan.

Pada tahun 2011, menjelang merdeka, ucapan saya di Padang Menora disensasikan begitu hebat oleh akhbar Utusan dan TV3. Di Mahkamah Tinggi, kes rayuan pendakwa terhadap tuduhan ke atas saya menghina polis yang terlibat dalam kes Bukit Kepong, dibacakan oleh hakim. Ucapan sebenar saya jika dibandingkan dengan laporan Utusan Malaysia dan TV3, jelas sangat berbeza. Banyak perkara yang saya tidak sebut, seperti Wong Peng Tun menjadi ketua serangan bersama lebih 200 anggota komunis termasuklah Utusan melaporkan saya berkata kononnya ada kanak-kanak dilempar dalam unggun api dalam serangan itu.

Sudah tentulah ianya menimbulkan kemarahran yang di kalangan rakyat Malaysia kususnya bekas tentera dan bekas polis yang berkhidmat sebelum merdeka. Lebih 1000 report dibuat terhadap saya. Ceramah saya dibaling batu oleh pihak tertentu. Pintu pagar rumah saya cuba dibakar dan beberapa orang bekas tentera dan polis hadir ke rumah saya di Pulau Pinang untuk berdemonstrasi. Ancaman fizikal terhadap saya dibuat beberapa kali dan ada aduan yang saya sendiri laporkan kepada pihak polis. Hampir sebulan dalam bulan Ramadhan saya dikecam begitu hebat di semua media-media perdana.

Hasil perbicaraan Mahkamah Tinggi kelmarin, hakim memutuskan rayuan oleh pihak pendakwa ditolak. Tiada berita yang keluar secara besar-besaran seperti mereka sensasikan berita Bukit Kepong dulu. Hanya dilapor oleh laman-laman web dan berita online. Hebahan itu dapat dibaca oleh orang ramai.

Walau bagaimanapun saya bersyukur, hubungan saya dengan pihak polis masih mesra dan professional. Setiap kali saya bertemu pihak polis untuk menguruskan himpunan aman, atau dipanggil oleh polis selepas satu-satu himpunan, suasananya masih mesra dan professional tak kira mereka berpangkat bawah atau tinggi.

Saya yakin, usaha pihak tertentu untuk mensensasikan dan mempolitikkan kes Bukit Kepong bukanlah semata-mata untuk membela anggota polis tetapi lebih kepada menarik sokongan orang Melayu agar menyokong Umnk pada PRU13 lalu.

Itulah keadaan media di Malaysia. Mereka boleh mensensasikan sesuatu perkara dan sesorang itu boleh menjadi mangsa fitnah yang dibuat. Saya bersyukur di atas pembebasan dari tuduhan ini.

MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
1 April 2017

No comments:

Post a Comment