Friday, March 31, 2017

Najib dan Menterinya senantiasa memberikan jawapan untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan UMNO BN.


Kenyataan Media

31 Mac 2017 (Jumaat)

PENDEKATAN UNTUK MENUTUP KEGAGALAN PENTADBIRAN UMNO BN

Saya mengalu-alukan kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mahukan rakyat negara ini menukar cara pemikiran mereka berhubung pembelian rumah ketika muda dan menanggung hutang jangka panjang yang besar.

1. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di bawah pentadbiran Najib Razak dan Menteri-Menteri kabinetnya senantiasa memberikan jawapan untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan UMNO BN.

2. Tidakkah rakyat Malaysia begitu terbeban dengan peningkatan harga barangan makanan seperti ubi kentang, bawang, bayam, sawi, kubis dan sebagainya termasuk sardin, iaitu makanan orang miskin. Malah gaji untuk menampung kehidupan di bandar telah memaksa rakyat mempelbagaikan kerja sampingan lain seperti memandu perkhidmatan Uber dan GrabCar.
Bagaimana mereka hendak membeli rumah sedangkan rumah mampu milik pun hanya mampu dilihat sahaja. Apakah punca sebenar? Punca sebenar adalah kegagalan pimpinan negara untuk mentadbir kewangan negara dengan sebaiknya.

3. Jika seseorang tidak mampu membeli sesebuah rumah, ianya kerana bergantung kepada nilai harga rumah yang begitu tinggi dan ketidakmampuan untuk membelinya.
Harga rumah yang tinggi nilainya menunjukkan kegagalan kerajaan UMNO BN untuk mengawal harga barangan asas pembuatan seperti simen dan pasir. Kegagalan untuk mengawalnya mengakibatkan keuntungan berlipat kali ganda dan wujudnya 'orang tengah' yang mengaut keuntungan berganda.

4. *Ketidakmampuan untuk membeli* wujud kerana kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi tanpa kawalan yang munasabah. Misalannya, mahasiswa yang baru sahaja menamatkan pengajian telah dibebani dengan hutang pengajian (PTPTN). Apabila mendapat kerja, gaji yang diterima pula tidak setimpal ditambah lagi dengan kos sara hidup yang tinggi dengan kenaikan harga barangan yang mendadak.
Inilah antara faktor - faktor menjurus kepada kegagalan kerajaan UMNO BN untuk menyediakan satu pelan atau model bagi membantu golongan muda @ mahasiswa untuk melalui kehidupan yang sewajarnya tanpa tekanan.

5. Perbandingan dengan negara UK sepertimana dikatakan oleh YB Johari Abdul Ghani menunjukkan sikap terpilih, di mana kerajaan UMNO BN menjawab mengikut keselesaan dan kepentingan mereka sahaja.

Keputusan untuk golongan muda menetap di UK tidak boleh dibandingkan dengan negara kita kerana kita mempunyai tradisi kehidupan yang berbeza. Kita orang Timur yang mempunyai adat istiadat tersendiri, seperti hasrat mendirikan rumah tangga, mengamalkan konsep kekeluargaan, menjaga ibubapa dan sebagainya. Maka membeli rumah menjadi salah satu elemen yang terpenting dalam kehidupan orang Timur.
                      
Kerapkali Menteri UMNO BN sedaya upaya cuba untuk menutup kegagalan dan kelemahan mereka, tanpa disedari mereka membuka ruang untuk kita mencari kelompangan mereka. Semakin banyak alasan diberikan, semakin banyak yang akan terbongkar. Saya tersenyum, mengingati peribahasa Melayu 'bagai kelip-kelip terbang malam'.

Salam Reformasi.

YB Manivanan Gowin
Ahli Parlimen Kapar
Parti KeADILan Rakyat

No comments:

Post a Comment