Friday, March 31, 2017

Adakah kerjasama PAS - PKR berakhir di Alor Setar?



DETIK DAILY



TWEET ‘lebai’ Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat PKR, Dato’ Seri Azmin Ali yang dipercayai dituju kepada Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menambah satu lagi lagi episod yang gerhanakan hubungan partinya dengan PAS.

Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Azmin itu bukanlah suatu yang mengejutkan sangat malah bukan kali pertama beliau bersikap kontroversi melalui Twitter seperti itu.

Mungkin masih ramai yang ingat beliau pernah dikecam ahli partinya sendiri selepas Pilihan raya Umum ke-13 apabila mengkritik himpunan black out 505 yang tempiasnya turut terkena batang hidung Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Terima keputusan rakyat. Maju ke hadapan dengan dasar peduli rakyat bukan membuli rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Rakyat letih dengan asakan politik melampau. Terima hukuman. Muhasabah diri. Akui kelemahan. Maju ke hadapan. Tumpu rakyat bukan kerabat.

“Laungan reformasi harus bermula dengan bisikan dalam hati sendiri. Jangan heret rakyat kalau kita sendiri gagal”. Begitulah antara kenyataan yang dikeluarkan dalam Twitter miliknya.

Menteri Besar Selangor itu juga sebelum ini pernah menyindir melalui Twitternya dengan berkata “Nak Jadi Pengemis Jawatan Exco Ke” yang dipercayai ditujukan kepada seorang Adun di dalam parlimen Gombak.

Justeru, perkara lebih besar perlu dilihat khususnya oleh ahli PAS dalam isu ini ialah hala tuju hubungan dengan KeADILan yang sudah terjalin lebih 17 tahun lalu. Tanpa sindiran Azmin itupun sememangnya hubungan PAS dan KeADILan ketika ini sedang melalui fasa yang amat kritikal.

Desakan ahli-ahli PAS akar umbi supaya kerjasama antara kedua pihak diputuskan semakin ketara disuarakan melalui Mesyuarat Agung PAS Kawasan yang sedang berlangsung di seluruh negara ketika ini, sama ada melalui usul secara jelas mahu kerjasama dibatalkan atau melalui usul mendesak PAS meletakkan calon di kerusi-kerusi Dun atau parlimen yang sebelum ini ditandingi oleh KeADILan – yang juga membawa kepada maksud tidak berminat lagi bekerjasama dengan parti itu.

Malah beberapa kawasan juga sudah memperlihatkan lebih awal lagi tiada kerjasama berlaku antara kedua pihak atau tidak mengadakan program bersama. PAS kawasan Kuantan misalnya telah lama menurunkan bendera-bendera KeADILan yang sebelum ini berkibar bersebelahan dengan bendera bulan di markas-markas PAS ekoran kelantangan pimpinan parti KeADILan di situ mengkritik PAS secara terbuka.

Tindak-tanduk beberapa pimpinan utama KeADILan pula langsung tidak memperlihatkan seperti mahu hubungan dengan PAS diteruskan. Walaupun sering mengulangi pentingnya kerjasama antara parti-parti pembangkang untuk menghadapi Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang tetapi tanpa menjaga adab, tanpa sikap menghormati prinsip rakan dan bertindak pula menikam dari belakang sudah tentu tidak akan membantu menjadikan kerjasama semakin baik.

Di pihak PAS sudah tentu Muktamar ke 63 yang akan berlangsung di Alor Setar kedah penghujung April ini akan menjadi medan membincangkan hala tuju hubungan dengan KeADILan yang seperti telur dihujung tanduk itu.

Tindakan PAS yang cermat dengan menyerahkan kepada muktamar terlebih dahulu untuk melakukan muhasabah akan untung rugi atau baik buruknya kerjasama itu diteruskan atau sebaliknya merupakan tindakan yang tepat.

Sekurang-kurangnya PAS dapat mendengar pandangan akar umbinya secara menyeluruh dari Timur, Barat, Utara dan Selatan juga Sabah dan Serawak sebelum merumuskan keputusan terbaik.

Justeru, ahli-ahli PAS khususnya bakal perwakilan perlu menggunakan masa yang berbaki ini untuk mengkaji dan mempertimbangkan sedalam-dalamnya keputusan yang bakal diambil nanti.

Sementara itu, di pihak KeADILan, mereka masih boleh membantu membetulkan keadaan sekiranya masih ada keinginan untuk kekal bersama PAS kerana mereka tahu apa syarat dan peraturannya, ia bukannya sukar asalkan tahu menghormati dan bersetiakawan.

Muktamar di Alor Setar nanti bukanlah tarikh akhir untuk keADILan, tetapi sekiranya sebelum tempoh tersebut mereka terus menunjukkan ‘kebencian’ kepada ‘lebai-lebai’ PAS, tidak mustahil hubungan ini akan berakhir di sana.-Editorial harakah

No comments:

Post a Comment