Wednesday, September 14, 2022

Kit Siang garis lima sebab kenapa Zahid perlu letak jawatan Presiden UMNO

 


agendaily.com
08/09/2022
Terdapat 21 LOA bernilai kira-kira RM5 bilion untuk mendapatkan peralatan dan sistem kapal LCS dengan kebanyakannya dibuat ketika Zahid menjadi Menteri Pertahanan.

Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini (8 September 2022) menggariskan lima sebab kenapa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu meletak jawatan Presiden UMNO, menjelang penggal Parlimen ke-14 akan berakhir Julai tahun depan.

Pertama, katanya semua parti politik dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang harus mengecam skandal kewangan RM50 bilion 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi sebagai landasan utama ikrar pilihan raya mereka.

Adakah Zahid bersedia melakukan ini? Soalnya.

Menurutnya bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata sistem perundangan dan kehakiman negara akan menjadi bahan ketawa sekiranya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan. Adakah Zahid bersetuju?

Memetik kenyataan Abdul Hamid, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata sekiranya Lembaga Pengampunan bersetuju untuk membebaskan Najib, ia akan mengetepikan kerja keras yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawai kehakiman selama bertahun-tahun dalam membina kes terhadap Najib.

Abdul Hamid berkata: “Pendakwa Raya menghabiskan berbulan-bulan mengkaji kertas siasatan; bertahun-tahun Hakim-Hakim membicara dan mendengar rayuan lepas rayuan, merekod, menyemak dan mengkaji beribu-ribu halaman keterangan dan dokumen, mendengar berpuluh-puluh orang saksi dan menulis beratus-ratus halaman alasan penghakiman.

“Satu dua bulan selepas tertuduh disabitkan dan dihukum penjara berpuluh-puluh tahun dan didenda beratus-ratus juta atau berbilion, tanpa terpaksa melakukan apa yang disebut itu semua, ahli-ahli Lembaga Pengampunan, dengan satu ayat mengampun sabitan dan hukuman itu!”

Adakah Zahid bersetuju dengan Abdul Hamid? soal Kit Siang lagi.

Kedua, kata Kit Siang Presiden UMNO itu gagal menjadi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Najib bahawa dia telah bertemu dengan penderma diraja Arab yang menderma RM2.6 bilion kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Dia (Zahid) berkata demikian secara terbuka pada Ogos 2015. Diam dan gagal memberi keterangan dalam perbicaraan Najib hanya bermakna dia tidak bercakap benar pada Ogos 2015.

“Ketiga, terdapat ketidakupayaan Zahid untuk membersihkan dirinya daripada tanggungjawab besar bagi skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) bernilai RM9 bilion, dan percubaannya untuk menyalahkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, penggantinya sebagai Menteri Pertahanan, atas skandal LCS.

“Zahid telah menafikan bahawa dia bertanggungjawab terhadap skandal LCS RM9 bilion, dan berkata adalah tidak munasabah untuk menyematkan kegagalan perolehan LCS kepadanya, kerana dia bukan Menteri Pertahanan semasa projek itu diberikan,” katanya.

Kit Siang berkata walaupun Zahid memegang jawatan Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013, dan digantikan oleh Hishammuddin, dan kontrak itu ditangguhkan dan hanya ditandatangani pada 17 Julai 2014, kedua-dua laporan yang didedahkan mengenai skandal LCS, walaupun telah banyak disunting, menunjukkan bahawa Zahid yang mesti memikul tanggungjawab lebih besar daripada Hishammuddin untuk skandal LCS.

Katanya surat hasrat untuk pembekalan enam LCS pada nilai keseluruhan RM9 bilion telah dikeluarkan pada 15 Oktober 2010, dan surat pemberian (LOA) pada 16 Disember 2011, tetapi kontrak itu ditahan kira-kira dua dan satu setengah tahun, dan hanya ditandatangani pada 17 Julai 2014.

Bagaimanapun, antara isu LOA dan pemeteraian kontrak, terdapat 21 LOA bernilai kira-kira RM5 bilion untuk mendapatkan peralatan dan sistem, kebanyakannya dibuat ketika Zahid menjadi Menteri Pertahanan.

Memandangkan LOA yang dibuat semasa Hishammuddin menjadi Menteri Pertahanan selepas PRU-13 tidak mencecah RM700 juta, Zahid mesti memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada Hishammuddin bagi skandal LCS.

Keempat, kata Kit Siang ialah terdapat ketidakupayaan Zahid untuk menjelaskan mengapa dia membatalkan keputusannya pada 2011, seperti yang disyorkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), untuk kontrak membina enam LCS jenis Sigma buatan Belanda dan memilih Gowind buatan Perancis pengeluar kapal selam Scorpene tanpa berunding dengan TLDM sebagai pengguna terakhir.

“Akhir sekali, Zahid gagal menyatakan dengan jelas dan khusus bahawa Najib, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, tidak bertanggungjawab ke atas skandal LCS, terutama kerana perolehan LCS berlaku ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Terdapat 21 LOA bernilai kira-kira RM5 bilion untuk mendapatkan peralatan dan sistem kapal LCS dengan kebanyakannya dibuat ketika Zahid menjadi Menteri Pertahanan.

No comments:

Post a Comment