PUTRAJAYA: Ketiadaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) mencetuskan spekulasi Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir.
Sebaliknya, delegasi Malaysia hanya diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada persidangan tersebut yang diadakan di Kigali, Rwanda mulai hari ini sehingga Sabtu.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, CHOGM kebiasaannya diadakan setiap dua tahun sekali, namun, mesyuarat ke-26 yang sepatutnya pada 2020 lalu ditunda kerana isu Covid-19.
“Tema kali ini adalah ‘Delivering A Common Future: Connecting Innovating, Transforming’ yang relevan dengan situasi semasa komuniti global kini berdepan pasca pandemik,” jelasnya.
Ketiadaan Perdana Menteri pada mesyuarat kali ini seperti mengulangi suasana CHOGM di London, Britain pada 2018 lalu apabila ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak hadir.
Beliau memberi alasan perlu memberi tumpuan lebih kepada situasi dalam negara sejurus pembubaran mengejut sidang Dewan Rakyat yang membawa kepada PRU14 pada 9 Mei 2018.
Mengulas lanjut, Wisma Putra bagaimanapun tidak memberi penjelasan berhubung isu ketidakhadiran CHOGM kali ini yang dianggap platform penting Malaysia di pentas Komanwel.
Sebaliknya, ia memaklumkan bahawa kesemua pemimpin dari 54 negara itu membincangkan kesan Covid-19 mengakibatkan jurang ketara pengagihan kekayaan dan akses kesihatan.
“Ketua-ketua kerajaan turut akan bertukar pendapat mengenai cabaran semasa yang boleh menjejaskan Keluarga Komanwel ke arah pembangunan lebih mapan,” kata Wisma Putra.
Mereka juga jelasnya, akan membincangkan perkembangan politik dan ekonomi serta perihal urus tadbir kerajaan dan kedaulatan undang-undang selain isu belia serta teknologi inovasi.
Deklarasi Kigali pada hari terakhir bakal diterbitkan mengenai Reformasi Penjagaan dan Perlindungan Kanak-kanak serta Perbandaran Lestari yang akan diperakui oleh semua pemimpin.
Sepanjang persidangan itu, Saifuddin dijangka bermesyuarat dua hala dengan rakan sejawat bagi membincangkan isu berkepentingan bersama serta bertemu rakyat Malaysia di Rwanda.
Malaysia menjadi ahli Komanwel selepas kemerdekaan pada 1957 dan pernah menganjurkan CHOGM Ke-11 pada 1989 yang memperakui Deklarasi Langkawi mengenai Alam Sekitar. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment