SENDA TENGAH HARI
KETIKA ini Umno Kelantan sedang mengadakan permukiman di Bangkok selama tiga hari, bermula hari ini dan berakhir 21 Jun ini. Khabarnya setiap bahagian menghantar lima orang wakil termasuk ketua, timbalan ketua, ketua pemuda, wanita, bahagian setiausaha dan bendahari.Permukiman itu menurut banner yang ternampak, "Pengupayaan Dasar dan Matlamat PRU-15" untuk Kelantan.
Memahami maksud tema itu, Umno Kelantan mencari solusi dan kesimpulan untuk menghadapi pilihan raya akan datang; membincang dan menentukan arah dan matlamat untuk dicapai dalam pilihan raya itu.
Ia juga pasti mengenali sejauh mana kemampuan dan potensinya untuk menang. Sudah lebih 32 tahun Umno kempunan untuk memerintah Kelantan selepas tewas teruk tahun 1990.
Walaupun matlamat sesuatu pilihan raya itu bagi mencari kemenangan, tetapi Umno Kelantan seperti sedang mengira bentuk kemenangan yang diharapkan. Apakah kemenangan secara mutlak boleh menguasai Kelanan atau pun kemenangan separuh-separuh, berkongsi dengan Pas. Nampaknya parti itu berhati-hati bagi menghadapi pilihan umum ke-15 kelak.
Dari sudut lain pemukiman itu menggambarkan parti itu sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya. Umno lebih ke hadapan berbanding PH maupun Pas sendiri. Namun sedikit musykil apabila ianya diadakan di Bangkok sebuah kota terkenal dengan jolokan syurga lelaki, menyebabkan timbul keraguan sejauh mana komitmen dan keseriusan Umno dengan perjuangan, atau pun permukiman itu. Apakah permukiman itu sebagai alasan menggunakan duit parti untuk berhibur semata-mata?
Selamanya Umno tidak lekang dengan hiburan dan masih manggak dengan keindahan pengalaman masa lalu. Budaya hendonisme yang menyerap dalam Umno itu sepatutnya sudah tidak ada lagi dalam Umno. Umno kena lebih serius dan komited dengan perjuangan membangun bangsa dan membela agama.
Apakah tidak ada lokasi dan tempat menarik dan sesuai dalam negeri untuk diadakan permukiman. Bukankah hutan belantara di Kelantan masih ada, penuh dengan gua dan lembah, yang indah dan menarik serta alami belum banyak terusik? Apakah lokasi dan persekitaran di dalam negara tidak menginprirasikan maka ia perlu diadakan di kota syurga lelaki itu.
Apabila permukiman itu memberi tema khusus untuk bincang matlamat ia bermakna Umno Kelantan seperti masih tidak yakin dengan kemenangan dan juga tidak tahu hala tujuan dalam berpilihan raya.
Lemah.
Keadaan Umno Kelantan hari ini bolehlah disifatkan lemah dan tidak tegas. Parti itu belum memastikan apakah mereka akan bekerjasama dengan Pas atau pun tidak. Kedudukan Muafakat Nasional (MN) di antara parti itu dengan Umno masih belum ada penyelesaian tuntas. Berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin Umno di negeri itu berhubung status MN. Setengah mahu bekerjasama dengan Pas setengah yang lain confiden akan menang dengan cara berlawan sendiri.
Pemimpin Umno Kelantan mengadakan permukiman di Bangkok. |
Annuar dan setengah yang lain nampaknya seperti masih mengharapkan Pas. Satu masa pengerusi Umno Kelantan Mohd Jazlan telah menyatakan Umno sudah tidak mungkin bekerjasama dengan Pas, tetapi pada masa lain menarik balik kenyataan itu. Hingga ke hari ini tidak lagi kedengaran ulasan mengenai itu daripada Jazlan. Ini dikatakan tidak tegas.
Dalam perhimpunan Umno Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman telah membidas pemimpin Pas sebagai tiga jahanam yang mempersulitkan hubungan Umno - Pas. Kenyataan keras itu menyakiti hati Pas menyebabkan ada yang membalas dengan penuh sinikal dan meretakkan perpaduan antara kedua pihak sebelum ini.
Mungkin selepas selesai permukiman itu Umno Kelantan akan membuat keputusan muktmad, apakah MN masih diperlu dan dihidupkan ataupun sudah bungkus. Namun dalam hal ini saya berkeyakinan Umno tidak mudah untuk mengikut kehendak presiden Umno Zahid Hamidi yang sudah berpatah arang dengan Pas, sebaliknya akan bersikap lebih terbuka dan berfikiran jauh demi mementingkan soal rakyat dan negeri.
Ketegasan diambil oleh Zahid lebih untuk kepentingan dirinya, sebaliknya kerjasama politik Umno dan Pas di Kelantahn demi kesejahteraan rakyat dan negeri Kelantan. Umno Kelantan perlu mempunyai kebijaksana dan acuan politik yang berbeza dengan Zahid dan juga dengan beberapa pemimpin yang menghadapi sama dengan Zahid.
Dan apa yang ditunggu hasil daripada permukiman itu, ialah mengenai kaedah atau formula pembahagian kerusi, dan juga siapakah calon menteri besar daripada Umno. Ada beberapa nama yang dikira layak berdasarkan kriteria tertentu untuk dicadangkan sebagai menteri besar? Apa menjadi masalah kepada Umno ketika ini ialah tokoh yang hendak dijadikan "poster boy" di Kelantan.
Antara mereka ialah Ketua Pemuda Umno Malaysia Asyraf Wajdi Dusuki, Adun Kok Lanas, Md Alwi Che Ahmad dan juga ahli parlimen Machang yang juga pengerusi Umno Kelantan, Mohd Jazlan Yaakob. Bagaimana pun nama-nama ini tidak berbangkit lagi sekiranya kerjasama Umno - Pas itu memutuskan bahawa Umno sedia untuk memberi laluan kepada Pas terus menguasai Kelantan.
Sekiranya kerjasama Umno - Pas menerusi MN di Kelantan menjadi kenyataan kemungkinan besar sejarah pilihan raya tahun 1990 dimana Pas yang ketika itu bekerjasama dengan gemulah parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah akan berulang, yang Umno tidak menang walaupun sebarang kerusi. [wm.kl. 7:35 am 22/06/2022]
No comments:
Post a Comment