Monday, April 8, 2019

Statut Rom: Malaysia tarik diri kerana boleh didakwa khianati institusi raja, perlembagaan, dakwa Isham Jalil





MALAYSIADATELINE



Pengerusi Jaringan Sukarelawan Malaysia, Hizatul Isham Abdul Jalilmempersoalkan tindakan kerajaan Malaysia menarik balik untuk tidak meratifikasi Statut Rom kerana tidak mahu didakwa di mahkamah negara ini.

Beliau berkata, alasan yang diberikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana rakyat keliru dengan perjanjian itu adalah tidak munasabah.


“Jika beliau (Dr Mahathir) rasa rakyat keliru tetapi beliau dan Kabinet beliau yakin dengan Statut Rom ini, maka berilah penerangan kepada rakyat seperti kebiasaannya yang menjadi tugas dan tanggungjawab pemimpin-pemimpin kerajaan dan menteri-menteri dan pertahankannya dalam Parlimen.

“Tambahan lagi Statut Rom ini baru sahaja ditandatangani tidak sampai dua bulan lepas dan masih ramai rakyat yang belum tahu secara terperinci berkenaannya.

“Oleh itu alasan yang diberikan oleh Dr Mahathir apabila menarik diri dari Statut Rom tersebut adalah tidak benar, tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

“Hakikatnya beliau dan pemimpin-pemimpin PH ini takut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.


Hizatul Isham yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak ini mendakwa, kerajaan PH yang keliru sebelum ini dan kini tidak yakin dengan Statut Rom kerana ia memberi kesan negatif kepada kedaulatan negara lantas memburukkan lagi sokongan rakyat kepada kerajaan PH.

“Ini kerana setelah lebih sebulan menandatantangani Statut Rom ini, mereka baru mendengar nasihat daripada pakar-pakar Perlembagaan dan lain-lain dan mendapati bahawa sepatutnya sebelum menandatangani dan meratifikasi Statut Rom ini Perlembagaan perlu dipinda dan Majlis Raja-raja Melayu perlu dirujuk.

“Oleh itu tindakan mereka menandatangani Statut Rom sebelum ini tanpa membawa ke Parlimen untuk meminda Perlembagaan dan tanpa merujuk kepada Majlis Raja Melayu serta membelakangi Yang Dipertuan Agong adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan juga satu pengkhianatan kepada Yang Dipertuan Agong dan Negara.


“Oleh itu tindakan Undang-undang boleh diambil ke atas mereka kerana salah guna kuasa, pengkhianatan kepada negara dan percubaan menipu Yang Dipertuan Agong,” dakwanya.

Katanya lagi kerajaan tidak boleh lagi menyalahkan rakyat.

“Rakyat tidak akan percaya. Mereka perlu mengaku dan menyalahkan diri mereka sendiri.

“Namun nampaknya mereka masih angkuh dan tidak mahu mengaku salah malah masih menyalahkan orang lain. Maka mereka tidak akan belajar dari kesilapan ini, dan kesalahan-kesalahan seperti ini tentunya akan berlaku lagi.

“Rakyat dan negara yang akan rugi dengan kerajaan dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang sebegini,” ujar ujar pemegang Sarjana Dasar Awam (Politik,Ekonomi dan Undang-undang) dari Universiti Harvard ini

Pada 5 April kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Mengumumkan keputusan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku Perdana Menteri.

Katanya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/statut-rom-malaysia-tarik-diri-kerana-boleh-didakwa-khianati-institusi-raja-perlembagaan-dakwa-isham-jalil/

No comments:

Post a Comment