Monday, April 8, 2019

Statut Rom: Malaysia tarik diri kerana boleh didakwa khianati institusi raja, perlembagaan, dakwa Isham Jalil





MALAYSIADATELINE



Pengerusi Jaringan Sukarelawan Malaysia, Hizatul Isham Abdul Jalilmempersoalkan tindakan kerajaan Malaysia menarik balik untuk tidak meratifikasi Statut Rom kerana tidak mahu didakwa di mahkamah negara ini.

Beliau berkata, alasan yang diberikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana rakyat keliru dengan perjanjian itu adalah tidak munasabah.


“Jika beliau (Dr Mahathir) rasa rakyat keliru tetapi beliau dan Kabinet beliau yakin dengan Statut Rom ini, maka berilah penerangan kepada rakyat seperti kebiasaannya yang menjadi tugas dan tanggungjawab pemimpin-pemimpin kerajaan dan menteri-menteri dan pertahankannya dalam Parlimen.

“Tambahan lagi Statut Rom ini baru sahaja ditandatangani tidak sampai dua bulan lepas dan masih ramai rakyat yang belum tahu secara terperinci berkenaannya.

“Oleh itu alasan yang diberikan oleh Dr Mahathir apabila menarik diri dari Statut Rom tersebut adalah tidak benar, tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

“Hakikatnya beliau dan pemimpin-pemimpin PH ini takut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.


Hizatul Isham yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak ini mendakwa, kerajaan PH yang keliru sebelum ini dan kini tidak yakin dengan Statut Rom kerana ia memberi kesan negatif kepada kedaulatan negara lantas memburukkan lagi sokongan rakyat kepada kerajaan PH.

“Ini kerana setelah lebih sebulan menandatantangani Statut Rom ini, mereka baru mendengar nasihat daripada pakar-pakar Perlembagaan dan lain-lain dan mendapati bahawa sepatutnya sebelum menandatangani dan meratifikasi Statut Rom ini Perlembagaan perlu dipinda dan Majlis Raja-raja Melayu perlu dirujuk.

“Oleh itu tindakan mereka menandatangani Statut Rom sebelum ini tanpa membawa ke Parlimen untuk meminda Perlembagaan dan tanpa merujuk kepada Majlis Raja Melayu serta membelakangi Yang Dipertuan Agong adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan juga satu pengkhianatan kepada Yang Dipertuan Agong dan Negara.


“Oleh itu tindakan Undang-undang boleh diambil ke atas mereka kerana salah guna kuasa, pengkhianatan kepada negara dan percubaan menipu Yang Dipertuan Agong,” dakwanya.

Katanya lagi kerajaan tidak boleh lagi menyalahkan rakyat.

“Rakyat tidak akan percaya. Mereka perlu mengaku dan menyalahkan diri mereka sendiri.

“Namun nampaknya mereka masih angkuh dan tidak mahu mengaku salah malah masih menyalahkan orang lain. Maka mereka tidak akan belajar dari kesilapan ini, dan kesalahan-kesalahan seperti ini tentunya akan berlaku lagi.

“Rakyat dan negara yang akan rugi dengan kerajaan dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang sebegini,” ujar ujar pemegang Sarjana Dasar Awam (Politik,Ekonomi dan Undang-undang) dari Universiti Harvard ini

Pada 5 April kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Mengumumkan keputusan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku Perdana Menteri.

Katanya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/statut-rom-malaysia-tarik-diri-kerana-boleh-didakwa-khianati-institusi-raja-perlembagaan-dakwa-isham-jalil/

Akhbar dakwa MB Johor didesak letak jawatan



Akhbar dakwa MB Johor didesak letak jawatan
Akhbar News Straits Times (NST) hari ini mendakwa Datuk Osman Sapian didesak melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Johor selepas terpalit dengan beberapa kontroversi sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak termasuk pihak istana.
Akhbar berkenaan memetik satu sumber sebagai berkata, kontroversi itu timbul selepas Osman dikatakan gagal menangani krisis pencemaran Sungai Kim Kim bulan lalu hingga mengakibatkan 5,848 penduduk Pasir Gudang terpaksa mendapatkan rawatan selepas menyedut udara beracun.
Bukan itu sahaja, prestasi Menteri Besar itu juga telah diteliti sejak beberapa bulan lalu namun sehingga kini beliau dilihat masih gagal membentangkan pelan tindakan ekonomi negeri itu.
“Sultan tidak berpuas hati kerana sehingga kini Osman belum lagi mengemukakan pelan tindakan ekonomi negeri Johor, negeri ini diperintah seperti tiada arah dan tindakan beliau melawat Batam, Indonesia ketika krisis Sungai Kim Kim berlaku bulan lalu adalah kemuncak segala-galanya.
“Beliau dilihat seperti tidak bertanggungjawab kerana tidak mengumumkan sebarang peruntukan sebaliknya Sultan pula yang mengumumkan peruntukan RM1 juta. Insiden ini menyebabkan beliau hilang kepercayaan pihak istana,” dakwa sumber itu seperti dipetik Sinaronline.
Susulan krisis itu, seramai 120 penduduk di Pasir Gudang mengambil tindakan saman terhadap kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan kilang-kilang kerana kecuaian dalam menangani kes pencemaran berkenaan.
Semalam, Osman mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Pertemuan itu difahamkan berlangsung selama kira-kira 30 minit mulai jam 5.45 petang.
Difahamkan Osman memasuki pekarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada jam 3 petang.
Bagaimanapun, usaha wakil media yang menunggu di laluan pintu masuk utama JPM untuk mendapatkan komen Osman tidak berhasil apabila beliau dilaporkan keluar melalui laluan lain.
Sementara itu, memetik NST juga melaporkan, jika Osman melepaskan jawatan, beberapa nama lain sudah tersenarai untuk menggantikannya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kemanusiaan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr Sahruddin Jamal, 44, yang juga Adun Bukit Kepong (Bersatu) dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar, 51, yang merupakan Adun Semerah (PKR).
Nama yang turut disebut sejak November lalu untuk menggantikannya ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa daripada Bersatu.
Parti-parti PH memegang majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Johor iaitu 39 kerusi berbanding BN (16) dan Pas (1).
Pecahan 39 kerusi PH itu menyaksikan DAP mempunyai 14 kerusi diikuti Bersatu (11), Amanah (9) dan PKR (5).


Berita penuh https://malaysiadateline.com/akhbar-dakwa-mb-johor-didesak-letak-jawatan/

Banglo RM6 juta: 'Check' la kalau rumah saya, kata Mat Hasan



PRK RANTAU l Calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau Mohamad Hasan enggan mengesahkan sama ada sebuah banglo bernilai RM6 juta di Saujana Duta, Seremban 2 adalah miliknya seperti yang didakwa di media sosial.
“Tak tahu, check la sama ada saya punya ke tidak. Semua orang kata rumah saya sini rumah saya sana.
Check la kalau rumah saya, kalau bukan, bukan rumah saya. Saya malas (mengulas) la, cerita budak bodoh macam main pondok-pondok,” katanya kepada pemberita semasa berkempen di TUDM, Sendayan, hari ini.
Semalam, calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram meminta penjelasan Mohamad Hasan berhubung dakwaan calon BN itu memiliki rumah banglo di Seremban 2 yang memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau.
Streram yang juga timbalan pengerusi PKR Cabang Rembau mengulas gambar rumah Minangkabau tersebut yang ditularkan di media sosial.
Isu rumah bekas MB itu menjadi perbincangan PRK Rantau selepas Mohamad menyatakan rasa sedih apabila terpaksa meninggalkan kediaman rasminya susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.
Beliau kemudiannya menjelaskan dirinya tidak bermaksud untuk mengatakan tidak mampu membeli rumah.
"Saya kata saya tak ada tempat untuk dituju, bukannya tak ada duit.. Saya lupa beli rumah di Seremban," katanya.
Susulan kenyataan Mohamad itu, tular beberapa gambar dan video di media sosial mendakwa beliau memiliki sebuah banglo di Seremban 2.
Mengulas soalan wartawan bahawa beliau dicabar untuk mengemukan bukti bahawa rumah berkenaan bukan miliknya, Mohamad berkata, tidak ada keperluan bagi beliau berbuat demikian.
"Buat apa saya nak cabar-cabar, biar dia buang peluru dia. Buat apa saya nak buang peluru saya.
“Itu cara mereka nak memburuk nama saya dan mengaibkan saya. Daripada dulu lagi mereka buat begitu, tak payah la saya nak jadi budak-budak, mereka main pasir saya main abu.
“Buat apa, saya buat kerja saya tak akan terganggu dan ini cara mereka buat saya goyang dan buat konsentrasi saya terganggu,” katanya.
Sebelum ini, pada April lalu, Mohamad berkata tidak perlu bagi beliau mengisytiharkan asetnya sekadar hanya untuk pilihan raya kecil Rantau.
Menurutnya, beliau telah mengisytiharkan asetnya dengan SPRM ketika menjadi menteri besar, sebagai sebahagian daripada dasar kerajaan Negeri Sembilan, sebelum ini.

Malah, dakwanya, hartanya makin lama makin susut tidak bertambah hingga beliau terpaksa menjual rumah, kereta dan tanah untuk mengurangkan  komitmen susulan tidak ada pendapatan, kecuali pencen dan elaun wakil rakyat.
PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru yang melibatkan Mohamad, calon Pakatan Harapan Dr S Streram dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.
Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan untuk mengisytiharkan kemenangan Mohamad pada PRU lepas sebagai terbatal.
Ini berpunca daripada tindakan pegawai SPR menghalang Streram daripada memfailkan kertas pencalonannya pada pilihan raya umum 2018.

Sidang media manipulasi laporan kewangan LTAT, dijadual Khamis ini




AKMAL MANAF



Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihak Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan mengadakan sidang media pada Khamis ini, bertujuan memberi penjelasan ringkas berkenaan manipulasi dalam laporan kewangan LTAT.

Mohamad memaklumkan, Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed dijadual memberi penerangan dalam sidang media itu, namun tindakan kepada pihak terlibat belum diputuskan lagi.


“Khamis ini cuma sidang media… laporan penuh hanya akan dikeluarkan pada Jun atau Julai.. Kami terpaksa tangguhkan dari Mac kerana pihak audit perlu meneliti laporan berkenaan.

“Mengenai tindakan pihak yang memanipulasi laporan berkenaan, ia akan diumumkan nanti, tetapi bukan pada Khamis ini,” katanya secara ringkas ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya pemberita mengenai pendedahan laporan penuh kewangan LTAT, dan apakah tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab memanipulasi laporan itu.

Ahad lalu, Mohamad yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa laporan kewangan yang diisytihar ke atas LTAT pada 2018 adalah satu pembohongan.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/sidang-media-manipulasi-laporan-kewangan-ltat-dijadual-khamis-ini/

BAYANGKAN JIKA ADA PRK JUGA DI SEMUA KAWASAN PEMIMPIN UMNO…..


Belum pun Mohamad Hasan atau Tok mampu menjelaskan tentang wang RM10 juta yang dihantarnya ke London pada 2008 lalu serta kononnya beliau lupa membeli rumah di Seremban, kini timbul satu lagi dakwaan baru terhadapnya.
Ia ialah tentang sebuah rumah besar di Seremban 2 yang didakwa sebagai miliknya.
Sehingga ini Tok Mat yang merupakan calon BN PRK Rantau belum lagi tampil menjelaskan berkenaan rumah tersebut sama ada ia miliknya atau milik mana-mana ahli keluarganya.
Meskipun beberapa pemimpin UMNO cuba berhujah bahawa Tok Mat memang seorang yang kaya sebelum menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, persoalan utama ialah mengapa beliau menghantar wang ke London untuk membeli apartment menggunakan pengurup wang?
Mengapa tidak beliau tidak menggunakan bank bagi urusan pembelian tersebut?
Apa kelebihan pengurup wang berbanding bank?
Jika benar wang RM10 juta itu hasil miliknya yang tidak diragui, bukankah lebih selamat berurusan dengan baik berbanding pengurup wang?
Tetapi, daripada semua rentetan ini, yang menjadi tanda-tanya besar ialah berapakah jumlah kekayaan Tok Mat yang sebenar?
Sebagai Timbalan Presiden UMNO yang sedang memangku jawatan Presiden, ketelusan mengenai dirinya adalah penting untuk dinilai oleh rakyat.
Ini baru apartment dan rumah yang terdedah, bagaimana yang lain-lain?
Sejak bertukar kerajaan, semua pemimpin PH telah pun mengisytiharkan harta dan kekayaan mereka kepada SPRM dan ia boleh diakses oleh masyarakat umum untuk mengetahuinya.
Berikutannya, mereka diperlukan membuat pengisytiharan pada setiap tahun untuk mengetahui sama ada harta dan kekayaan itu bertambah atau sebaliknya.
Jika bertambah dengan mendadak misalnya, ia tentu boleh dipersoalkan bagaimana mereka memperolehinya.
Ini berbeza dengan era BN dahulu di mana pengisytiharan harta hanya dibuat kepada Perdana Menteri saja.
Dengan itu hanya Perdana Menteri dan bukan rakyat umum yang tahu jumlah harta serta kekayaan para pemimpin tersebut.
Dalam kes Tok Mat, satu demi satu keraguan mengenai kekayaannya hanyalah terdedah hanyalah kerana adanya PRK Rantau ini.
Jika tidak ada PRK Rantau, susah dan tiada keperluan juga untuk mendedahkannya, tambahan lagi Tok Mat sendiri dengan sinis berkata,”buat apa saya isytihar harta, saya bukan Menteri Besar lagi?”
Mengisytiharkan harta sebenarnya bukan semata-mata kerana masih ada jawatan dalam kerajaan atau tidak, tetapi selagi aktif dalam politik dan memegang jawatan dalam parti, ketelusan tentang kekayaan adalah penting untuk dinilai oleh rakyat jelata.
Namun, oleh kerana pemimpin UMNO rata-ratanya kaya belaka, maka mereka tidak mungkin sedia mengisytiharkan harta secara terbuka kepada SPRM sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PH sekarang ini.
Mujur ada PRK Rantau, maka terdedah jugalah sikit-sikit tentang kekayaan Tok Mat.
Jika tidak, kesian pengundi Rantau, baru mereka tahu rupa-rupanya wakil rakyat mereka ada rumah di London, walaupun kononnya lupa nak beli rumah di Seremban.
Bagaimana dengan pemimpin UMNO yang lain?
Dalam hal ini, cuba bayangkan jika ada PRK juga di semua kawasan pemimpin-pemimpin utama UMNO?
Barangkali ada yang akan lebih berpeluh berbanding Tok Mat kerana bukan saja kekayaan bakal terdedah, silap-silap ada isteri lain secara rahsia pun akan terdedah sama. (Shahbudindotcom 09/04/2019)

Laporan penuh LTAT akan didedahkan Jun atau Julai depan, kata Mohamad



Laporan penuh LTAT akan didedahkan Jun atau Julai depan, kata Mohamad
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata laporan penuh kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tahun lepas yang didakwa satu pembohongan akan didedahkan pada Jun atau Julai ini.
Beliau berkata pihaknya terpaksa menangguhkan laporan kewangan itu dari Mac disebabkan ia sedang diaudit.
“Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed akan buat sidang media pada Khamis ini.
“Tetapi bukan laporan penuh, hanya jawapan pendek,” katanya di lobi Parlimen hari ini dipetik FMT.
Semalam, Mohamad membetulkan laporan media yang memetik beliau sebagai berkata laporan audit LTAT tahun lepas adalah satu pembohongan kerana tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Beliau sebenarnya memaksudkan laporan kewangan LTAT, bukannya laporan audit seperti yang dilaporkan.
Mohamad berkata buat masa ini, beliau belum memutuskan tindakan yang akan diambil dari laporan yang tidak tepat didedahkan sebelum ini.
“Tetapi kita akan umumkan,” katanya.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/laporan-penuh-ltat-akan-didedahkan-jun-atau-julai-depan-kata-mohamad/#more

KENAPA TOK MAT BEGITU MENGHARAP NAJIB DATANG BERKEMPEN UNTUKNYA?


Secara tiba-tiba, calon BN PRK Rantau, Mohamad Hasan mahu Najib Razak datang melawat Bandar Sendayan sebagai sebahagian daripada acara kempen membantunya menjelang pengundian pada 13 April akan datang.
Sejak mengambil alih tugas memangku jawatan Presiden UMNO daripada Zahid Hamidi yang sedang bercuti, inilah kali pertama beliau seperti sangat mengharapkan bantuan daripada Najib.
Dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih, tidak pernah Mohamad Hasan atau Tok Mat menyebut mahu Najib datang berkempen atau mengalu-alukan kehadiran bekas Perdana Menteri itu.
Paling tidak dikatanya, tidak menjadi kesalahan atau masalah dengan kedatangan Najib itu kerana ia sebahagian daripada usaha membantu BN juga.
Di suatu ketika dalam kempen PRK Cameron Highlands misalnya, beliau mengatakan bukan UMNO yang menjemput kedatangan Najib, tetapi penduduk di situ yang berbuat demikian.
Dalam erti kata lain, Tok Mat tidaklah begitu mengalu-alukan sangat kehadiran bekas Perdana Menteri yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dan kini popular dengan jolokan “malu apa bossku” itu.
Berhubung keperluan untuk Najib datang melawat Bandar Sendayan, Tok Mat berkata, bandar tersebut dapat dibangunkan adalah atas usaha bekas Perdana Menteri itu selepas 1MDB membeli tanah di situ untuk dibangunkan sebuah pangkalan tentera udara yang baru.
“Jika tidak ada bantuan daripada kerajaan persekutuan sebelum ini, khususnya Najib, pembangunan Sendayan tidak akan dapat dijalankan seperti apa yang kita lihat sekarang,” jelasnya lagi.
Tetapi, mengapakah hanya dalam PRK Rantau ini di mana beliau sendiri yang bertanding, ternampak Tok Mat begitu mengharapkan kedatangan Najib?
Apakah beliau sendiri tidak mampu meyakinkan penduduk Sendayan untuk terus menyokongnya, sedangkan dirinya adalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini?
Untuk PRK Rantau ini, terdapat kira-kira 3,000 pengundi Melayu di Sendayan.
Jumlah tersebut adalah agak besar jika diambil kira hanya 53 peratus pengundi Melayu daripada keseluruhan 20,926 jumlah pengundi di Rantau.
Lantaran kedudukan itu, ramai yang mengatakan siapa yang mampu meraih sokongan majoriti daripada pengundi Sendayan, maka dialah akan menang pada 13 April nanti.
Apa masalah Tok Mat sebenarnya sehingga beliau begitu mengharapkan bantuan Najib?
Meskipun Tok Mat adalah Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini, tinjauan mendapati tidak sedikit penduduk Sendayan yang marah serta tidak puas hati kepadanya berhubung penjualan tanah dan pembinaan penempatan baru untuk peneroka Felda di situ.
Selain harga tanah, ramai yang agak kecewa dengan keadaan rumah yang disediakan untuk penempatan baru itu.
Ramai penduduk Sendayan melihat Tok Mat lebih memihak kepada pemaju daripada mengutamakan kepentingan peneroka Felda yang sedia menjual tanah mereka.
Untuk itu, sudah kedengaran bisik-bisik suara di Sendayan yang mahu “mengajarnya” dengan tidak memberi undi kepadanya dalam PRK Rantau ini.
Persoalan, mampukah Najib yang dikatakan berjasa mewujudkan pangkalan tentera udara dan mengubah Bandar Sendayan meredakan rasa tidak puas hati pengundi, seterusnya membantu kemenangan Tok dalam PRK Rantau ini? (Shahbudindotcom 02/04/2019)

BARU 10 BULAN JADI KERAJAAN, TAK SEPATUTNYA MALAYSIA BARU SUDAH TERPALIT RASUAH


Sebagaimana yang diakui sendiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, Setiausaha Politiknya kini telah ditahan SPRM berhudung dakwaan menerima rasuah seutas jam tangan berharga RM28 ribu.
Siasatan mendapati beliau didakwa menerima rasuah itu sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat memperolehi projek-projek di bawah kementeriannya.
Adalah dijangka Setiausaha Politik berkenaan akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk ditahan reman bagi siasatan lanjut.
Dengan kes melibatkan Setiausaha Politik Salahuddin ini, sekurang-kurangnya diketahui sudah ada tiga Setiausaha Politik era Malaysia Baru ini dikaitkan dengan dakwaan rasuah dan salah laku.
Sebelum ini, Setiausaha Politik Mohamad Sabu telah disiasat SPRM kerana didapati status muflisnya tiba-tiba selesai menjelang hari beliau mengangkat sumpah jawatannya.
Beliau bagaimanapun didapati tidak bersalah kerana dikatakan memperolehi pinjaman daripada rakan-rakan dan keluarga untuk menyelesaikan hutang muflisnya itu.
Kemudian, Setiausaha Politik di Kementerian Kerjaraya juga turut diadukan berkaitan salah lakunya dalam pemilihan PKR, baru-baru ini.
Seorang lagi Setiausaha Politik pula telah diarahkan berhenti oleh menterinya kerana didapati giat dalam mengatur projek-projek di bawah kementerian di mana beliau bertugas.
Menteri tersebut yang dikatakan kurang senang dengan perlakuan Setiausaha Politiknya itu telah mengarahkannya meletakkan jawatan dan menggantikan dengan individu lain.
Baru 10 bulan menjadi kerajaan, adalah sesuatu yang menyedih dan memalukan berlakunya kejadian-kejadian seperti ini.
Ini kerana ketika kempen-kempen PRU14, PH lalu telah menjanjikan antara lainnya ialah sebuah kerajaan yang bersih dan bebas daripada rasuah untuk negara ini.
Itu baru yang kita ketahui dan terdedah kepada umum. Mungkin yang masih tersembunyi lebih dahsyat lagi.
Meskipun ada yang sudah dibersihkan nama dan tidak diteruskan siasatan, tetapi banyaknya berlaku kejadian ini sedikit-sebanyak akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap PH.
Rakyat akan melihat PH bukan saja tidak berbeza dengan BN, malah dilihat lebih dahsyat lagi kerana baru 10 bulan menjadi kerajaan pun sudah banyak berlaku amalan-amalan tidak sihat itu.
Dalam hal ini bukan saja menteri-menteri harus berpegang kepada etika dan intergriti yang tinggi, lebih daripada itu, mereka juga sepatutnya melantik pegawai-pegawai di kementerian daripada kalangan yang bersih dan boleh diyakini saja.
Janganlah semata-mata kerana kawan baik dan sama-sama susah ketika dalam pembangkang dulu, maka setelah berjaya menjadi kerajaan lalu mereka itu diberikan jawatan serta kedudukan.
Malaysia Baru haruslah bersih dan berbeza dengan BN dahulu. Apatah lagi Perdana Menteri sebelum ini pernah berkata kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan yang bebas daripada rasuah.
Sekarang apa sudah jadi?
Baru RM28 ribu pun sudah gelap mata tanpa memikirkan nama baik keluarga, parti, perjuangan dan kerajaan yang didokong, bagaimana jika ditawarkan habuan berjuta-juta?
Akhirnya, apakah kejadian ini memberi pengajaran kepada mereka yang lain dalam kerajaan Malaysia Baru ini?
Kerajaan harus menunjukkan ketegasan dan tidak bertolak ansur dalam perkara ini. Sebelum kejadian ini menjadi barah yang boleh membunuh masa depan PH, mereka yang durjana dan menjadi petualang dalam Malaysia Baru ini haruslah disingkirkan dengan segera.
Belum terlambat untuk Perdana Menteri  melakukan pembersihan, tidak kira sama ada mereka itu menteri, timbalan menteri, setiausaha politik, pegawai-pegawai menteri atau sesiapa saja, sebelum rakyat menolak kedurjanaan itu melalui peti-peti undi. (Shahbudindotcom 02/04/2019)