Monday, January 28, 2019

Muhasabah untuk PH dengan “taubat nasuha”





FAKHRUL RAZI HAMDANJanuary 29, 2019 8:26 am





Fakhrul Razi Hamdan

PRK Parlimen Cameron Highlands melabuhkan tirainya dengan keputusan rasmi Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU-14.

Jika kemenangan BN di kerusi tersebut dalam PRU lepas dikaitkan dengan salah laku rasuah. Adakah kemenangan BN kali ini pula atas sebab kekuatan BN?


Pada pandangan saya jawapannya tidak, tetapi kemenangan BN ini adalah kerana kelemahan strategi politik Pakatan Harapan (PH) dalam usaha merampas kerusi tersebut daripada BN.


Umno paling lemah dalam sejarah, presidennya direhatkan dan digantikan pemangku yang nasibnya juga seperti telur di hujung tanduk, Najib Razak dan beberapa pimpinan tertinggi Umno diheret Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghadapi puluhan tuduhan di mahkamah.

Pada ketika, MCA dan MIC juga hampir lumpuh secara keseluruhannya, PH gagal menambat sokongan penduduk di Cameron Highlands terutama dalam kawasan Dun Jelai.

Kelemahan calon PH

Kelemahan utama PH dalam PRK kali ini adalah faktor calon sendiri. Kegagalan PH menampilkan calon muka baharu dan mengekalkan calon yang sudah tewas beberapa kali dan telah ditolak rakyat ternyata memakan diri.

Kelemahan calon jelas ditunjukkan bermula hari pertama kempen hinggalah hari pengundian dijalankan. Bermula dari beberapa ucapannya yang telah memperkecilkan sesetengah pihak sehinggalah hal memakai baju berlambang parti ketika melawat pusat mengundi. Secara jelas ini memberikan kesan besar kepada pengundi terutama di kawasan-kawasan kampung.
Loading...

Sentimen kaum dan agama

Dalam keadaan isu perkauman dan agama yang sedang hangat, ternyata BN lebih bijak membaca bacaan politik setempat apabila sebelum ini menampilkan calon berbangsa India dan bukan Islam.

Namun, pada 26 Januari lalu, BN mengetengahkan calon baharu daripada keturunan Orang Asli. Terbukti keputusan tersebut berjaya menyelamatkan mereka daripada serangan berunsur perkauman berbanding calon PH yang teruk dikaitkan dengan isu-isu bangsa dan agama.

Tidak boleh dinafikan, di kawasan luar bandar terutama dalam kampung-kampung tradisi, isu perkauman dan agama “laku keras” dan digunakan secara hebat oleh BN dan rakan kerjasama mereka Pas yang membantu rapat dalam kempen prk ini.

Kurang menerang

Dalam PRK Parlimen Cameron Highlands lalu, PH dilihat lebih banyak menyerang berbanding menerang. Dalam siri ceramah yang diadakan, para penceramah PH lebih banyak memburuk-burukkan BN dan bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak berbanding menerang kejayaan-kejayaan yang dicapai dalam lapan bulan pertama pemerintahan kerajaan di peringkat pusat dan negeri-negeri yang dikuasai PH.

Pada hari terakhir kempen, Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga turut melakukan serangan terdesak terhadap rekod hutang kerajaan Pahang yang diterajui BN melalui kenyataan rasmi Kementerian Kewangan.


Tidak sedarkah pimpinan PH bahawa rakyat terutama masyarakat kampung lebih berahi untuk mengetahui kejayaan dan usaha-usaha membantu mempertingkatkan kehidupan rakyat berbanding permainan politik dendam.


Pengundi di Parlimen Cameron Highlands lebih terkesan dengan isu ‘perut’ dan ‘poket’.

Gagal kuasai isu setempat

Masyarakat di luar bandar kurang terkesan dengan isu-isu nasional. Apabila PH menggunakan isu nasional seperti penyelewengan Tabung Haji, skandal rasuah pemimpin Umno BN dan skandal 1MDB jelas tidak terkesan kepada pengundi di kawasan kampung apa lagi di pedalaman.

Isu yang lebih dekat dengan mereka adalah segala hal berkaitan perut dan poket mereka seperti isu harga komoditi getah dan kelapa sawit kerana ramai daripada kalangan mereka adalah penoreh getah dan menanam kelapa sawit.

Seperti yang diketahui umum, kejatuhan harga komoditi ini memberi kesan kepada penduduk kampung yang bergantung pendapatan dengan hasil daripadanya.



Ramli Md Noor cipta rekod Orang Asli pertama jadi wakil rakyat.

Malah sehingga hari ini tiada usaha yang ampuh dilihat daripada kerajaan pusat pimpinan PH untuk menanganinya dan tidak ada khabar baik yang mampu menarik undi daripada penoreh getah dan penanam kelapa sawit.

Apabila dianalisa segala kelemahan ini bukanlah bertujuan menyalahkan mana-mana pihak dan mencari kesalahan. Namun, apa yang lebih utama adalah bagaimana PH di setiap peringkat bermuhasabah dan melihat realiti sebenar yang perlu diutamakan.

Dasar-dasar perpaduan rakyat masih lagi tidak membumi dalam kalangan masyarakat awam. Lalu perlu dilihat juga mekanisme muhasabah yang diambil itu benar-benar berkesan atau bersifat ampu dan sekadar untuk menyedapkan hati pihak atasan semata-mata.

Muhasabah biarlah dengan “taubat nasuha” atau erti kata benar-benar muhasabah dan berusaha kembali kepada prinsip asal perjuangan PH membina semula negara ini.

* Penulis merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Melaka.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/muhasabah-untuk-ph-dengan-taubat-nasuha/

No comments:

Post a Comment