Sunday, January 6, 2019

Gamis sedia ajar Wan Saiful urus PTPTN



(Dikemaskini )

Pada 24 November yang lalu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersama 400 mahasiswa daripada pelbagai kampus telah berarak daripada Masjid Jamek hingga ke Menara PTPTN untuk memberikan amaran kepada Wan Saiful Wan Jan dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membatalkan polisi pembayaran hutang PTPTN yang menzalimi anak muda Malaysia.

Apa yang kami perjuangkan bukan sekadar menuntut kerajaan PH tunaikan janji, bahkan ia adalah keperluan yang mendesak buat semua anak muda graduan IPT untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN sehingga ekonomi mereka stabil seperti yang dijelaskan oleh Bank Negara Malaysia.
Kami mahasiswa kecewa dengan sikap pengerusi PTPTN yang telah menikmati gaji yang besar namun malas berfikir untuk mencari jalan keluar daripada polisi yang menekan anak muda khususnya graduan IPTA dan IPTS di seluruh negara.
Pengerusi PTPTN terlalu banyak memberikan alasan, sibuk mencari salah orang lain dan tidak nampak usaha yang dilakukan untuk meminda polisi yang menekan anak muda.
Kami juga kecewa dengan kenaifan pengerusi PTPTN dalam hal ehwal konsep hutang yang telah digariskan oleh Islam melalui dalil al-Quran yang sahih dan sarih (jelas).
Allah SWT berfirman: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Surah al-Baqarah: 280)
Rasulullah SAW juga telah bersabda: “Barangsiapa memberi tempoh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunaskan hutang atau membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.” (Riwayat Muslim)
Allah SWT secara jelas telah memerintahkan kepada orang yang memberi hutang untuk memberikan ruang masa kepada orang yang berhutang sehingga mereka mampu untuk keluar daripada kesempitan hidup mereka.
Ini adalah tanggungjawab utama bagi pihak kerajaan dan PTPTN, bukan memaksa dan memeras ugut anak muda Malaysia.
Menzalimi anak muda Malaysia
Bank Negara Malaysia telah merekodkan di dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bahawa seorang dewasa bujang perlu memperoleh RM2,700 sebulan sebagai gaji minimum untuk menyewa bilik, makan di luar, memasak sekali sekala dan menggunakan pengangkutan awam.
Menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016), sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang bekerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah sarjana muda mempunyai pendapatan RM2,000 dan ke bawah.
Ini adalah fakta jelas yang Wan Saiful kena belajar dan fahami bahawa graduan IPT kebanyakannya berpendapatan di bawah paras gaji minimum seperti yang telah ditetapkan oleh Bank Negara.
Sekiranya polisi mekanisme pembayaran hutang PTPTN PH diteruskan, maka ia akan menzalimi hidup anak muda Malaysia.
Kami daripada Gamis bersedia untuk mengajar Wan Saiful bagaimana untuk mengurus PTPTN dan membantu ekonomi anak muda Malaysia sekiranya beliau masih terbuka hati untuk menunaikan janji.
Gamis kecewa dengan sikap ambil mudah pengerusi PTPTN yang terlalu malas untuk mengadakan sidang meja bulat bersama pemegang taruh di seluruh Malaysia.
Apa yang beliau sibuk lakukan selepas menikmati gaji yang besar ialah menjaja di merata tempat bahawa mekanisme untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN adalah mustahil.
Himpunan pada 24 November yang lalu hanyalah amaran awal buat Wan Saiful dan kerajaan PH. Sekiranya kerajaan masih angkuh, melaksanakan polisi yang menzalimi anak muda, dan hanyut dengan kemewahan gaji yang besar, Gamis tidak akan teragak-agak untuk mengadakan himpunan yang lebih besar daripada ini.

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai merupakan Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis). 
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment