Monday, January 28, 2019

Muhasabah untuk PH dengan “taubat nasuha”





FAKHRUL RAZI HAMDANJanuary 29, 2019 8:26 am





Fakhrul Razi Hamdan

PRK Parlimen Cameron Highlands melabuhkan tirainya dengan keputusan rasmi Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU-14.

Jika kemenangan BN di kerusi tersebut dalam PRU lepas dikaitkan dengan salah laku rasuah. Adakah kemenangan BN kali ini pula atas sebab kekuatan BN?


Pada pandangan saya jawapannya tidak, tetapi kemenangan BN ini adalah kerana kelemahan strategi politik Pakatan Harapan (PH) dalam usaha merampas kerusi tersebut daripada BN.


Umno paling lemah dalam sejarah, presidennya direhatkan dan digantikan pemangku yang nasibnya juga seperti telur di hujung tanduk, Najib Razak dan beberapa pimpinan tertinggi Umno diheret Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghadapi puluhan tuduhan di mahkamah.

Pada ketika, MCA dan MIC juga hampir lumpuh secara keseluruhannya, PH gagal menambat sokongan penduduk di Cameron Highlands terutama dalam kawasan Dun Jelai.

Kelemahan calon PH

Kelemahan utama PH dalam PRK kali ini adalah faktor calon sendiri. Kegagalan PH menampilkan calon muka baharu dan mengekalkan calon yang sudah tewas beberapa kali dan telah ditolak rakyat ternyata memakan diri.

Kelemahan calon jelas ditunjukkan bermula hari pertama kempen hinggalah hari pengundian dijalankan. Bermula dari beberapa ucapannya yang telah memperkecilkan sesetengah pihak sehinggalah hal memakai baju berlambang parti ketika melawat pusat mengundi. Secara jelas ini memberikan kesan besar kepada pengundi terutama di kawasan-kawasan kampung.
Loading...

Sentimen kaum dan agama

Dalam keadaan isu perkauman dan agama yang sedang hangat, ternyata BN lebih bijak membaca bacaan politik setempat apabila sebelum ini menampilkan calon berbangsa India dan bukan Islam.

Namun, pada 26 Januari lalu, BN mengetengahkan calon baharu daripada keturunan Orang Asli. Terbukti keputusan tersebut berjaya menyelamatkan mereka daripada serangan berunsur perkauman berbanding calon PH yang teruk dikaitkan dengan isu-isu bangsa dan agama.

Tidak boleh dinafikan, di kawasan luar bandar terutama dalam kampung-kampung tradisi, isu perkauman dan agama “laku keras” dan digunakan secara hebat oleh BN dan rakan kerjasama mereka Pas yang membantu rapat dalam kempen prk ini.

Kurang menerang

Dalam PRK Parlimen Cameron Highlands lalu, PH dilihat lebih banyak menyerang berbanding menerang. Dalam siri ceramah yang diadakan, para penceramah PH lebih banyak memburuk-burukkan BN dan bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak berbanding menerang kejayaan-kejayaan yang dicapai dalam lapan bulan pertama pemerintahan kerajaan di peringkat pusat dan negeri-negeri yang dikuasai PH.

Pada hari terakhir kempen, Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga turut melakukan serangan terdesak terhadap rekod hutang kerajaan Pahang yang diterajui BN melalui kenyataan rasmi Kementerian Kewangan.


Tidak sedarkah pimpinan PH bahawa rakyat terutama masyarakat kampung lebih berahi untuk mengetahui kejayaan dan usaha-usaha membantu mempertingkatkan kehidupan rakyat berbanding permainan politik dendam.


Pengundi di Parlimen Cameron Highlands lebih terkesan dengan isu ‘perut’ dan ‘poket’.

Gagal kuasai isu setempat

Masyarakat di luar bandar kurang terkesan dengan isu-isu nasional. Apabila PH menggunakan isu nasional seperti penyelewengan Tabung Haji, skandal rasuah pemimpin Umno BN dan skandal 1MDB jelas tidak terkesan kepada pengundi di kawasan kampung apa lagi di pedalaman.

Isu yang lebih dekat dengan mereka adalah segala hal berkaitan perut dan poket mereka seperti isu harga komoditi getah dan kelapa sawit kerana ramai daripada kalangan mereka adalah penoreh getah dan menanam kelapa sawit.

Seperti yang diketahui umum, kejatuhan harga komoditi ini memberi kesan kepada penduduk kampung yang bergantung pendapatan dengan hasil daripadanya.



Ramli Md Noor cipta rekod Orang Asli pertama jadi wakil rakyat.

Malah sehingga hari ini tiada usaha yang ampuh dilihat daripada kerajaan pusat pimpinan PH untuk menanganinya dan tidak ada khabar baik yang mampu menarik undi daripada penoreh getah dan penanam kelapa sawit.

Apabila dianalisa segala kelemahan ini bukanlah bertujuan menyalahkan mana-mana pihak dan mencari kesalahan. Namun, apa yang lebih utama adalah bagaimana PH di setiap peringkat bermuhasabah dan melihat realiti sebenar yang perlu diutamakan.

Dasar-dasar perpaduan rakyat masih lagi tidak membumi dalam kalangan masyarakat awam. Lalu perlu dilihat juga mekanisme muhasabah yang diambil itu benar-benar berkesan atau bersifat ampu dan sekadar untuk menyedapkan hati pihak atasan semata-mata.

Muhasabah biarlah dengan “taubat nasuha” atau erti kata benar-benar muhasabah dan berusaha kembali kepada prinsip asal perjuangan PH membina semula negara ini.

* Penulis merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Melaka.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/muhasabah-untuk-ph-dengan-taubat-nasuha/

Israel negara penjenayah yang perlu dikecam, kata Mahathir





BernamaJanuary 29, 2019 7:00 am



Ketika membangkitkan mengenai kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Israel adalah sebuah negara penjenayah yang wajar dikecam.

“Saya mohon kepada mereka yang bersimpati dengan perjuangan masyarakat Palestin agar menyuarakan kecaman mereka. Keganasan bukanlah satu jawapan. Satu Strategi yang betul diperlukan untuk memberikan keadilan kepada rakyat Palestin,” kata Perdana Menteri dalam satu posting di blognya semalam.

Dalam satu tulisan yang agak keras bertajuk ‘A Genocidal State’, Dr Mahathir berkata, seluruh dunia dapat melihat ketidakadilan dan penindasan yang dilakukan Israel terhadap Palestin tetapi Israel tidakpun dikritik oleh mereka yang bercakap mengenai kebebasan dari ketidakadilan dan ‘kedaulatan undang-undang’.


Israel seperti ada hak istimewa. Jika ada pihak mengkritik Israel ataupun holocaust, dia akan terus dilabelkan sebagai anti Yahudi. Memberi implikasi orang itu tidak berperikemanusiaan ataupun tidak bermoral.Tetapi tindakan tidak berperikemanusiaan secara terang-terangan yang dilakukan Israel tidak dikutuk,” katanya.

Malaysia bukan anti-Yahudi atau anti-Semitik, kata beliau, sambil menyatakan orang Arab juga adalah kaum Semitik.

“Tetapi kita berhak untuk mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan di mana-mana, oleh sesiapa sahaja. Kita telah mengutuk rakyat Myanmar atas perbuatan mereka terhadap Rohingya. Kita mengkritik banyak negara dan orang atas perbuatan tidak berperikemanusiaan.

“Ramai orang dan banyak negara telah mengutuk kita. Tetapi kita tidak pernah dilabelkan atau melabel orang yang bersuara perkara benar dalam dunia yang bebas,” kata Dr Mahathir.


Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa telah membatalkan hak Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan pada 29 Julai hingga 4 Ogos di Kuching selepas Malaysia menyatakan pendirian tidak akan membenarkan atlet Israel menyertainya.
Loading...

“Malaysia halang dua atlet Israel – AS mengharamkan rakyat lima negara Islam dan merancang untuk membina tembok menghalang rakyat Amerika Selatan.

“Hungary, Poland dan Republik Czech mengharamkan kemasukan pelarian. Perdana Menteri Hungary Viktor Orban merujuk pelarian Syria sebagai ‘Muslim Penceroboh’,” katanya merujuk situasi sekarang yang tidak munasabah.

Menyedari tentang sokongan kuat terhadap Israel, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak boleh melawan Israel selain enggan mengiktirafnya, tetapi menyatakan Kuala Lumpur mempunyai hak untuk menghalang kemasukan rakyat Israel ke negara ini.

“Apabila dunia mengutuk kita kerana perkara ini, kita berhak untuk mengatakan dunia kini bersikap hipokrit. Laungan mereka mengenai hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang hanyalah omong kosong,” kata Perdana Menteri.

Kepada mereka yang terlupakan sejarah, Dr Mahathir mengingatkan mereka Israel wujud dari sekeping tanah Palestin tanpa sebarang referendum atau pungutan suara diadakan, dengan rakyat Palestin dihalau dari bumi Palestin tanpa sebarang pampasan untuk tanah dan rumah yang dirampas oleh Israel.

Katanya, Israel kemudiannya merampas lebih banyak tanah Palestin supaya Israel menjadi lebih besar, membina lebih banyak penempatan di bumi Palestin tanpa persetujuan negara Palestin.

“Apabila rakyat Palestin menentang dan melemparkan batu ke arah kereta kebal dan kereta perisai Israel, askar Israel menembak menggunakan peluru hidup terhadap anak-anak Palestin dan menangkap mereka. Mereka ditahan bertahun-tahun tanpa dibicarakan,” katanya.


Dr Mahathir merujuk kepada sekatan secara haram terhadap Gaza, tetapi tidak ada negara yang mengutuk Israel kerana melanggar undang-undang dan tatasusila antarabangsa.

“Kini Israel isytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara mereka. Apabila rakyat Palestin menampar tentera Israel, mereka ditembak mati dan ramai yang ditahan,” katanya sambil menambah rakyat Palestin tidak boleh melawat saudara mereka tanpa terlepas daripada pemeriksaan yang memalukan di pelbagai pusat pemeriksaan yang dibina Israel.

Apabila orang Palestin melepaskan roket yang tidak berkesan ke arah Israel, beliau berkata, Israel akan menggugurkan bom dan menembak peluru berpandu ke arah bandar-bandar dan perkampungan Palestin, menghancurkan sekolah dan hospital serta membunuh dan mencacatkan pesakit dan kanak-kanak.

Katanya, beribu-ribu rakyat Palestin telah dibunuh atau cedera akibat tindakan ketenteraan.

Semua ini, katanya, adalah jawapan kenapa Malaysia tidak mengiktiraf Israel, tidak mempunyai hubungan diplomatik, tidak membenarkan rakyat Malaysia melawat Israel ataupun sebaliknya.


“Inilah satu-satunya negara di dunia yang dilayan Malaysia seperti ini,” kata Dr Mahathir.- BERNAMA



Berita penuh https://malaysiadateline.com/israel-negara-penjenayah-yang-perlu-dikecam-kata-mahathir/#more

Tuesday, January 15, 2019

Selepas Umno, Pas pula bantah pelantikan Eric Paulsen wakili Malaysia dalam AICHR





MALAYSIADATELINEJanuary 15, 2019 12:29 pm

Nasrudin Hassan


Parti Islam Se-Malaysia (Pas) membantah sekeras-kerasnya pelantikan Eric Paulsen sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asena Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2019-2021.

Ketua Penerangan Nasrudin Hassan berkata, pengasas Lawyer for Liberty (LFL) itu tidak layak mewakili negara untuk bercakap mengenai hak asasi manusia kerana dakwanya sering menghina Islam.


“Apa motif sebenar YB Menteri Luar untuk melantik Eric Paulsen?


“Umum mengetahui, Pas dan banyak NGO telah membantah ICERD. ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa yang mahu diratifikasi oleh Menteri Luar walaupun ditolak sendiri oleh YAB Perdana Menteri.

“Kini, beliau sengaja sekali lagi membuat provokasi dengan melantik individu yang biadap dan menghina Islam bagi mewakili negara untuk bercakap mengenai hak asasi manusia di Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.


Eric Paulsen

Beliau mengulas pelantikan Eric Paulsen sebagai wakil baharu Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) oleh kerajaan Pakatan Harapan yang mendapat mandat daripada Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut Nasrudin lagi, Pas mahu umat Islam bangkit menolak pelantikan Eric Paulsen dan menggesa Menteri Luar membatalkan pelantikan tersebut.


“Apa yang membimbangkan rakyat adalah segelintir menteri cuba membawa doktrin liberal dan anti Islam sebagai tokoh negara.
Loading...

“Walhal, Malaysia mempunyai sendi utama yang berteraskan Islam, Melayu dan Raja Berperlembagaan.” katanya.

Semalam dua pemimpin Umno mempertikaikan pelantikan Eric Paulsen antaranya Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki.

Dr Asyraf berkata, pelantikan yang dibuat oleh Saifuddin itu dianggap tidak bertepatan dengan sikap Eric yang anti Islam di negara ini.

Manakala Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut menyifatkan Pengarah Undang-Undang Fortify Liberty itu sebagai seorang yang sangat kontroversi selain mempunyai perspektif dan pandangan sangat liberal.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/selepas-umno-pas-pula-bantah-pelantikan-eric-paulsen-wakili-malaysia-dalam-aichr/

Hadi turun kempen sokong calon BN Ahad ini





Bernama, MALAYSIADATELINEJanuary 16, 2019 1:00 pm



pas mengulangi pendirian akan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Januari ini, meskipun undi Pas bukan penentu kemenangan BN dalam PRK itu.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau sendiri akan turun berkempen Ahad ini sebagai tanda sokongan kepada pihak pembangkang bagi memenangi PRK itu.

“Sama ada undi Pas akan menjadi penentu atau tidak, ia hanya akan diketahui selepas ‘post mortem’ dibuat selepas PRK ini.


“Tapi untuk PRK (Cameron Highlands), Insya-Allah, kita akan memberi kerjasama kepada calon parti pembangkang (atas dasar) beliau (sebenarnya) tidak mewakili Umno, PAS atau mana-mana parti (tetapi) hanya menggunakan simbol Barisan Nasional… Insya-Allah saya akan turun sendiri berkempen pada Ahad ini,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari dan perasmian Dewan Dato’ Seri Tuan Guru di Darul Iman Training Centre (DITC), Teluk Kalong, Kemaman, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Sosial Terengganu, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Shuhaimi Embong.


PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran yang mewakili PH, bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor (BN); bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib; serta petani Wong Seng Yee yang masing-masing bertanding atas tiket Bebas.
Loading...

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu. — Bernama



Berita penuh https://malaysiadateline.com/hadi-turun-kempen-sokong-calon-bn-ahad-ini/

Bajet RM12j kepada SPC satu ujian operasional Rahmatan Lil ‘Alamin


Ustaz Ali MudaJanuary 14, 2019 6:37 am



Apabila tersiarnya berita Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM12j kepada Sekolah Persendirian Cina (SPC), sambutan terhadapnya bersimpang-siur. Bagi masyarakat Cina, sudah tentu ia berita gembira yang mereka tunggu-tunggu sejak lama.

Manakala respon masyarakat Melayu pula terbahagi kepada dua. Yang pertama melihat kewajaran peruntukan itu memandangkan SPC tidak pernah diberi bantuan kerajaan sebelum ini atas alasan ia sekolah swasta. Walaupun mereka sedar SPC adalah sekolah swasta, namun mereka berpendapat anak-anak Cina rakyat Malaysia juga layak mendapat bantuan kerajaan berdasarkan sumbangan cukai yang mereka bayar kepada kerajaan. Pandangan ini merupakan pandangan progresif orang Melayu yang menerima hakikat negara ini adalah sebuah negara yang dikongsi bersama oleh seluruh warganya tanpa mengira ras atau asal-usul.

Respon kedua masyarakat Melayu pula bertentangan sama sekali dengan respon pertama. Mereka berpendapat SPC tidak layak menerima apa-apa bantuan kerajaan kerana ia merupakan sekolah swasta dan sudah kaya-raya. Sumbangan yang diterima pertama kali oleh SPC sebanyak lebih kurang RM200,000.00 bagi sebuah sekolah (RM12 juta dibahagikan dengan 60 buah SPC di seluruh negara) adalah satu pengkhianatan kerajaan kepada bangsa Melayu, menurut mereka.


Mereka membandingkan sumbangan kepada SPC dengan sumbangan yang diperolehi sekolah pondok berdaftar sebanyak RM25 juta. Untuk rekod, semakan penulis terhadap portal Yayasan Pondok Malaysia terdapat lebih kurang 231 buah pondok seluruh negara. Angka tepat tidak diperolehi kerana ada juga pondok merupakan sekolah tahfiz. Jumlah sumbangan RM25 juta tersebut apabila dibahagikan kepada 231 buah sekolah ialah RM108,225.00. Ini sudah tentu jauh berbeza bila dibandingkan dengan SPC yang mendapat RM200,000.00 sebuah. Inilah yang menyebabkan warga Melayu mengamuk di alam maya menuduh kerajaan sudah tunduk kepada kemahuan Cina DAP dan telah mengkhianati bangsa Melayu. Mereka juga menyindir Menteri Pendidikan YB Dr Maszlee Malik sebagai menteri u-turn kerana meluluskan semula peruntukan RM12 juta kepada SPC itu selepas desakan oleh wakil DAP.

Namun kita tidak seharusnya terperangkap dengan sentimen ketuanan Melayu secara berlebihan. Pemikiran yang rasional dan wajar berdasarkan prinsip ketelusan dan keadilan sebagai mana yang diajar oleh Islam hendaklah dipasak di dalam minda Melayu dan diamalkan secara saksama dalam kehidupan.

Sebelum kita pergi lebih jauh membicarakan konsep keadilan dalam Islam, eloklah kita mengkaji segala peruntukan yang telah diberikan kepada pendidikan orang Melayu selama ini yang mungkin sebahagian mereka tidak mensyukuri.

Berdasarkan Belanjawan 2019, Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) memperoleh sebanyak RM250 juta, Sekolah Berasrama Penuh (SBP, 69 buah seluruh negara) mendapat RM50 juta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM 59 buah seluruh negara) mendapat RM50 juta, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) RM50 juta, sekolah tahfiz RM50 juta dan sekolah pondok berdaftar RM25 juta. Jika dijumlahkan keseluruhan bajet penyelenggaran pendidikan yang dianugerahkan kerajaan kepada sekolah-sekolah orang Melayu dan bumiputera ialah sebanyak RM475 juta (72.9 % daripada keseluruhan bajet pendidikan RM652 juta).


Manakala peruntukkan yang disalurkan untuk sekolah Cina dan India ialah sebanyak RM177 juta sahaja (27.1 %). Ini berdasarkan kiraan RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), RM50 juta untuk Sekolah Mubaligh, RM15 juta untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan RM12 juta untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).


Loading...

Sebenarnya kategori Sekolah Mubaligh (sekolah-sekolah zaman penjajah yang asalnya ditadbir oleh misionari Kristian diambil alih oleh kerajaan seperti SMK Methodist, SMK La Salle, SMK Victoria, Penang Free School dan lain-lain lagi) tidak boleh dikategorikan sebagai sekolah Cina kerana sekolah tersebut merupakan sekolah campur yang ada di antaranya murid Melayu merupakan majoriti). Namun ini seimbang dan memadai apabila fakta menunjukkan SK dan SMK juga bukanlah sekolah orang Melayu sahaja kerana ramai murid Cina dan India bersekolah di SK dan SMK.
Jika dikeluarkan Sekolah Mubaligh daripada senarai sekolah Cina dan India yang mendapat peruntukan kerajaan, sudah tentu ratio mereka bertambah kecil iaitu cuma RM127 juta sahaja (19.5%).
Kaum Melayu yang tidak berpuas hati dengan pemberian untuk SPC sebanyak RM12 juta itu menjadikan hasil pecahan untuk sekolah pondok yang amat kecil jika dibandingkan dengan pecahan yang diperolehi SPC. Dalam kalangan mereka ada yang mendakwa RM25 juta apabila dibahagikan dengan 861 buah pondok seluruh negara hanyalah berjumlah RM29,036.00 sahaja. Sedangkan RM12 juta apabila dibahagikan dengan 60 buah SPC, setiap SPC mendapat RM200,000.00.

Sebenarnya manipulasi angka dan penyembunyian fakta telah berlaku di sini. Bilangan sekolah pondok berdaftar menurut rekod Yayasan Pondok Malaysia cuma lebih kurang 231 buah (angka tidak dapat dipastikan kerana ada pondok yang termasuk dalam kategori sekolah tahfiz), bukannya 861 buah. Jadi pecahan yang sekolah pondok akan perolehi ialah sebanyak lebih kurang RM108,225.000.
Sudah tentu RM108,225.00 adalah jauh lebih kecil berbanding RM200,000.00. Namun kita masih dikira memanipulasi fakta jika kita mendiamkan peruntukan yang diberikan untuk SBP, MRSM, SABK dan Tahfiz yang dimanfaatkan oleh anak-anak Melayu (jumlah murid Cina dan India di SBP dan MRSM tersangat kecil dan tiada langsung murid Cina dan India bukan Islam di SABK dan Tahfiz).
Kaum Melayu yang tidak berpuas hati bising dengan peruntukan RM200,000.00 sebuah SPC, tetapi mereka diam terhadap peruntukan purata RM724,637 sebuah SBP dan purata RM847,457 sebuah MRSM. Mereka berhujah SPC sekolah swasta yang sudah kaya, tetapi mereka tidak menyebut kaum Cina dan India tiada sekolah SBP dan MRSM dan tempat mereka di kedua-dua kategori sekolah itu sangat minimum iaitu tidak sampai 5%.

Persoalannya sekarang, adakah masih tidak adil bagi kaum Melayu dan bumiputera jika mereka menikmati lebih daripada 72.9% daripada keseluruhan bajet pendidikan RM652 juta (iaitu lebih daripada RM475 juta) sedangkan kaum Cina dan India hanya menikmati 27.1% (RM177 juta) atau kurang? Adakah adil namanya jika kaum Melayu membolot semua bajet pendidikan kerajaan dan membiarkan kaum lain ‘mencari makan sendiri’ tanpa sedikit pun bantuan kerajaan? Bukankah selama ini mereka di SPC telah mencari makan sendiri tanpa sedikit pun bantuan kerajaan?
Memang benar SPC adalah sekolah swasta, tetapi sekolah tahfiz dan pondok juga sekolah swasta. Kekayaan SPC adalah hasil pengorbanan ibu bapa dan masyarakat mereka yang membuat pelaburan masa depan atas kepercayaan masyarakat Cina ‘pelajaran adalah wang masa depan’.


Ketika sekolah-sekolah anak Melayu yang dibiayai kerajaan sepenuhnya baru lima tahun kebelakangan mengorak langkah mewujudkan KSIB (Kumpulan Sokongan Ibu Bapa) dan kempen PIBK (Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti) melalui program e-Sarana PIBG yang merupakan satu inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, sekolah-sekolah swasta Cina sudah lima dekad berinisiatif dan berdikari sehingga kelihatan bangunan mereka gah tersergam, dewan perhimpunan dan kelas berpenyaman udara serta tabung PIBG berdeposit jutaan ringgit.
Sebagai bekas seorang guru yang berkhidmat lebih daripada 21 tahun di SMK, SBP Integrasi, SABK dan SBP premier (aliran sains), penulis boleh membuat kesimpulan bahawa ibu bapa dan masyarakat Melayu culas dan sangat berkira untuk menyumbang kepada sekolah tempat anak-anak mereka mendapat ilmu. Tidak dapat dinafikan ada ibu bapa yang pemurah, tetapi ia amat kecil berbanding ibu bapa yang hanya datang ketika mesyuarat agung PIBG untuk menyoal tentang penggunaan duit tabung PIBG yang tak seberapa. Lebih menyedihkan, mesyuarat agung PIBG pun mereka tidak datang atas alasan sibuk. Mentaliti kebanyakan mereka ialah sekolah kerajaan mesti dipertangggungjawabkan kepada kerajaan sepenuhnya. Mereka mahu melihat anak-anak mereka berjaya dengan mendapat deretan A dalam peperiksaan, tetapi tugas mendidik diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru dan mereka akan bising sekiranya pihak sekolah meminta sumbangan dan sokongan kewangan mereka untuk program pembangunan anak-anak mereka.

Kita boleh berlapang dada jika ibu bapa yang tidak menyumbang itu adalah daripada keluarga susah, tetapi sangat mendukacitakan apabila keluarga yang kaya-raya lebih kedekut dan sangat berkira. Bahkan ramai juga ibu bapa yang tidak membayar yuran sumbangan PIBG atas alasan pihak sekolah tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak terdapat dalam mana-mana akta tentang kesalahan tidak membayar sumbangan PIBG.

Sebenarnya sikap tidak mementingkan pelaburan pendidikan anak-anak dan hanya berharap pihak kerajaan menanggung sepenuhnya pembiayaan pendidikan adalah punca sekolah-sekolah anak Melayu jauh ketinggalan dari segi prasarana dan program pembangunan murid berbanding di sekolah-sekolah swasta. Ironinya mereka sentiasa dengki dengan kelebihan prasarana sekolah swasta Cina khususnya, dan mengkritik keras kerajaan memberi sedikit sumbangan kepada sekolah tersebut.
Sebagai kerajaan yang ingin mentadbir negara mengikut ajaran al-Quran dan hadis sahih seperti ditegaskan YAB Perdana Menteri dalam pertemuannya dengan para ulama dan cendikiawan Islam di Sri Perdana pada 31 Julai 2018, maka menjadi tanggungjawab kerajaan menunaikan amanah mentadbir dengan adil dan saksama. Kerajaan tidak perlu menuruti langkah kerajaan lama yang menggunakan slogan ketuanan Melayu untuk melebih-lebihkan kaum Melayu dan melupakan hak kaum lain. Tafsiran Islam ala Melayu lama tidak perlu diikuti dan dipatuhi sekiranya kerajaan baharu bertanggungjawab terhadap janji yang dilafazkan.

Naratif baharu Islam dalam Malaysia Baharu ialah Islam yang betul-betul diceduk daripada ajaran al-Quran dan hadis sahih. Allah SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah: 8)


Pegangan kepada ajaran Islam sebenar seperti tuntutan al-Quran dan hadis sahih adalah pendorong kerajaan PH mengubah pendekatan kepada yang pendekatan yang lebih adil kepada semua kaum. Ia bukanlah langkah apologetik kerana tekanan parti DAP atau kerana terhutang budi kepada undi kaum Cina dan India yang memberi kemenangan kepada PH. Sebaliknya ialah adalah manifestasi keadilan yang dituntut oleh Maqasid Syariah yang menjadi sendi pentadbiran Malaysia Baharu dengan pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin.

Adalah diharapkan dengan pendekatan baru yang lebih inklusif akan mendorong kaum Cina yang telah berjaya dalam bidang perniagaan akan memberi peluang kepada kaum Melayu, India dan lain-lain untuk sama-sama berjaya dan menikmati kemakmuran negara bertuah ini. Di manakah Rahmatan Lil ‘Alamin jika nikmat kekayaan negara hanya menjadi milik satu kaum sahaja? Di manakah Rahmatan Lil ‘Alamin jika satu kaum dibiarkan sentiasa bergantung kepada belas ihsan kerajaan tanpa berusaha lebih untuk lebih berjaya dan bersaing secara sihat dengan kaum lain?
Perlu ditegaskan juga bahawa kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak juga berhak mendapat pendidikan yang berkualiti dengan prasarana yang setaraf dengan Semenanjung. Kerajaan baharu hendaklah memastikan semua kaum mendapat bantuan pendidikan berdasarkan keperluan sebenar. Kerajaan boleh berkongsi beban jika sumbangan korporat digalakkan kepada syarikat-syarikat nasional dan multi-nasional dengan insentif rebat cukai ke atas sumbangan yang diberikan kepada institusi pendidikan yang berkeperluan.

Pada hemat penulis, langkah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan sebanyak RM12 juta untuk SPC adalah satu kejayaan dalam ujian pertama operasional Rahmatan Lil ‘Alamin. Malaysia Baharu tidak membawa apa-apa makna baharu jika tiada sebarang perubahan daripada pendekatan-pendekatan lama yang telah menjarakkan hubungan kaum di Malaysia kepada pendekatan yang lebih mendekatkan dan menyuburkan keharmonian antara kaum.

Ustaz Ali Muda
Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Salak Tinggi, Selangor.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/bajet-rm12j-kepada-spc-satu-ujian-operasional-rahmatan-lil-alamin/

Wednesday, January 9, 2019

Nasib baik saingan Pakatan Harapan terlalu lemah





AHMAD LUTFI OTHMAN



Tiada kenangan lebih indah dan memori paling manis sepanjang tahun 2018 yang ditinggalkan kecuali menumbangkan kerajaan kleptokrat tanpa pertumpahan darah.

Regim Umno-BN sebelum 9 Mei lapan bulan lalu seperti tidak terkalahkan. Pelbagai usaha digerakkan dan strategi dirumuskan sejak berdekad lamanya, namun kubu kebal itu tetap berdiri gagah walaupun mulai robek.

Hanya kebangkitan menyeluruh dan keberanian luar biasa rakyat menolak elit penguasa korup, merentasi kota dan desa, menyeberangi Laut China Selatan, mengetuk penempatan Felda dan pinggir bandar, seterusnya membadai tiang seri Umno dari selatan tanahair. Legasi 61 tahun terkubur.


Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengemukakan formula setiap komponen parti Pakatan Harapan diraikan secara seimbang dan sama rata dalam pembentukan Kabinet Malaysia Baharu. Bilangan kerusi Parlimen tidak lagi mencerminkan komposisi jemaah menteri.

Ia boleh dianggap respons terbaik dan harmonis terhadap suara cekal rakyat menuntut pembaharuan tanpa terikat dengan ideologi politik kepartaian. Mereka impikan Malaysia yang lebih adil, selamat, makmur, telus, bebas-rasuah, diberkati dan berintegriti.

Segalanya tentu belum selesai, malah perjalanan panjang baru sahaja dilepaskan. Menukar kerajaan memerlukan gerak kerja luar biasa, tetapi mengisi kemenangan besar tidak terduga ini menuntut penggemblengan usaha yang lebih luar biasa.

Cabaran pulih negara

Cabaran memulihkan dan membina semula negara yang hampir punah dan bankrap ini cukup sukar, bagai babak pertama negara-negara kalah Perang Dunia Kedua, seperti Jerman dan Jepun, bangkit.
Loading...

Proses pembersihan dalam urustadbir negara mulai mengambil tempat. Amalan keji era lampau yang menghanguskan khazanah nrgara belum habis dibongkar. Anggota pentadbiran yang terbabit korupsi dan nepotisme disisihkan. Budaya jelik seperti mengampu dan takut bercakap benar cuba dikurangkan.

Bukan mudah untuk membina semula negara dengan jentera kerajaan yang sama; terpalit skandal kewangan terbesar dan budaya “Cash is King” demi menyelamatkan seorang kleptokrat bertaraf global.

Prinsip-prinsip asas demokrasi, rule of law, pengasingan cabang kuasa, dan good governance giat dipulihkan. Udara segar kebebasan mulai dikecap. Ia mungkin boleh menimbulkan suasana panik dan keliru bagi masyarakat yang terperam lama dalam kongkongan.

Keterbukaan tidak bermakna memperjudikan keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum-agama. Namun tidak juga bererti undang- udang primitif dan peraturan karut-marut harus dikekalkan.

Ternyata Malaysia masih rapuh jalinan muhibah rakyatnya; bara sentimen perkauman dan ekstremisme agama mudah dinyalakan. Jalur sederhana bagai mudah dikalahkan oleh faham melampau.

Nilai-nilai politik baharu berdasarkan keadilan sejagat, menghormati hak asasi, akauntabiliti, dan seumpamanya mungkin mulai membiak-subur, tetapi di sisi lain atau di kutub berbeda, kita masih diselubungi syak wasangka, saling curiga, dendam kesumat.

Bagai tembok pejal membentengi kita, bukan hanya di antara kaum dan agama berbeda, atau wilayah yang berlainan tetapi juga sesama rumpun sebangsa, dalam kejiranan yang sama. Jurang pendapatan turut semakin melebar, ibarat pemisahan dua darjat dan kelas bertentangan.


Cabaran agenda reformasi

Cabaran agenda reformasi dan pembinaan semula tanahair bukan hanya bergantung kepada iltizam dan prestasi kerajaan Pakatan Harapan. Rakyat, khususnya yang mengundi menumbangkan regim lama perlu terus komited dengan partisipasi politik yang berterusan.

Penyertaan politik di zaman langit terbuka ini lebih mudah. Media sosial umpamanya menghamparkan gelanggang berinteraksi yang pantas. Namun usah diketepikan diskusi ruang awam yang formal sebelum sesuatu polisi digubal atau rancangan baharu diimplementasi.
Parlimen perlu cepat direformasi. Penguasa dan anggota pentadbiran pula harus responsif dengan keresahan rakyat. Biar masyarakat awam merasa luahan hati mereka diambil berat oleh kerajaan yang bertanggungjawab.

Selain itu, polemik dalaman parti atau antara-parti komponen, walaupun dianggap lumrah tetapi ia harus dikendalikan secara bijaksana dan berhikmah. Selesaikan secara adik-beradik penuh kerukunan.

Sejarah gabungan oposisi menunjukkan ia mudah retak dan berkubur akhirnya. Angkatan Perpaduan Ummah hanya sempat dua kali masuk pilihan raya, 1990 dan 1995. Barisan Alternatif hanya sekali 1999; sebelum PRU2004, DAP isytihar keluar. Pakatan Rakyat bertahan 2013, manakala 2008 hanya persefahaman BA dan DAP mengelak lawan sesama sendiri.


Semasa tiga parti bergabung di bawah Pakatan Rakyat, Pas dianggap sebagai bermasalah, kini tanpanya apakah Pakatan Harapan dapat terus menghormati aspirasi rakyat? Benarkah hubungan Bersatu dan PKR melalui titik sukar untuk muncul parti dominan atau sekadar manifestasi dinamika politik?

Mungkin kuasa di peringkat persekutuan khususnya, boleh menjadi tali pengikat di antara empat parti itu, tetapi faktor kuasa juga mampu meleraikan persefahaman yang terjalin jika ketamakan menguasai segalanya.

Hubungan Dr Mahathir dan bakal penggantinya Anwar Ibrahim juga menjadi tumpuan dan kebimbangan ramai. Dua sosok ini diharap dapat membawa keluar negara dari kegelapan tetapi personaliti tersebut juga ditafsirkan dengan pelbagai persepsi.

Tidak pelik jika rakyat atau pemerhati politik ghairah mentafsirkan setiap gerak atau bicara pemimpin. Soalnya, mengapa tokoh-tokoh di serambi kuasa turut berbicara sewenang-wenangnya memarakkan lagi bara perseteruan.

Rakyat sudah berkorban dan membuat keputusan penting untuk menyelamatkan negara. Mereka muak melalui era gelap zaman Najib Razak. Generasi lama tidak mahu mengulangi sisi gelita zaman Mahathir dan period duka pertempuran Reformasi.


Mereka menanti perubahan yang dijanjikan, terutama untuk mengurangkan bebanan kos hidup, menurunkan harga barangan dan perkhidmatan asas, peluang pekerjaan lebih merata, khazanah negara tidak dibazirkan.

Usah dikalutkan lagi dengan pelbagai spekulasi politik yang memenatkan. Mereka mungkin dapat bersabar menanti janji-janji perubahan dan reformasi, tetapi jika terus dihidangkan aksi-gelagat penguasa yang bercakaran dan tidak fokus untuk memulihkan negara, apakah mereka dapat bertahan lebih lama?

Pakatan Harapan beruntung kerana saingannya, sama ada Umno atau Pas, dalam keadaan lemah. Sistem dua parti nampak bermasalah apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang seperti berebut-rebut lompat parti, bukan mempamerkan pilihan lebih baik buat rakyat.

Soalnya, Malaysia Baharu perlu tangkas dan bingkas melonjak ke era kegemilangan, sekurang-kurangnya menjadi negara yang damai, sejahtera dan adil untuk semua warganya berteduh. Destinasi impian itu masih jauh dan kita tiada masa untuk terus berkhayal dalam tempoh bulan madu yang sudah berakhir itu.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/nasib-baik-saingan-pakatan-harapan-terlalu-lemah/

Malaysia Baharu: PBT masih di takuk lama?

Malaysia Baharu: PBT masih di takuk lama?
Sepanjang kira-kira 7 bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara, pelbagai langkah reformasi institusi dilaksanakan terutamanya di peringkat pentadbiran kerajaan persekutuan ke arah mengembalikan wibawa institusi pentadbiran dan menyuburkan demokrasi di Malaysia.
Di saat akauntabiliti demokrasi pelbagai institusi kerajaan diberi sinar pembaharuan, reformasi pentadbiran peringkat kerajaan negeri dilihat amat perlahan, lebih-lebih lagi di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), yang masih belum menerima tempias akauntabiliti demokrasi ini.
Tempoh beberapa bulan pentadbiran peringkat negeri di bawah PH, rata-rata kerajaan negeri (kecuali Pulau Pinang dan Selangor) dilihat mengambil pendekatan sederhana dan kadangkala terlalu berhati-hati barangkali untuk tidak ‘menyinggung’ penjawat awam dan kakitangan kerajaan negeri, sehingga memberi persepsi bahawa kerajaan PH hanya meneruskan sahaja dasar dan program tinggalan kerajaan negeri BN terdahulu.
Walaupun pandangan ini tidak semestinya benar namun persepsi begini sukar disangkal tanpa agenda dan pelaksanaan pembaharuan yang lebih tegas dan ampuh. Pembaharuan dasar peringkat PBT juga masih belum dapat dijelmakan secara tuntas dari segi pelaksanaan dan semangat walaupun para Ahli Majlis PH telah dilantik menganggotai kerajaan tempatan ini.
Menurut maklumat laman web Jabatan Kerajaan Tempatan, PBT di negara ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Majlis/Dewan Bandaraya (jumlah penduduk tidak kurang 500,000 dan hasil tahunan melebihi RM100 juta), Majlis Perbandaran (tertumpu kepada bandar (urban) dengan jumlah penduduk yang melebihi 150,000 dan hasil tahunan melebihi RM20 juta) dan Majlis Daerah (luar bandar (rural-based) dengan jumlah penduduk kurang daripada 150,000 dan hasil tahunan kurang daripada RM20 juta).
Dengan pendapatan hasil dan bukan hasil yang begitu besar di peringkat PBT ini, tidak hairanlah PBT di era BN dahulu seakan ‘lubuk emas’ buat para pemimpin politik peringkat bahagian dan cawangan, ditambah pula dengan Ahli Majlis lantikan BN yang bersekongkol membiarkan amalan salah guna kuasa dan penyelewengan terutamanya dalam aspek kelulusan tender dan penganugerahan kontrak.
Gejala ini sudah menjadi rahsia umum dalam kalangan rakyat sendiri dengan pelbagai kisah ‘kontrak alibaba’ dan kontrak secara rundingan terus diberi kepada suku sakat pemimpin politik dan Ahli Majlis. Bahkan pelbagai kepincangan setiap PBT ini disahkan sendiri oleh Ketua Audit Negara setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan saban tahun.
Antaranya bermacam-macam teguran, pemerhatian dan rumusan audit termasuk kontrak yang dianugerahkan secara rundingan terus tanpa melalui tender atau sebut harga terbuka, pemilihan kontraktor yang tidak berkelayakan, pengesahan kerja yang tidak teliti menyebabkan kerja terpaksa dibaiki berkali-kali, peningkatan kos akibat kaedah perolehan yang tidak dirancang dengan teliti, kelemahan penyeliaan dan pemantauan, pembayaran tanpa Pesanan Kerajaan dan amalan sengaja memecah kerja menjadi Pecahan Kecil Perolehan.
Loading...
Malah bukan rahsia juga PBT di era BN sering memilih untuk meminggirkan kawasan-kawasan yang dimenangi pembangkang dahulu tanpa sebarang projek infrastruktur mahupun penaiktarafan, sebaliknya menyalurkan peruntukan terbanyak dan menumpukan segala projek pembangunan hanya di kawasan-kawasan BN.
Ketidakadilan juga sering berlaku apabila sesetengah PBT dilihat mengutamakan kepentingan sesetengah kaum sahaja dalam komuniti lalu mendisriminasikan kaum lain yang turut memerlukan perhatian, sedangkan pendapatan PBT adalah daripada cukai hasil yang dikutip daripada penduduk pelbagai kaum.
Ke arah memastikan prinsip-prinsip pertanggungjawaban, integriti dan ketelusan dikembalikan di peringkat PBT, amat wajar jika kerajaan negeri melakukan penyiasatan menyeluruh dan jika perlu, audit forensik dilakukan ke atas semua PBT untuk menjejaki sebarang ketirisan, penipuan atau penyelewengan sebelum ini.
Kerajaan setiap negeri PH harus mengambil pendekatan lebih berani dan terbuka untuk menangani salah laku kerajaan terdahulu termasuk di dalam PBT, dan sebarang laporan audit forensik wajib didedahkan kepada orang awam yang terdiri daripada pembayar cukai PBT ini agar mereka maklum tentang pentadbiran mana yang harus bertanggungjawab terhadap kesalahan masa lampau, di samping menghadapkan para perasuah ke muka pengadilan.
Lantaran segala macam kebobrokan era BN dahulu, Ahli-ahli Majlis PBT di negeri-negeri PH kini tiada pilihan selain menggandakan usaha bagi mempercepatkan pembaharuan peringkat PBT dengan peranan proaktif dan berkesan. Selain sebagai pembuat dasar dan penasihat PBT, Ahli-ahli Majlis PH perlu memainkan peranan sebagai pemeriksa terhadap kuasa dan budi bicara Datuk Bandar/Yang Dipertua Majlis, pegawai dan kakitangan PBT dalam menjalankan tugas demi memastikan sistem sedia ada tidak memberi ruang kepada perlakuan salah guna kuasa dan rasuah semasa membuat keputusan.
Ahli Majlis yang dilantik oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri ini hendaklah menentukan bahawa pengurusan pentadbiran berjalan mengikut prinsip-prinsip dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan tanpa sebarang pengecualian, manipulasi atau jalan pintas. Saat membahas dan meluluskan belanjawan, tender, kontrak dan projek, para Ahli Majlis PH perlu memastikan tiada pembangunan yang memberi impak negatif kepada rakyat di samping mengekang segala bentuk sabotaj sehingga menyusahkan rakyat terutamanya kepada penjaja kecil, peniaga dan warga setempat.
Sementara menantikan sasaran tiga tahun pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan, para Ahli Majlis lantikan PH harus memainkan peranan secara berkesan bagi memastikan PBT juga direformasikan dalam pelbagai aspek dan menghapuskan segala amalan terdahulu yang merosakkan insitusi kerajaan tempatan ini. Setiap PBT wajar memperbaharui cara pentadbiran dengan mengutamakan ketelusan dan keterbukaan serta meningkatkan penyertaan awam dan libat urus (engagement) lebih meluas dengan setiap lapisan pihak berkepentingan dan pembayar cukai dalam proses membuat keputusan.
Banyak lagi budaya lama yang masih kekal diamalkan di peringkat PBT walaupun Malaysia telah maju ke depan dan hasrat rakyat begitu jelas mahukan pembaharuan struktural menyeluruh. Senarai kontraktor dan pembekal lama daripada era BN masih dikekalkan walaupun antaranya diketahui bukanlah usahawan tulen yang benar-benar terlibat secara langsung dalam projek.
Tindakan dan keputusan PBT berunsur sabotaj yang menjejaskan pendapatan peniaga dan penjaja kecil seperti pengezonan semula kawasan, perubahan peraturan papan tanda, perubahan aliran trafik tanpa mengambil kira pendapat penduduk dan lain-lain lagi antara contoh betapa PBT di era Malaysia baharu ini masih berada di takuk lama. Pelaksanaan projek juga masih mengikut garis panduan lama yang mudah dimanipulasi antaranya dengan pecahan projek kecil dan pengecualian untuk sebut harga secara runding terus.
Paling ketara, kecenderungan PBT melakukan ‘perbelanjaan Krismas’ untuk menghabiskan peruntukan tahunan lalu memunculkan pelbagai program yang membazir tanpa manfaat jangka panjang kepada rakyat tempatan (pembayar cukai) seperti karnival-karnival, konsert besar-besaran artis, bual bicara santai, sambutan perayaan-perayaan, tanpa ketelusan dalam kos dan perbelanjaan program, selain dalam sesetengah program sambutan terpaksa menutup jalan-jalan utama atau mengubah aliran trafik sehingga menyusahkan rakyat.
Dalam hal seperti ini Ahli Majlislah yang bertanggungjawab menyuarakan isi hati dan kehendak rakyat setempat, bukannya hanya menurut sebarang keputusan yang tidak mengambil kira kepentingan rakyat terbanyak. Suara dan keberadaan Ahli Majlis dalam setiap jawatankuasa peringkat PBT haruslah memberi kesan positif agar etika perkhidmatan awam dapat diperkasakan sekali gus menghapuskan amalan pengurusan PBT yang sering menimbulkan keraguan di kalangan pembayar cukai. Sekiranya para Ahli Majlis gagal memainkan peranan semak dan imbang dengan baik, mereka bakal turut terpalit dengan segala tempias persepsi negatif pengurusan PBT yang pincang.
Ahli Majlis juga perlu efektif dalam bidang tugas masing-masing sebagaimana termaktub dalam pekeliling dan garis panduan, antaranya menyelesaikan masalah atau aduan rakyat seperti kebersihan, pelesenan, lampu jalan, trafik, sistem perparitan dalam zon masing-masing. Sekiranya tugas Ahli Majlis tidak diselesaikan dengan baik maka urusan parit dan longkang nanti terpaksa pula dipikul oleh Adun atau Ahli Parlimen, sebagaimana sering berlaku di era kerajaan BN dahulu.
Tidak dapat dinafikan amalan korup yang telah menjalar ke setiap struktur pentadbiran semua peringkat di negara termasuk PBT ini agak sukar dikikis dalam tempoh singkat, namun ini bukan alasan untuk para Ahli Majlis sekadar hadir mesyuarat mencukupkan kuorum tanpa membawa suara dan hasrat reformasi rakyat.
* Penulis ialah AJK Pimpinan AWAN Johor dan seorang peguam.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/malaysia-baharu-pbt-masih-di-takuk-lama/

Pejabat PM bantah laporan Utusan Malaysia





MALAYSIADATELINE January 10, 2019 7:00 am



Tajuk berita ‘Dr. M akui peranan penting DAP’ yang disiar di muka hadapan Utusan Malaysia pada 8 Januari 2019 dirujuk.

Perenggan “DAP tentukan siapa pemimpin dan siapa akan pegang jawatan selepas berjaya ambil alih kerajaan, semuanya ini datang daripada DAP” adalah tidak tepat.

Rakaman video ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Ibu pejabat Bersatu negeri Terengganu di Ladang Tok Pelam tidak ada menyebut “DAP tentukan siapa pemimpin…”. Ini merupakan satu kesilapan laporan yang amat jelas.


Di dalam artikel yang sama terdapat juga perenggan yang berbunyi “Saya tahu ada pendapat mengatakan DAP parti musuh, tapi saya nak bagitahu bahawa yang tentukan saya akan jadi Pengerusi PH dan bakal PM (Perdana Menteri) jika menang dalam PRU (Pilihan Raya Umum) lalu adalah DAP”.

Apa yang sebenarnya diucapkan oleh beliau adalah – “Saya tahu ada orang yang berpendapat bahawa parti DAP ini parti musuh, musuh orang Melayu. Semua orang Melayu dibagitahu oleh UMNO bahawa parti DAP ini adalah musuh.

Tapi saya nak bagi tahu yang cadang saya jadi Pengerusi dan saya jadi bakal Perdana Menteri kalau menang adalah DAP”.

Pejabat Perdana Menteri berpendapat bahawa Utusan Malaysia tidak melaporkan berdasarkan fakta dan isi kandu­ngan ucapan Perdana Menteri.

Pada Selasa portal Utusan Malaysia melaporkan seperti dipetik Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengakui DAP memainkan peranan penting dalam menentukan segala perkara dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk berkaitan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Loading...

Diperenggan tersebut wartawan memetik ucapan Dr Mahathir ketika merasmikan Pejabat Bersatu Negeri Terengganu sebagai berkata:” Mereka (DAP) tentukan siapa pemimpin dan siapa akan pegang jawatan selepas berjaya ambil alih kerajaan, semuanya ini datang dari DAP. Jadi, kalau orang kata (DAP) musuh, kenapa pilih saya,”



Berita penuh https://malaysiadateline.com/pejabat-pm-bantah-laporan-utusan-malaysia/

Sunday, January 6, 2019

Hormati perkahwinan Sultan Muhammad V


News | Diterbitkan Hari ini 9:23 pagi | Dikemaskini Hari ini 9:23 pagi



Berikutan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak meminta rakyat supaya menghormati institusi raja berpelembagaan di negara ini.

Ini termasuklah tidak mempertikaikan keputusan Sultan Muhammad V untuk tidak menghebah-hebahkan perkahwinan baginda di khalayak ramai.

"Sesungguhnya perkahwinan itu adalah jodoh dan rahsia ketentuan Allah, maka siapalah patik sekalian untuk mempertikaikan jodoh tuanku.

"Patik sekalian mendoakan perkahwinan ini bahagia hingga ke anak cucu," katanya dalam satu kenyataan.

Sultan Muhammad V bercuti sejak Nov lalu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua bulan yang berakhir 31 Dis lalu.

Pada bulan yang sama, tular gambar perkahwinan baginda dengan bekas ratu cantik Rusia, Oksana Voevodina di media sosial.

Berita perkahwinan itu juga mendapat liputan pelbagai media antarabangsa.

Setakat ini belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak istana, walaupun Sultan Muhammad V telah kembali ke Kelantan.

Persepsi negatif

Menurut Farhash, kebelakangan ini wujud pihak tertentu cuba mewujudkan persepsi negatif mengenai institusi diraja melalui media sosial.

"Namun tuanku tidak pernah menyuarakan kemurkaan kepada rakyat Malaysia.

"Patik sekalian akan sentiasa mengingati titah baginda ketika sesi pembukaan dewan rakyat di mana semua ahli parlimen diminta duduk dan jangan lari sebagai gurauan bagi meredakan situasi yang tegang selepas PRU14.

"Patik menjunjung kasih di atas keputusan untuk mempercepatkan proses pengampunan kepada Anwar Ibrahim dan membebaskan beliau serta mereka di bawah perkara 42(1) perlembagaan persekutuan.

"Inilah sifat tuanku yang harus diteladani semua pemimpin supaya tidak melengahkan sesuatu yang baik hanya kerana zahir ia boleh wujud fitnah," katanya yang menyifatkan baginda sebagai raja berjiwa rakyat.

Sultan Muhammad V ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember 2016, menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dari Kedah.

Peletakan jawatan baginda selaku Yang di-Pertuan Agong dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Dahlan Abd Aziz melalui kenyataan media Istana Negara semalam.

Gamis sedia ajar Wan Saiful urus PTPTN



(Dikemaskini )

Pada 24 November yang lalu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersama 400 mahasiswa daripada pelbagai kampus telah berarak daripada Masjid Jamek hingga ke Menara PTPTN untuk memberikan amaran kepada Wan Saiful Wan Jan dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membatalkan polisi pembayaran hutang PTPTN yang menzalimi anak muda Malaysia.

Apa yang kami perjuangkan bukan sekadar menuntut kerajaan PH tunaikan janji, bahkan ia adalah keperluan yang mendesak buat semua anak muda graduan IPT untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN sehingga ekonomi mereka stabil seperti yang dijelaskan oleh Bank Negara Malaysia.
Kami mahasiswa kecewa dengan sikap pengerusi PTPTN yang telah menikmati gaji yang besar namun malas berfikir untuk mencari jalan keluar daripada polisi yang menekan anak muda khususnya graduan IPTA dan IPTS di seluruh negara.
Pengerusi PTPTN terlalu banyak memberikan alasan, sibuk mencari salah orang lain dan tidak nampak usaha yang dilakukan untuk meminda polisi yang menekan anak muda.
Kami juga kecewa dengan kenaifan pengerusi PTPTN dalam hal ehwal konsep hutang yang telah digariskan oleh Islam melalui dalil al-Quran yang sahih dan sarih (jelas).
Allah SWT berfirman: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Surah al-Baqarah: 280)
Rasulullah SAW juga telah bersabda: “Barangsiapa memberi tempoh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunaskan hutang atau membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.” (Riwayat Muslim)
Allah SWT secara jelas telah memerintahkan kepada orang yang memberi hutang untuk memberikan ruang masa kepada orang yang berhutang sehingga mereka mampu untuk keluar daripada kesempitan hidup mereka.
Ini adalah tanggungjawab utama bagi pihak kerajaan dan PTPTN, bukan memaksa dan memeras ugut anak muda Malaysia.
Menzalimi anak muda Malaysia
Bank Negara Malaysia telah merekodkan di dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bahawa seorang dewasa bujang perlu memperoleh RM2,700 sebulan sebagai gaji minimum untuk menyewa bilik, makan di luar, memasak sekali sekala dan menggunakan pengangkutan awam.
Menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016), sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang bekerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah sarjana muda mempunyai pendapatan RM2,000 dan ke bawah.
Ini adalah fakta jelas yang Wan Saiful kena belajar dan fahami bahawa graduan IPT kebanyakannya berpendapatan di bawah paras gaji minimum seperti yang telah ditetapkan oleh Bank Negara.
Sekiranya polisi mekanisme pembayaran hutang PTPTN PH diteruskan, maka ia akan menzalimi hidup anak muda Malaysia.
Kami daripada Gamis bersedia untuk mengajar Wan Saiful bagaimana untuk mengurus PTPTN dan membantu ekonomi anak muda Malaysia sekiranya beliau masih terbuka hati untuk menunaikan janji.
Gamis kecewa dengan sikap ambil mudah pengerusi PTPTN yang terlalu malas untuk mengadakan sidang meja bulat bersama pemegang taruh di seluruh Malaysia.
Apa yang beliau sibuk lakukan selepas menikmati gaji yang besar ialah menjaja di merata tempat bahawa mekanisme untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN adalah mustahil.
Himpunan pada 24 November yang lalu hanyalah amaran awal buat Wan Saiful dan kerajaan PH. Sekiranya kerajaan masih angkuh, melaksanakan polisi yang menzalimi anak muda, dan hanyut dengan kemewahan gaji yang besar, Gamis tidak akan teragak-agak untuk mengadakan himpunan yang lebih besar daripada ini.

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai merupakan Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis). 
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.