Tuesday, July 31, 2018

Kami putuskan persepakatan bersama, kata Dr Maza


Kami putuskan persepakatan bersama, kata Dr Maza
Tiga perkara telah dipersetujui antara Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy dengan  Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa di Putrajaya semalam.
Dr Mohd Asri yang juga dikenali dengan pangilan Dr Maza dalam kenyataannya menyebut persetujuannya menerima jemputan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kerana sikap yang ditunjukkan Dr Mujahid kerana sanggup berjumpa dan menyatakan pendapat merupakan sikap yang sepatutnya dan ia satu sikap yang bertamadun.
“Apabila ada pihak yang ingin perundingan dan mencari jalan penyelesaian, kita wajar menyahut hasrat ini. Ini seperti yang dinaskan dalam al-Quran,” ujarnya.
Kata Dr Maza lagi sekurang-kurangnya 3 perkara dipersetujui;
1. Isu LTTE : Sepakat bersetuju bahawa isu itu merupakan isu keselamatan negara. Ini bukan isu peribadi antara kami. Pertemuan tadi bukan platform penentu siapa yang sabit atau siapa yang dibersihkan. Hak penentu dalam isu LTTE ialah pihak polis. Kita membiarkan hal itu di bawah siasatan polis. Kita menunggu kenyataan PDRM. Maka, pertemuan tersebut tidak membincangkan tentang status LTTE dan orang yang terlibat dengannya. Kita serah dan menanti siasatan PDRM.
2. Isu Dr Zakir Naik: Isu ini diminta jangan dibangkitkan lagi. Serah sahaja kepada pihak Kerajaan. Kabinet telah memutuskannya seperti yang dimaklumkan oleh YAB PM. Maka, tidak perlu dibangkitkan lagi. Apa yang penting, semua penceramah dari semua agama hendaklah mengikut peraturan negara dan tidak menimbulkan apa-apa konflik antara penganut agama dan kaum.
3. Majlis Keharmonian Agama dan Kaum: Satu platform yang membolehkan tokoh-tokoh pelbagai agama bertemu dan berunding dalam isu-isu yang membabitkan keharmonian antara agama dan kaum perlu diwujudkan. Semua pihak jangan menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menegangkan hubungan antara penganut agama dan kaum. Bawa ke meja rundingan terlebih dahulu. Saluran melalui platform tersebut diharapkan dapat membantu ke arah Malaysia yang lebih harmoni dan damai.
Dr Maza juga menyentuh mengenai suasana dalam pertemuan tertutup membabitkan tiga pihak itu berlaku dengan baik dan hormat menghormati di meja perundingan.
“Diharapkan ia dapat memberikan mesej kepada pihak lain agar jangan menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum dalam negara ini. Fokus kepada bina negara.
“Kesepakatan tiga perkara tersebut bukanlah diputuskan oleh YB Datuk Dr Mujahid, sebaliknya ia diputuskan bersama,” ujarnya.
Semalam satu pertemuan tertutup diadakan membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mufti Perlis dan Ketua Menteri Pulau Pinang II di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya, untuk meleraikan isu berkaitan dakwaan Dr Ramasamy terbabit dalam gerakan LTTE dan  dakwaan Ramasamy terhadap pendakwah dari India Dr Zakir Naik yang mendapat suaka politik  dan  taraf penduduk tetap di negara ini sebagai pengganas Islam.
Sebelum ini Dr Maza  mencadangkan agar Dr Zakir dan Dr Ramasamy berdebat susulan cadangan Dr Ramasamy supaya Dr Zakir dihantar pulang ke India supaya hubungan Malaysia dengan negara itu tidak terjejas ekoran dakwaan kerajaan India Dr Zakir terbabit dalam kegiatan keganasan.
mdl

No comments:

Post a Comment