Thursday, December 12, 2019
Gagal di Sukan SEA, kejutan dari lena - Timb menteri
MALAYSIAKINI
Kegagalan kontinjen negara memenuhi sasaran 70 pingat emas di Sukan SEA ke-30 di Filipina adalah hakikat ‘pahit’ yang harus ditelan.
Namun, kegagalan itu yang disifatkan sebagai mengejutkan daripada lena (wake up call) harus diberi perhatian serius oleh semua pihak terlibat.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim berkata trend kemerosotan pencapaian atlet sebenarnya sudah dapat dilihat selepas edisi 2007 di Korat, Thailand namun pencapaian dilihat pulih apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017 menyaksikan kontinjen negara muncul juara.
“Saya tidak mahu buat analisa awal sebelum kami buat post mortem secara terperinci. Saya rasa lebih baik kita duduk dan bincang dengan lebih terperinci apa faktor-faktor yang menjurus kepada kita tidak mencapai sasaran kita.
“Tapi hakikatnya ialah sejak Sukan SEA 2007 di Nakhon Ratchasima, prestasi kita memang dalam trend yang menurun. Di Sukan SEA 2007 kita ada 68 emas dengan 216 pingat secara keseluruhannya dan sejak dari itu memang dalam trend menurun.
“Memanglah (nampak meningkat) dalam edisi 2017 di Kuala Lumpur apabila kita jadi tuan rumah.
Jadi, kita lihat ini merupakan satu perkara yang amat serius seperti satu wake up call kepada semua pihak,” katanya pada satu temu bual khas dalam rancangan Warna Sukan SEA di Bernama.
Pada edisi 2007, Malaysia meraih 68 pingat emas; edisi 2009 di Laos (40 emas), 2011 di Jakarta-Palembang (59 emas), 2013 di Myanmar (43 emas), 2015 di Singapura (62 emas) dan 2017 di Kuala Lumpur (145 emas).
Dalam pada itu Steven berkata misi ke temasya dwitahunan yang melabuhkan tirai semalam itu adalah misi bersama yang membabitkan banyak pihak dan tidak wajar untuk menuding jari kepada satu-satu pihak sahaja.
“Misi ke Sukan SEA merupakan misi bersama semua pihak sama ada MSN, KBS , persatuan sukan, atlet, pegawai dan jurulatih, jadi kalah dan menang kita galas tanggungjwab itu bersama-sama. Tidak guna kita tuding jari pada sesiapa pun.
“Kita perlu lihat ke depan, bagaimana kita dapat merapatkan jurang yang kita sudah nampak menurun sejak 2007 lagi dari segi prestasi kita di Sukan SEA dan bagaimana kita hendak bangkit dalam sektor ini,” katanya.
Ditanya kemungkinan faktor tuan rumah turut menjadi punca kegagalan kontinjen negara, Steven (gambar, atas) berkata tidak wajar juga untuk meletakkan sepenuhnya kegagalan kontinjen negara berpunca daripada hos walaupun jelas ada kelemahan khususnya berkaitan sistem pengadilan.
“Di pihak tuan rumah, sudah tentu ada kelemahan. Kalau kita sekadar untuk menyalahkan tuan rumah untuk kegagalan kita mencapai sasaran, saya rasa kita tidak akan dapat memperbaiki diri kita.
“Saya rasa lebih baik ketika ini, kita fokus kepada kekurangan dalam diri kita sendiri dan bagaimana kita boleh memperbaiki kekurangan itu,” katanya.
Kontinjen negara menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan 56 pingat emas, 58 perak dan 71 gangsa, di belakang Indonesia yang meraih 73 emas, 84 perak dan 110 gangsa.
Tuan rumah Filipina muncul juara keseluruhan dengan 149 emas, 118 perak dan 119 gangsa, diikuti Vietnam di tempat kedua dengan 98 emas manakala Thailand di tempat ketiga dengan 92 emas.
- Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment