Wednesday, October 16, 2019

PAS MELAKA MENGGESA TINDAKAN TEGAS DIAMBIL KEPADA PENGANJUR DEBAT PIALA TUN RAZAK 2019.

KENYATAAN AKHBAR

PAS MELAKA MENGGESA TINDAKAN TEGAS DIAMBIL KEPADA PENGANJUR DEBAT PIALA TUN RAZAK 2019.

1. PAS Melaka melahirkan rasa kesal atas penganjuran Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang dilihat tidak menjaga sensitiviti beragama di Malaysia.

2. Tajuk perdebatan yang berkisar kepada sekularisma dan perundangan Islam dengan kandungan perdebatan yang membawa kepada dakwaan bahawa Al-Quran boleh ditulis semula bagi menghilangkan elemen keganasan dan juga dakwaan bahawa homoseksual tidak dilarang dalam Islam sangat-sangat memalukan. Apatah lagi ianya dianjurkan dan disertai oleh orang Islam sendiri.

3. Yang lebih malang lagi apabila peserta terpaksa mengeluarkan hujah bagi menentang kebenaran Al Quran untuk menegakkan hujah menyokong aktiviti homoseksual demi meraih sebuah kemenangan atas perdebatan tanpa mengira bahawa ucapan tersebut boleh merosakkan Aqidah.

4. Walaupun pihak penganjur telah meminta maaf, sepatutnya hal ini tidak boleh berlaku sama sekali di dalam negara yang menjadikan Islam sebagai Agama Rasmi Negara. Apakah ada tangan-tangan ghaib yang cuba menyemaikan benih-benih Islam liberal bagi merosakkan fikrah anak-anak muda Islam di negara ini?

5. ‘Buat dulu kemudian minta maaf’, inilah budaya Kerajaan Malaysia Baru dalam melaksanakan sesuatu tanpa melakukan kajian dan pertimbangan yang sewajarnya lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan sensitiviti agama.

6. Ini bukanlah yang pertama kali berlaku dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia, sebelum ini juga pernah berlaku di Perak, pertandingan Tarian Gelek dan akhirnya penganjur terpaksa memohon maaf.

7. Oleh kerana itu PAS Melaka menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia agar mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 atas kegagalan mereka menjaga sensitiviti beragama di Malaysia.

“ ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

HJ BAKRI JAMALUDDIN
Ketua Penerangan PAS Melaka.
15 Okt. 2019

No comments:

Post a Comment